Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


FAM 'syok sendiri'

Posted: 08 Oct 2012 04:46 PM PDT

Khalid kritik pasukan Liga M culas bayar gaji

Kuala Lumpur: Status profesional bola sepak negara atas sekadar nama saja!

Demikian tegas bekas pemain negara, Khalid Ali yang menyifatkan kegagalan pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia melunaskan bayaran gaji pemain dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sepatutnya tidak berlaku lagi.
"Ini bukan isu baru, tetapi saban tahun masalah pasukan gagal membayar gaji pemain dan mencarum kepada KWSP masih berlaku. Adakah ini boleh dikatakan bola sepak negara berstatus profesional? Bagi saya kita hanya profesional atas nama saja.

"Sepatutnya, FAM mencari jalan bagi mengatasi masalah ini supaya tidak berulang dan cara terbaik menyimpan sebahagian geran tahunan yang sepatutnya disalurkan kepada negeri membayar tunggakan gaji pemain atau caruman kepada KWSP andai ada yang tertunggak.

"Jika tiada tunggakan, negeri boleh menerima baki sebahagian geran itu pada setiap tamat akhir musim," katanya semalam.

Kelmarin, FAM mengeluarkan amaran kepada pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia supaya melunaskan pembayaran gaji pemain sebelum tarikh akhir pendaftaran pada 26 November ini atau pasukan terbabit berdepan risiko tidak dibenarkan bertanding musim depan.
FAM juga menuntut 10 pasukan menyelesaikan segera tunggakan caruman KWSP yang berjumlah RM2.1 juta musim ini.

Amaran FAM itu turut dilaporkan dalam agensi berita antarabangsa, Reuters sekali gus mencemarkan reputasi bola sepak negara kerana ia tersebar ke seluruh dunia mengenai kegagalan pasukan membayar gaji dan caruman KWSP.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai keputusan FAM yang membuat pusingan 'U' dengan menukar format daripada 24 pasukan kepada hanya 16 pasukan yang layak bertanding Piala Malaysia tahun depan, Khalid menyambut baik langkah itu kerana ia mampu mengekalkan prestij piala keagungan itu.

"Orang luar walaupun bodoh sekali pun, kita perlu ambil kira pendapat mereka. Saya pasti walaupun bukan semua boleh diambil tetapi niat mereka tetap sama iaitu mahu lihat peningkatan kualiti bola sepak negara.

"Sepatutnya sebelum membuat sebarang keputusan, perkara ini perlu dibincang dengan semua pihak. Mungkin mereka (FAM) baru sedar. Bukan tidak boleh banyak pasukan dibenarkan bertanding tetapi kita kena fikir banyak perkara.

"Kalau banyak pasukan dibenarkan bertanding, kita juga kena fikir soal bajet dan kemampuan sebenar kita untuk menganjurkannya," katanya.

'Naluri pemusnah Norfarhan'

Posted: 08 Oct 2012 04:42 PM PDT

Jaringan awal Jumaat ini penentu tiket ke final

Kota Bharu: Penjaring gol kemenangan Kelantan, Norfarhan Mohammad berjanji akan cuba merobek sekali lagi gawang Selangor bagi membantu The Red Warriors mendapat jaringan awal dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

Pemain sayap berusia 28 tahun itu menegaskan jaringan awal dalam perlawanan itu amat penting bagi mengukuhkan kedudukan pasukan sekali gus memberi tekanan berganda kepada barisan Red Giants.

"Saya percaya jika kami dapat jaringan awal, ia akan membuatkan Selangor tambah tertekan. Jadi, kami akan buru jaringan awal dalam perlawanan itu dan saya berharap dapat menjaringkan gol lagi," kata pemain kelahiran Terengganu itu.
Jaringan Norfarhan pada minit ke-61 menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan dalam perlawanan suku akhir pertama di Kota Bharu, Sabtu lalu.

Kedudukan masih 0-0

Norfarhan juga mengingatkan rakan sepasukan melupakan segera kemenangan tipis 1-0 itu, sebaliknya menganggap aksi 90 minit separuh akhir kedua baru bermula dengan kedudukan kedua-dua pasukan terikat 0-0.

Norfarhan berkata, dia tidak mahu rakan sepasukan selesa dengan kedudukan itu hingga mengakibatkan mereka leka sekali gus dihukum Red Giants.
"Saya harap rakan sepasukan yang lain dapat bermain dengan penuh semangat seperti diperagakan dalam perlawanan separuh akhir pertama di Kota Bharu bagi memastikan The Red Warriors layak ke final tahun ini.

"Walaupun bekalan satu gol bukan jaminan selesa namun sedikit sebanyak saya akui ia mampu menjadi penyuntik semangat buat kami beraksi dengan lebih yakin sekali gus memburu tempat ke pentas akhir.

"Biarpun sedar Selangor mempunyai kelebihan bermain di depan penyokong sendiri, namun saya yakin dengan semangat yang ada kami mampu membenam lawan di Shah Alam nanti," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen