Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Misi tiga mata

Posted: 24 Nov 2012 04:48 AM PST

"TIADA sebarang gangguan dan pemain kini fokus untuk menentang Singapura". Itu kenyataan ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal yang bakal memulakan misi mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012 bermula malam ini.

Menurut pengendali berusia 56 tahun itu, pemain kini tidak terganggu dengan sebarang perkara yang berlaku di luar padang terutamanya masalah kontrak membabitkan penyerang paling bernilai Liga Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha dan penjaga gol utama Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat yang bakal menamatkan zaman bujangnya bulan depan.


"Saya tahu Norshahrul dan Khairul Fahmi fokus kerana melihat sendiri persembahan mereka setiap hari dalam latihan. Mereka sedar kepentingan untuk fokus sepenuhnya pada perlawanan malam esok (malam ini). Persembahan yang bakal dipamerkan menentang Singapura akan menentukan sama ada mereka fokus atau sebaliknya," katanya pada sidang media semalam.

Dua pemain Kelantan itu antara tonggak negara yang menjulang kejuaraan edisi 2010 dengan Norshahrul kini masih belum menemui jalan penyelesaian sepenuhnya untuk berhijrah ke Johor manakala Khairul Fahmi pula membuat pengumuman mengejut apabila mengaku akan berkahwin pada 28 Disember.


Rajagobal turut menolak kebimbangan terhadap kemarau jaringan Norshahrul ketika gandingannya, Safee Sali tampak sudah kembali pada tahap terbaik selepas menamatkan kemarau jaringan untuk skuad kebangsaan dalam tempoh hampir setahun.


"Saya tidak bimbang, apa yang membimbangkan saya adalah perlawanan esok (malam ini)," katanya ketika ditanya mengenai Norshahrul yang sudah beberapa kali ketandusan gol di pentas antarabangsa.

Situasi itu turut menyumbang kepada keputusan hambar skuad negara dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini namun Rajagobal tetap mempunyai beberapa pilihan andai mahu menambahkan sengat terutamanya dengan kehadiran penyerang Harimau Muda A, Ahmad Hazwan Bakri.


Mengenai aksi menentang juara tiga kali, Singapura, Rajagobal berkata, mereka saling mengenali antara satu sama lain dan menolak andaian akan ada banyak kejutan yang bakal diberikan lawan.

"Namun bagi saya sama ada lawan akan memberikan kejutan, keutamaan saya adalah pasukan sendiri dan kami akan turun menentang mereka dengan keyakinan tinggi." Malaysia perlu meraih tiga mata dalam aksi pembukaan menentang Singapura bagi memastikan tiket ke separuh akhir lebih awal dapat ditempah dengan Laos menunggu pada perlawanan kedua dan Indonesia yang juga naib juara edisi 2010 menanti pada 1 Disember bagi melengkapkan saingan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24



Gisela gantung raket

Posted: 24 Nov 2012 04:44 AM PST

BEKAS pemain beregu nombor satu dunia dan juara beregu wanita Terbuka Australia 2011, Gisela Dulko dari Argentina menggantung raketnya pada usia 27 tahun.

Gisela berada dalam kelompok 100 pemain terbaik dunia acara perseorangan buat lapan musim berturut-turut dari 2004 hingga 2011, memenangi empat kejuaraan perseorangan selain 17 kejuaraan beregu.


"Ini bukannya satu keputusan yang mudah, di sebalik hakikat ia sudah saya fikirkan sejak sekian lama," kata Gisela. "Tenis sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya sejak 20 tahun lalu." Gisela beraksi dalam undian utama kejohanan WTA buat julung kali di Miami pada 2001 dan kali pertama berada dalam kelompok 50 pemain terbaik pada 2004. Dia kemudian mencatat rekod lima musim dalam ranking 50 terbaik dunia dan berada di kedudukan terbaik karier di tangga ke-26 dunia pada 2005.

Kejayaan terbesarnya adalah di kancah acara beregu. Gisela bertindak cemerlang bersama pasangannya Flavia Pennetta dari Itali pada 2010. Dia memenangi lapan kejuaraan (tujuh bersama Flavia) dan berada di tangga pertama dunia selepas memenangi Kejohanan WTA, menamatkan musim dengan rekod 55-14 tahun itu.


"Ucapan terima kasih tidak terhingga buat Flavia," kata Gisela. "Bersama kami menjadi pasangan nombor satu dunia, memenangi kejuaraan Grand Slam dan Kejohanan WTA." Pada 2011, Flavia dan Gisela memenangi Terbuka Australia apabila menundukkan Maria Kirilenko dan Victoria Azarenka pada perlawanan akhir.


"Memori paling indah saya bersama Flavia adalah keakraban kami." Tahun lalu, Gisela bergandingan dengan rakan senegara dari Argentina, Paola Suarez dengan impian untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik. Mereka layak ke empat separuh akhir namun kecundang pada pusingan pertama Olimpik di tangan beregu China, Li Na dan Zhang Shuai.

Gisela berkahwin dengan pemain bola sepak Fernando Gago di Buenos Aires pada 2011. Dia dilatih abangnya, Alejandro.


"Saya akan terus mencintai sukan tenis sepanjang hayat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen