Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Tekanan pertahan emas lebih dirasai

Posted:

Tekanan pertahan emas lebih dirasai

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

TUGAS mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada Sukan SEA 2013 menjadi keutamaan skuad Harimau Muda Malaysia.


TEKANAN mempertahankan emas temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar pastinya lebih dirasai pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee sekiranya impian 'berguru' di Brazil menjadi kenyataan.

Apa tidaknya, peluang meraih pengalaman beraksi di Liga Brazil pastinya mengundang 1,001 kecaman peminat fanatik tempatan sekiranya Harimau Muda gagal menterjemahkannya menjadi satu kejayaan di bumi Myanmar tahun depan.

Enggan melatah dengan situasi itu, Kim Swee sebaliknya menegaskan anak-anak buahnya sentiasa bijak mengendalikan tekanan selaku juara bertahan 'ibu segala emas' (emas bola sepak) pada temasya sukan SEA buat kali kedua berturut-turut.

"Sebagai juara bertahan, kami perlu melakukan sesuatu serta selalu berada di hadapan.

"Saya percaya pasukan lain seperti Indonesia, Thailand dan juga Myanmar sebagai tuan rumah tidak hanya 'duduk diam' tanpa sebarang persiapan rapi.

"Jadi, saya yakin kami mampu mengendalikan tekanan sebagai juara bertahan dengan sempurna tidak kira sama ada dapat menimba ilmu di Brazil ataupun tidak," katanya kepada Kosmo! semalam.

Hasrat Harimau Muda 'berguru' di Brazil sebagai persiapan awal mempertahankan emas temasya Sukan SEA sebelum ini mendapat 'lampu hijau' pelbagai pihak termasuk Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Biarpun pendedahan di Brazil dilihat memberikan impak lebih positif buat anak-anak buahnya, Kim Swee menjelaskan bahawa situasi itu belum muktamad selagi belum mendapat 'hitam putih' daripada pihak-pihak berkenaan.

"Saya sendiri akan ke sana (Brazil) terlebih dahulu bagi mengenal pasti sama ada sesuai atau tidak Harimau Muda pergi ke Brazil. Jika hanya mendapat skuad bawah 17 tahun sebagai lawan pun tiada guna juga.

"Biarpun Brazil dilihat pilihan yang bagus, keberkesanan menimba ilmu di Slovakia seperti mana sebelum ini juga tidak boleh diketepikan sebegitu sahaja," tegas Kim Swee.

Pengajaran berguna buat Harimau Muda

Posted:

Pengajaran berguna buat Harimau Muda

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

KIM SWEE mahu pemainnya segera bangkit selepas tewas kepada Home United dalam saingan Liga S kelmarin.


PENGENDALI skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee mengakui skuad kendaliannya meraih pengajaran berguna selepas gagal mengekalkan momentum kemenangan sebaik tumpas 0-3 kepada Home United dalam aksi Liga Singapura 2012 di Stadium Yishun, Singapura malam kelmarin.

Biarpun menguasai sebahagian besar perlawanan, Kim Swee menegaskan Harimau Muda perlu bijak mengatasi kelemahan terutamanya ketika menyerap asakan pantas lawan.

Kepintaran pemain Home United memanfaatkan sepakan penjuru, katanya, juga mengundang padah sehingga gagal meraih tiga mata berharga.

"Biarpun kecewa, sedikit sebanyak kekalahan ini dijadikan iktibar buat kami bagi mengenal pasti beberapa kelemahan.

"Jadi, saya menuntut kebangkitan pemain apabila berdepan Woodlands Wellington di tempat lawan pada Sabtu depan," katanya kepada Kosmo! semalam.

Dalam perlawanan kelmarin, Frederic Mendy muncul wira pelawat apabila meledak dua gol pada minit ke-37 dan 53 sekali gus muncul penjaring terbanyak Liga S setakat ini dengan 19 gol.

Penyerang veteran, Indra Sahdan Daud kemudiannya melengkapkan kemenangan bergaya Home United menerusi jaringan menarik pada masa kecederaan.

Dengan keputusan itu, Home United kini memintas kedudukan Harimau Muda di tangga keempat liga apabila mengutip 35 mata, tiga mata di depan skuad muda negara yang begitupun kurang beraksi dua perlawanan.

Selepas berdepan Wellington, Harimau Muda akan melayan kunjungan Balestier Khalsa (27 September) dan Gombak United (30 September) di Stadium Yishun.

Bagi aksi sepanjang Oktober pula, Harimau Muda akan membuat perhitungan dengan Hougang United di tempat lawan (20 Oktober) sebelum melayan kunjungan Geylang United empat hari kemudian. Mereka akan menutup tirai Liga S berdepan pendahulu liga, Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar pada 1 November depan.

Dakwaan tidak berasas - Rozi

Posted:

Dakwaan tidak berasas - Rozi

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my

ROZI (tengah) menganggap dakwaan terhadap skuad T-Team sebagai tidak berasas.


PENGURUS T-Team, Rozi Mamat terkejut dengan dakwaan pihak tertentu bahawa lima pegawai termasuk penolong jurulatih pasukan berstatus kelab itu masih belum menerima elaun yang tertunggak sejak tiga bulan lalu.

Beliau menyifatkannya sebagai satu dakwaan berat dan mempunyai niat tertentu sehingga boleh menjejaskan reputasi pasukan berkenaan.

"Saya sangat sedih dan dakwaan ini cukup berat, ada niat yang tidak baik dan cuba menangguk di air keruh pada pasukan (T-Team) yang sedang dilanda kemelut.

"Dakwaan ini tidak berasas dan tidak benar, saya tak tahu daripada mana mereka mendapat laporan ini. Kalau ada mana-mana pemain atau jurulatih yang tak dibayar gaji atau elaun, tolong beritahu saya. Sebenarnya kita sentiasa mengambil berat tentang kebajikan mereka," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Terengganu berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang Kejohanan Lumba Basikal Terengganu Century Ride sempena sambutan Hari Malaysia di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu semalam.

Rozi diminta mengulas laporan akhbar mengenai kekesalan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said terhadap pengurusan T-Team yang didakwa gagal melunaskan tunggakan elaun lima pegawai termasuk penolong jurulatih pasukan itu sejak tiga bulan lalu.

"Setahu saya, hanya tiga pegawai di peringkat pengurusan pasukan itu yang masih belum dibayar elaun untuk bulan Ogos, bukannya tertunggak tiga bulan seperti mana didakwa.

"Hanya tiga orang sahaja pegawai yang belum menerima elaun, itu pun hanya untuk bulan Ogos. Kita bukan tak ada duit malah kita sedia untuk bayar kepada mereka, cek pun dah dikeluarkan cuma terbantut seketika kerana masalah teknikal," ujarnya.

Beliau menambah, apa yang lebih penting, orang yang terlibat secara langsung dengan pasukan diberi keutamaan.

Katanya, gaji dan elaun para pemain mesti dibela malah pihaknya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab menjaga kebajikan para pemain pasukan berkenaan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan