Utusan Online - Sukan |
Posted: Perak kekal rekod tanpa kalah
KUALA LUMPUR - Perak semakin garang pada permulaan Liga Super apabila mencatat kemenangan bergaya 2-0 ke atas Pahang di Stadium Darul Makmur untuk berada di tangga kedua di belakang Kelantan, sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah kepada lima perlawanan. Gandingan Muhammad Syafiq Jamal dan Akmal Rizal Rakhli menjadi duri dalam daging kepada pertahanan lawan apabila masing-masing menjaringkan satu gol pada separuh masa pertama. Syafiq yang juga bekas penyerang Kedah membuka tirai jaringan skuad Seladang pada minit ke-22, melalui sepakan jarak jauh dari luar kotak penalti selepas tidak dikawal oleh pertahanan Pahang. Akmal terus membuktikan bisanya bersama Perak apabila berjaya meraih gol ketiga peribadi musim ini selepas meletakkan skuad pelawat 2-0 pada minit ke-45, ekoran situasi kelam kabut di hadapan pintu gol Pahang. Di Stadium Shah Alam, Harimau Muda A sekadar seri 1-1 dengan Felda United dalam perlawanan yang berlangsung hambar pada separuh masa pertama. Bintang skuad Olimpik, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria yang dimasukkan oleh Ong Kim Swee bagi menggantikan K. Ravindran pada separuh masa kedua, terus memberikan impak apabila rembatan kaki kirinya menemui sasaran untuk gol pertama Harimau Muda A pada minit ke-46. Namun, Felda tidak mengaku kalah dengan jaringan pendahuluan itu, sebaliknya terus mengasak dalam usaha mencari gol penyamaan dan hasilnya menjelma pada minit ke-67 apabila S. Sivanesan menjatuhkan Farderin Kadir di dalam kotak penalti. Pengadil perlawanan tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada Felda yang tenang disempurnakan oleh Liew Kit Kong bagi mengikat keputusan 1-1. Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan bangkit daripada kekalahan dua kali berturut-turut dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah, hasil jaringan Hairuddin Omar pada minit ke-76. Johor FC pula berjaya menyekat Selangor daripada meraih kemenangan apabila seri tanpa jaringan di Stadium JCorp yang menyaksikan skuad bimbingan K. Devan itu jatuh ke tangga keenam dengan lapan mata dipintas oleh Negeri Sembilan. T-Team akhirnya menemui kemenangan pertama selepas lima perlawanan apabila membenam pasukan tercorot liga, Perlis 3-0 di Stadium Utama, Kangar. Khairul Izwan Khalid meledak dua gol pada minit ke-3 dan 58, satu lagi gol disumbangkan oleh Muhd. Badrul Hisani hasil umpanan Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-10. | ||
Azizulhasni boleh berjalan tanpa bertongkat Posted: Azizulhasni boleh berjalan tanpa bertongkatOleh ZAZALI JAMIAN KUALA LUMPUR - Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang semakin menunjukkan tanda pemulihan positif selepas menjalani pembedahan membuang serpihan kayu di bahagian betis kiri. Perkembangan terbaru yang pastinya melegakan peminat ialah Azizulhasni kini sudah boleh berjalan tanpa perlu mengunakan tongkat. Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad yang mengikuti perkembangan terkini pelumba itu berkata, jika Azizulhasni pulih dalam masa terdekat, tidak mustahil jaguh negara itu akan beraksi pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Apeldoorn, Belanda pada 23 Mac ini. Katanya, ketika ini Azizulhasni hanya memerlukan masa untuk pulih daripada pembedahan yang dijalankan di Hospital Diraja Manchester. ''Saya ada menghubungi Azizulhasni semalam (kelmarin) dan dia beritahu saya bahawa dia sudah tidak perlukan tongkat lagi untuk berjalan. ''Ini merupakan tanda positif yang ditunjukkan oleh Azizulhasni, malah saya berharap dia dapat beraksi di Apeldoorn pada Mac ini. ''Walaupun pada peringkat awalnya kita bercadang untuk tidak memaksa beliau beraksi pada perlumbaan di Apeldoorn kerana mahu dia berehat, namun jika dia pulih sepenuhnya, sudah pasti kita akan benarkan dia beraksi,'' katanya di sini, semalam. Tambah Naim, kecederaan yang dialami oleh Azizulhasni tidak akan menjejaskan keupayaan pelumbanya, kerana ujian imbasan yang dilakukan mendapati tiada sebarang salur darah terjejas akibat tusukan serpihan kayu trek. 'tidak mengalami kecederaan yang teruk dan kini dia hanya menunggu masa untuk jahitan pada kakinya itu pulih sepenuhnya. ''Saya juga amat yakin prestasi Azizulhasni akan berada seperti sebelum ini selain berupaya memberikan saingan sengit kepada pelumba-pelumba lain,'' kata Naim. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan