Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


Amaran Raja!

Posted: 21 Nov 2012 02:34 PM PST

Tampil tahap permainan sebenar atau panaskan bangku simpanan!

Itu amaran jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal (kanan) terhadap anak buahnya jika gagal bermain bersungguh-sungguh pada aksi sulung Kumpulan B, Piala Suzuki AFF bertemu Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.

Beliau bernada lebih serius kali ini selepas melihat aksi longlai anak buahnya ketika sekadar seri 1-1 dengan pasukan ranking 171 dunia, Bangladesh pada perlawanan persahabatan terakhir, malam kelmarin.

"Kalau ada mana-mana pemain yang tak mempamerkan permainan sebenar ketika bertemu Singapura, saya akan terus buat pertukaran drastik tanpa mengira siapa pemain itu. Saya tidak peduli.

"Lihat saja bertemu Bangladesh ini, saya terus keluarkan empat pemain utama pada waktu rehat. Kami serius tentang hal ini.

"Ambil ia sebagai cabaran dan harap mereka sedar untuk tidak mengulanginya ketika bertemu Singapura nanti," kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan dengan pasukan berkenaan di Stadium Nasional, malam kelmarin.

Bagi jurulatih berusia 56 tahun itu, tindakan berkenaan bukan perkara baru kerana sebelum ini pernah melakukannya selepas Harimau Malaya tewas 5-1 kepada Indonesia pada aksi sulung Kumpulan A, Piala Suzuki AFF 2010, di Jakarta.
Rajagobal melakukan tindakan drastik menukar terus tiga pemain kesebelasan utamanya ketika bertemu Thailand pada perlawanan kedua.

Mengulas aksi hambar skuadnya ketika bertemu Bangladesh, Rajagobal berkata: "Cukup mengecewakan...saya terkejut kerana pemain nampak letih, cukup perlahan dan tiada pergerakan menarik."

Dalam pada itu, kecederaan dialami penyerang, Zaquan Adha Radzak pada perlawanan malam kelmarin menyaksikan Rajagobal seakan 'menjilat ludah sendiri' dengan akur untuk memanggil semula pemain Pahang, Azamuddin Akil yang digugurkan secara drastik selepas seri 1-1 dengan Hong Kong, 14 November lalu.

"Lebih kurang saya sudah ada bayangan 22 pemain terakhir. Tapi saya hanya akan umum siapa dua lagi pemain yang akan digugurkan dalam sehari dua ini. Saya tak boleh umum lagi kerana masih boleh berlaku kecederaan dalam tempoh ini."

Harimau Malaya dapat suntikan semangat

Posted: 21 Nov 2012 02:32 PM PST

Petaling Jaya: Datuk Seri Najib Razak yakin skuad Harimau Malaya mampu bangkit selepas persembahan kurang memberangsangkan pada siri perlawanan persahabatan bagi mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF, bermula Ahad ini.

Perdana Menteri berkata apa yang penting, setiap pemain perlu memberi komitmen seratus peratus dan percaya kepada kebolehan masing-masing.

"Saya yakin dengan pemain dan jurulatih. Bila kita jatuh kita kena bangun semula. Kalau kita berjaya kita lipat gandakan usaha," katanya ketika memberi amanat kepada Skuad Harimau Malaya di Wisma FAM di Kelana Jaya, semalam.

Sebelum itu, beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau latihan skuad negara dan mendengar penerangan daripada pengurus pasukan Datuk Seri Subahan Kamal dan ketua jurulatih Datuk K Rajagobal.

Malaysia akan membuka tirai perlawanan Kumpulan B Piala Suzuki AFF menentang Singapura pada Ahad ini, berdepan Laos pada 28 November sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Indonesia pada 1 Disember.

Semua perlawanan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Kumpulan A pula terdiri daripada pasukan tuan rumah Thailand, Vietnam, Myanmar dan Filipina.

Najib berkata sebagai Perdana Menteri beliau mewakili kerajaan untuk terus memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya dalam saingan kejohanan berkenaan.
Beliau percaya rakyat dan peminat bola sepak tempatan akan terus memberi sokongan kepada skuad negara pada kejohanan berprestij di rantau ASEAN itu.

Beliau berkata, jika skuad Harimau Malaya melakar kejayaan pada kejohanan itu kerajaan akan memberi insentif kepada mereka.

Beliau mendoakan agar skuad Harimau Malaya mencipta kejayaan pada saingan berkenaan.

Perdana Menteri kemudian menerima jersi baru skuad Harimau Malaya daripada ketua pasukan Safiq Rahim yang tertera nama Najib dan Nombor 11.
BERNAMA

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen