Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Tekad Zakry-Fairuzizuan

Posted:

Tekad Zakry-Fairuzizuan

GANDINGAN Koo Kien Keat-Tan Boon Heong nampaknya sudah tidak boleh terlalu selesa dengan status selaku beregu No. 1 negara.

Ini kerana, Kien Keat-Boon Heong sudah ada ancaman dalam usaha mereka mereka mengekalkan status tersebut.

Beregu profesional negara, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzizuan Mohd. Tazari membuktikan gandingan mereka masih relevan selepas menjuarai Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Terbuka Taiwan 2012 kelmarin.

Kejayaan itu hadir selepas Zakry-Fairuzizuan menewaskan beregu Indonesia, Angga Pratama-Ryan Agung Saputra 21-12, 21-14 pada perlawanan akhir kelmarin.

Ia sekali gus meletakkan mereka pada landasan tepat dalam usaha merampas status sebagai beregu No. 1 negara biarpun kini bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC).

Mungkin masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa Zakry-Fairuzizuan mampu menggugat status Kien Keat-Boon Heong namun kejayaan di Taiwan dianggap sebagai satu petanda terhadap kebangkitan mereka.

Mengakui sukar untuk melaksanakan matlamat tersebut dalam tahun ini berdasarkan kedudukan ranking dunia, Zakry-Fairuzizuan optimis ia mampu direalisasikan pada tahun depan.

"Memang kami mahu mengambil alih status selaku beregu No. 1 negara kerana ia bukan suatu yang mustahil.

"Namun, untuk melakukannya pada tahun ini memang sukar dan mengambil sedikit masa kerana kami ketinggalan jauh berdasarkan kedudukan ranking dunia. Ketika ini, kami menghuni rangking No. 27 dunia manakala Kien Keat-Boon Heong menghuni ranking No. 6.

"Jadi, jika semuanya berjalan mengikut perancangan dan kami boleh mengekalkan konsistensi kami pada kejohanan-kejohanan akan datang, tahun depan adalah masa yang paling tepat untuk mencabar kedudukan Kien Keat-Boon Heong," kata Zakry ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Melihatkan kepada matlamat tersebut ia memang sukar tetapi jika Kien Keat-Boon Heong terus bergelut dengan prestasi tidak menentu seperti mana yang dialami mereka sebelum ini, peluang Zakry-Fairuzizuan pasti akan tiba.

Namun, dengan syarat, mereka perlu kekal konsisten dan melakarkan seberapa banyak kejayaan yang boleh dalam mana-mana kejohanan disertai selepas ini.

"Saya yakin kami boleh melakukannya. Persembahan kami di Taiwan adalah yang terbaik selepas setahun kami bergandingan semula.

"Lagipun, kami sudah mula mendapat rentak permainan semula dan tahap keyakinan diri kami juga semakin meningkat. Ini merupakan petanda positif bagi karier kami dalam sukan badminton.

"Apa yang akan kami lakukan selepas ini adalah terus mengikut program latihan yang telah dirancang oleh jurulatih (Razif Sidek). Dalam masa yang sama, kami akan memperbaiki segala kelemahan," jelas Zakry.

Sebagai rekod, kejuaraan di Taiwan adalah yang pertama buat Zakry-Fairuzizuan sebaik bergandingan semula selepas membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Ogos 2011.

Sebelum itu, pencapaian terbaik mereka ialah muncul naib juara pada GP Emas Terbuka Thailand Jun lalu.

Kali terakhir gandingan mereka bergelar juara adalah pada Siri Super Terbuka India 2010 sebelum mereka dipisahkan oleh BAM.

NSA kurang kreatif - Tunku Imran

Posted:

NSA kurang kreatif - Tunku Imran

TUNKU Imran beramah mesra dengan sebahagian penerima dana pada majlis penyampaian dana indivdidu SportExcel di Kuala Lumpur semalam.


PERSATUAN sukan kebangsaan (NSA) digesa supaya lebih proaktif dalam melaksanakan program pembangunan yang komprehensif kepada para atlet di peringkat remaja.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar berkata, beliau melihat NSA tidak melaksanakan secukupnya program pembangunan bakat remaja seiring dengan perbelanjaan besar yang dikeluarkan kerajaan bagi tujuan berkenaan.

"Kekurangan pelan tindakan pembangunan yang komprehensif oleh persatuan sukan kebangsaan termasuk sukan yang tersenarai dalam Olimpik akan menyukarkan usaha mencari bakat berkaliber," katanya pada majlis penyampaian peruntukan individu SportExcel di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata, NSA juga harus mengambil peluang menerusi program '1Murid 1 Sukan' untuk bekerjasama dengan pihak sekolah dan komuniti setempat bagi menggalakkan lagi aktiviti sukan dalam kalangan pelajar.

"Persatuan sukan kebangsaan boleh menganjurkan lebih banyak aktiviti untuk peringkat remaja supaya bakat muda mempunyai lebih banyak peluang untuk mengembangkan bakat mereka," kata Tunku Imran.

"Perkenalkan kejohanan-kejohanan pada peringkat negeri dan sekolah, tubuhkan kelab dan libatkan sama ibu bapa pelajar," katanya.

Sementara itu, sebanyak 47 atlet berbakat berumur antara 10 dan 22 tahun menerima RM1,000 dan RM1,500 (keseluruhan RM66,500) daripada SportExcel di atas pencapaian cemerlang mereka pada peringkat kejohanan remaja.

Mereka termasuk gimnas berirama, Fatin Zakirah Jalany Zain Jalany yang meraih lima pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) baru-baru ini, Olahragawan Johor 2010, Muhammad Shahril Sahak daripada sukan menembak dan pemain tenis yang sedang meningkat naik, Talhah Mohamad Rahizam.

Talhah, 14, berkata, peruntukan tersebut dapat membantunya menampung kos membeli peralatan sukan seperti raket dan kasut.

Ratu skuasy negara dan pemain No. 1 dunia, Datuk Nicol David adalah antara atlet yang pernah menerima insentif SportExcel sebelum ini.

KBS restui langkah BAM 'pikat' Joo-bong

Posted:

KBS restui langkah BAM 'pikat' Joo-bong

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

AHMAD SHABERY (tiga dari kanan) ketika menerima penajaan untuk program Sports Trade and Golf Expo 2012 di Putrajaya semalam.


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) merestui langkah yang mahu diambil oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menandatangani jurulatih asing bagi memegang jawatan Pengarah Kejurulatihan Prestasi Tinggi badan induk sukan badminton negara itu.

BAM dilaporkan sedang memikat jurulatih dari Korea Selatan, Park Joo-bong yang kini memegang jawatan sebagai ketua jurulatih Jepun untuk sekali lagi bersama skuad badminton negara pada awal tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, langkah yang diambil oleh BAM merupakan keputusan yang profesional dalam usaha untuk membangunkan sukan badminton negara pada masa akan datang.

"Kita tidak semestinya memikirkan produk itu (jurulatih dan kejurulatihan) tempatan atau tidak tetapi yang terbaik kerana jurulatih bukan sahaja mengajar kita dari segi teknikal.

"Seorang jurulatih harus mendahului semua aspek kerana jurulatih yang baik itu boleh menjadi seorang bapa atau abang yang baik yang dapat membina kekuatan mental pemain dan sebagainya.

"Pemain yang baik tidak semestinya dapat menjadi jurulatih yang baik. Jadi bagi saya, kita perlu menghormati pilihan yang dibuat oleh BAM," katanya semalam.

Jelas Ahmad Shabery lagi, isu bayaran untuk mendapatkan jurulatih tidak perlu dipersoalkan kerana tindakan ini dilakukan untuk meraih sesuatu yang baik untuk masa depan sukan negara.

"Soal jurulatih mahal atau murah tidak ada tetapi kita hendak yang terbaik di sini.

"Isu mahal atau tidak mahal kita perlu jawab juga akhirnya kalau kita tidak berjaya," tambahnya.

Terdahulu, Ahmad Shabery menerima tajaan daripada syarikat Figos Sdn. Bhd. sempena penganjuran Malaysia Sports Trade and Golf Expo (MSTGE) 2012 bernilai RM10,000 yang akan berlangsung pada 25 Oktober ini.

KBS turut menerima tajaan berbentuk peralatan gim daripada Dynamex Health & Gym Sdn. Bhd. bernilai RM50,000.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen