Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Zulfahmi jejak podium

Posted: 21 Oct 2012 02:55 PM PDT

JANJI Muhammad Zulfahmi Khairuddin untuk menaiki podium di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sekali gus mencipta sejarah untuk negara, menjadi realiti apabila pelumba sensasi berusia 21 tahun itu menduduki tempat kedua saingan Moto3 semalam walaupun dia sebenarnya hampir memenangi perlumbaan itu.

Jika tidak kerana kesilapan ketika dua selekoh terakhir menuju ke garisan penamat yang memberi ruang kepada pelumba Red Bull KTM Ajo, Sandro Cortese memintas untuk memenangi perlumbaan itu, Zulfahmi sudah pasti menikmati kejayaan lebih manis di depan penyokong sendiri.


Namun tempat kedua dengan catatan 40 minit 54.151 saat sudah memadai buat pelumba AirAsia SIC Ajo itu untuk mencuri tumpuan 77,000 penonton yang hadir di SIC untuk menyaksikan saingan itu.

Pada perlumbaan itu, Zulfahmi yang bermula di petak pertama, bagaimanapun ketinggalan seawal pusingan pertama selepas Jonas Folger memotongnya dan memimpin saingan sehinggalah pertengahan perlumbaan.


Namun di pusingan ke-11, pelumba dari Banting, Selangor itu memotong Folger dan memimpin saingan sehingga pusingan terakhir tapi Cortese yang sudah mengesahkan kejuaraan dunia bagi kelas Moto3 hasil kemenangan semalam, memintasnya pada dua selekoh terakhir itu.


"Saya melakukan kesilapan di dua selekoh terakhir itu dan ia membenarkan Cortese untuk memintas saya. "Saya cuba untuk berada semula di depan pada selekoh terakhir tapi saya terlewat menekan brek. Kami bergesel sedikit dan saya kemudian memutuskan tempat kedua lebih baik daripada terjatuh.

"Apapun, saya memang percaya sebelum perlumbaan, peluang untuk menaiki podium agak cerah kerana jentera saya berada dalam keadaan terbaik. Kedudukan kedua itu sudah cukup baik tapi saya percaya kemenangan akan hadir tidak lama lagi. "Terima kasih juga kepada semua penyokong yang hadir di Sepang," katanya yang menyambut hari jadi kelmarin.


Cortese yang juga rakan sepasukan Zulfahmi, memenangi perlumbaan sekali gus muncul juara dunia dengan pungutan 280 mata manakala tempat ketiga milik Folger. Cortese mencatat 40:54.123s manakala Folger, 40:54.370s.

Selepas 16 perlumbaan, Zulfahmi berada di tempat ketujuh dengan 112 mata dan akan menyertai Grand Prix Australia, minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/22


PKS tetap cemerlang

Posted: 21 Oct 2012 02:51 PM PDT

WALAUPUN berdepan cabaran terpaksa menukar pemain di saat akhir apabila seorang daripada peserta mereka demam, ia tetap tidak mematahkan semangat pasukan Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS)-Malaysia untuk terus berjuang.

Hasilnya, pasukan yang baru dua kali menyertai Varsity Boat Race 2012 (VBR) dan Kejohanan Tahunan Sukan Rowing & Kayak peringkat universiti itu berjaya merangkul gelaran juara pemenang keseluruhan bagi acara mendayung.


Pasukan di bawah bimbingan jurulatih, Abdul Halim Aziz itu muncul juara kategori berkenaan selepas merangkul tiga pingat emas, satu perak dan dua gangsa apabila kejohanan enam hari itu berakhir semalam.

Mengakui turut terpaksa berdepan dengan perang psikologi pasukan lain, ketuanya, Mazlie Daham, 23, berkata, peranan 'senior' yang sudah berpengalaman dalam meniup semangat kepada junior ketika dilanda perasaan putus asa atau kecewa, memainkan peranan utama bagi menentukan kejayaan mereka.


"Cuaca tidak menentu ter utama hujan lebat bukan masalah besar kepada kami, tapi kami perlu mengatasi perang psikologi yang dilancarkan pasukan tertentu. Pesanan jurulatih jangan panik dan sentiasa tenang sepanjang pertandingan, itulah yang menjadi pegangan kami.


"Malah, beberapa senior yang turut berada dalam pasukan banyak memberi sokongan dan semangat kepada kami," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Datuk Prof Mohd Tajuddin Ninggal di Kompleks Sukan Air Presint 6, Putrajaya, semalam.

Kejohanan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan UTM itu membabitkan 32 pasukan daripada 18 institusi pengajian tinggi awam (IPTA), sembilan universiti luar negara dan empat sekolah menengah sekitar Putrajaya.


Sementara itu, pasukan Nanyang Technological University (NTU) Singapura dinobat pemenang keseluruhan bagi acara kayak selepas menggondol dua emas dan dua perak.

Pengurus pasukannya, Chia Chin Yen, berkata beliau melihat pasukannya berpotensi untuk meraih kemenangan kerana latihan intensif dilakukan sebelum menyertai pertandingan.


Namun, katanya persaingan agak sukar dan sengit terutama apabila terpaksa berdepan dengan cuaca tidak menentu.


"Tapi hasil latihan enam hari seminggu dua kali sehari, kejayaan itu milik kami. Lebih manis lagi, kemenangan pertama ini diraih menerusi penyertaan pertama kami dalam VBR tahun ini.


"Terima kasih kepada UTM dan KPT yang menjemput kami menyertai pertandingan ini dan kami berhasrat untuk menyertai pertandingan ini pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/22


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen