Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Hati-hati Selangor’

Posted: 08 Oct 2012 09:09 AM PDT

BARISAN pertahanan Selangor digesa lebih waspada dan peka dengan jentera serangan Kelantan bagi memastikan impian Merah Kuning menyempurnakan Misi 33 terus menyala.

Watak penting barisan pertahanan kini menjadi harapan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali bagi memastikan gawangnya tidak dibolosi dengan mudah pada pertemuan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Jumaat ini selain harapan tinggi diletakkan kepada jentera serangan diketuai Bosko Balaban.


"Saya harap mereka meneruskan corak permainan yang dipamerkan Khamis lalu. Ia secara tidak langsung memberikan keyakinan kepada saya yang menjadi individu terakhir memastikan gawang tidak bocor di saat kami memerlukan gol penyamaan seawal mungkin," katanya yang turut menaruh harapan penyokong Merah Kuning akan hadir memenuhi stadium.

Jentera serangan Kelantan yang diketuai penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohammed Ghaddar sememangnya berbahaya musim ini hingga berjaya melonjakkan The Red Warriors muncul juara Liga Super dan Piala FA dan kini mengejar kejuaraan treble yang kali terakhir dilakukan Kedah pada musim 2008. Bagi perlawanan timbal balik di Stadium Shah Alam, khidmat pemain pertahanan tengah, Mohd Nasriq Baharom tidak dapat digunakan kerana dilayang kad merah di Kota Bharu namun pengendali, Irfan Bakti Abu Salim dilihat tidak bermasalah menggantikan pemain lain untuk menggalas tugas bergandingan dengan Ramez Dayoub.


Malah Norazlan berkeyakinan tinggi tiada yang mustahil untuk direalisasikan Merah Kuning di hadapan penonton sendiri walaupun lawan membawa bekalan satu gol hasil jaringan Norfarhan Muhammad di Stadium Sultan Muhammad IV.


"Kami kekal sebagai pasukan bukan pilihan dan ia sedikit sebanyak mengurangkan tekanan. Paling penting pemain memberi komitmen penuh bagi memastikan ia dapat diakhiri dalam tempoh 90 minit," katanya.

Kali terakhir juara 32 kali Piala Malaysia itu mara ke final pada 2008 namun kecundang 2-3 kepada Kedah.


Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memaklumkan tiket bagi perlawanan terbabit mula dijual pada Khamis bermula jam 9 pagi hingga 7 petang dan pada hari perlawanan bermula jam 9 pagi hingga 8 malam di Stadium Shah Alam dengan harga RM15 bagi orang dewasa manakala kanak-kanak, RM5.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/08


Strategi berhasil

Posted: 08 Oct 2012 09:04 AM PDT

PERCATURAN jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang seakan menjadi apabila skuad pelapis yang turun beraksi di Kejohanan Remaja Dunia ke-19 di Adelaide, Australia, mencatat kedudukan lima terbaik dunia dengan empat daripadanya mara ke final pada hari pembuka tirai semalam.

Kam Ling Kar muncul penerjun terbaik apabila berada di tangga keempat acara platform wanita dengan tewas tipis di belakang pemenang pingat perak Olimpik 2012 London, Britteny Broben dari Australia.


Atlet pelapis berusia 16 tahun itu mencatat 323.05 mata untuk berada di belakang Samantha Bromberg dari Amerika Syarikat (AS), 336.55 di tangga ketiga, Brittany (370.75), dan pendahulu dari China, Lan Yi 405.90.

Meskipun tidak meraih pingat pada hari pertama, kejayaan Ling Kar memberi bayangan Malaysia mampu melahirkan lebih ramai penerjun bertaraf dunia apatah lagi mencatat kutipan mata agak hampir dengan lawan yang menundukkan ratu terjun negara, Pandelela Rinong di London.


Ling Kar bersama rakan segandingan Jasmine Lai turut menduduki tangga ketujuh acara 3 meter papan anjal seirama selepas mengumpul 258.96 mata. Jasmine sebelum itu turut cemerlang menduduki tangga kelapan 3 meter papan anjal individu, 351.5 mata.


Abang Pandelela, Pardika Indoma turut tidak kurang hebat apabila menduduki tangga kesembilan bersama Rashid Muhammad Abdul dalam acara 3m papan anjal seirama.

Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (Asum), Edwin Chong berkata, pihaknya tidak meletakkan sebarang tekanan buat pelapis menyumbang pingat namun menganggap ia adalah bonus andai ada yang berjaya.


"Kita sebelum ini pernah meraih pingat emas menerusi beberapa jaguh terjun negara antaranya Bryan Nickson Lomas dan Yeoh Ken Nee. Tidak mustahil, Malaysia mampu melakar kejayaan sekali lagi di sini," katanya.

Kejohanan Remaja Dunia di Adelaide, Australia berakhir 13 Oktober ini dengan menampil penerjun remaja terbaik yang beraksi dalam dua kategori usia, Kumpulan A (16-18 tahun) dan Kumpulan B (14-15) untuk acara 1m dan 3m papan anjal dan 10m platform.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/08


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen