Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Gimnastik jodoh Irwan

Posted: 26 Feb 2011 09:49 AM PST

pix_topright

NAMA Mohd Irwan Miskob mungkin sudah dilupakan peminat arena sukan gimnastik negara, tetapi selepas mengundurkan diri sembilan tahun lalu, dia kini kembali untuk menaikkan semula dunia gimnastik lelaki yang disifatkan merudum ketika ini.

Siapa sangka gimnas senior berusia 28 tahun ini masih mampu bersaing apabila beraksi di temasya Sukan Komanwel New Delhi tahun lalu, selepas lama menyepi.

Komitmen menaikkan semula gimnastik lelaki negara tidak mampu disangkal kerana selain bertugas sebagai pendidik, dia sanggup berkorban masa dan tenaga tanpa dibayar wang ringgit walaupun namanya dilapor tidak tersenarai dalam program Majlis Sukan Negara (MSN) ke Sukan Sea Palembang, November ini.

Ikuti temubual wartawan Metro Ahad, WAN NORIZA MEOR IDRIS dengan atlet itu.

MA: Sejak bila anda aktif dalam dunia gimnastik?

MIM : Saya mula aktif sejak 1994, ketika darjah lima. Namun, ia bukan bersandarkan minat tapi umpama 'jodoh' yang ditentukan. Ini kerana, pada waktu itu sekolah saya, Sekolah Kebangsaan Taman Segar Kuala Lumpur, dikunjungi MSN yang mencari bakat gimnas berpotensi untuk diserap ke program Jaya 98 iaitu pemilihan ke Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur.

Namun, pada usia begitu saya tidak didedahkan dengan sukan gimnastik artistik hingga tersalah anggap ia pemilihan pasukan bola sepak menjadikan saya teruja menjalani pemeriksaan dengan MSN, sekali gus terpilih.

Sepanjang latihan, saya sangka ia untuk bola sepak kebangsaan dan meneruskan latihan fizikal agak lama hingga hati ini berasa terlalu hairan kerana tidak ke padang sedangkan kasut bola sepak sudah saya bawa bersama. Justeru, saya terus bertanyakan kepada jurulatih yang menerangkan dengan terperinci.

Bak kata pepatah 'tak kenal maka tak cinta', makin lama, saya makin jatuh hati dengan sukan ini.

MA: Berapa lama anda berada di arena gimnastik dan apakah pencapaian terbaik anda setakat ini?

MIM: Sepanjang 15 tahun membabitkan diri dalam sukan ini, pencapaian terbaik saya adalah pada temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2001 dengan merangkul dua pingat emas.

MA: Siapa menggalakkan anda?

MIM: Ibu bapa memainkan peranan utama menyokong saya dari akar umbi. Mereka tidak lekang menghantar saya ke tempat latihan dan memberikan galakan.

MA: Siapa idola anda?

MIM: Rakan seangkatan Ng Shu Wai (Malaysia) dan Kohei Uchimura dari Jepun kerana semangat juang mereka yang tinggi.

MA: Apakah pengorbanan anda demi gimnastik?

MIM: Pastinya masa dan wang ringgit tapi semua itu tidak menjadi masalah kerana cinta yang begitu mendalam. Apabila sudah menceburkan diri dalam gimnastik, yang lain semuanya ditolak.

Wang ringgit dikorbankan untuk ke tempat latihan kerana saya tidak terima elaun seperti atlet ketika ini.

MA: Apa rahsia kekal gimnas terbaik walaupun usia lewat 20-an?

MIM: Tiada rahsia, cuma latihan berterusan dan keinginan menggenggam kejayaan. Saya makan seperti biasa tiada diet tapi saya minum susu segar setiap hari.

MA: Apakah misi anda tahun ini walaupun sedia maklum nama tidak tersenarai ke Sukan Sea?

MIM: Berlatih secara berterusan dan menjadi yang terbaik di kalangan gimnas sedia ada supaya dapat dipertimbangkan beraksi pada temasya sukan berprestij pada masa akan datang.

MA: Pandangan masa depan gimnastik lelaki? Rancangan menaikkan lagi sukan ini di masa depan.

MIM: Gimnastik pasti meningkat andai masalah gimnas diselesaikan segera. Hakikatnya, masih ramai yang berpotensi. Berilah peluang kepada mereka beraksi untuk negara. Laksana pemilihan terbuka dan pilihlah atlet terbaik walaupun bukan di bawah program MSN.

MA: Apakah perancangan anda untuk gimnastik jika tersenarai dalam program MSN?

MIM: Elaun sebanyak RM500 buat atlet bukanlah sasaran utama saya. Sebaliknya, keyakinan saya akan bertambah sekiranya disenaraikan, kerana jika tidak agak merbahaya buat saya khususnya perlu memikirkan risiko kecederaan serta kos rawatan yang perlu ditanggung sendiri. Saya merancang untuk berlatih sepenuh masa jika disenaraikan dalam program MSN.

MA: Sehingga bila anda akan terus berada di arena gimnastik?

MIM: Sasaran sehingga mencecah usia 35 tahun atau mungkin lebih, selagi terdaya. Saya terlalu cintakan dunia gimnastik dan akan cuba membangunkannya semula. Apatah lagi, saya adalah gimnas paling senior tentunya semangat untuk menaikkan nama Malaysia di arena gimnastik seperti suatu ketika dulu amat tebal.

MA: Pandangan anda terhadap mutu gimnastik lelaki ketika ini?

MIM: Diakui mutu gimnastik ketika ini semakin merudum sejak gelanggang latihan di Maktab Teknik beralih ke Gimnasium 3 MSN, tiga tahun lalu. Perkara ini sememangnya merunsingkan saya dan kerana itu, saya kembali berada di arena ini untuk membangunkan semula sukan gimnastik Malaysia di mata dunia.

Profil

NAMA PENUH: Mohd Irwan Miskob
NAMA PANGGILAN: Irwan
TARIKH LAHIR: 11 ogos 1983
ASAL: Kuala Lumpur
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Diploma Perguruan Malaysia
KERJAYA: Pegawai Pendidikan (Guru) di Sekolah Kebangsaan Yaacob Latif 2, Kuala Lumpur.
STATUS: Berkahwin dan mempunyai tiga cahaya mata, Aainaa Nabilah, 5 tahun, Muhamad Aniq, 2, dan Muhamad Irfan, 2 bulan
ISTERI: Masliza Mohamad, 29, seorang jururawat di Hospital Kuala Lumpur
PENCAPAIAN:

  • 1 emas Sukma Selangor 1998
  • 2 emas Sukma Pulau Pinang 2000
  • 2 emas Sukan Sea Kuala Lumpur 2001
  • 4 emas Kejohanan Kebangsaan 2009
  • 2 emas Kejohanan Kebangsaan 2010
  • Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

    Wenger yakin juara

    Posted: 26 Feb 2011 09:45 AM PST

    LONDON: Arsene Wenger percaya Arsenal mampu tampil pada perlawanan akhir Piala Liga Inggeris menentang Birmingham City hari ini bagi membuktikan mereka akhirnya bersedia untuk mengubah potensi besar kepada kejayaan.

    Apabila Patrick Vieira menjulang trofi Piala FA selepas kemenangan pada perlawanan akhir 2005 ke atas Manchester United, peminat Arsenal tidak pernah bermimpi mereka terpaksa menunggu lebih lama, lebih separuh dekad untuk melihat piala kembali dijulang.


    Dalam tempoh enam tahun lalu, ketika kabinet trofi Arsenal kosong dan dipenuhi habuk, Wenger terpaksa mempertahankan diri terhadap dakwaan ramai berpendapat beliau perlu berbelanja besar untuk membeli pemain bintang daripada membentuk pemain muda.

    Di Wembley minggu ini, keyakinan Wenger mempercayai kebolehan pemain muda berbakat seperti Jack Wilshere, Wojciech Szczesny, Gael Clichy, Alex Song dan Johan Djourou mampu membantunya.


    Piala Liga tidak pernah menjadi keutamaan dalam senarai Wenger tetapi kemenangan pada pertandingan yang sering dijadikannya sebagai gelanggang latihan bagi pemain mudanya amat diperlukan kerana ia boleh menjadi pemangkin kepada keinginan kuat mereka merebut kejuaraan lebih besar, Liga Perdana dan Liga Juara-Juara Eropah.


    Hanya Cesc Fabregas, Robin van Persie dan Manuel Almunia kekal daripada skuad yang memenangi Piala FA 2005 dan Wenger yakin generasi baru Arsenal bersedia untuk merangkul kejuaraan.

    "Apa yang penting bukannya apa yang berlaku dalam tempoh lima tahun lalu, tapi apa yang kami boleh lakukan sekarang," kata Wenger.


    "Kejayaan di Wembley boleh membantu kami untuk mempunyai keyakinan lebih bagi trofi lain yang kami mahukan.

    "Kami mempunyai sebuah skuad yang mantap, tahap keyakinan yang bagus dan berazam tinggi untuk melakukan yang terbaik." Fabregas dijangka tidak bermain kerana kecederaan hamstring, manakala Theo Walcott pasti terkeluar kerana cedera buku lali.


    Bagaimanapun, Van Persie dan Laurent Koscielny akan kembali selepas tidak beraksi pada perlawanan pertengahan minggu ketika mengalahkan Stoke City.


    Walaupun ketiadaan perancang utama, Fabregas dan Walcott, Wenger tidak menganggap situasi itu mampu menjejaskan kekuatan pasukannya.


    Dengan Arsenal muncul pilihan utama untuk memenangi perlawanan akhir pertandingan utama pertama musim ini selepas kalah hanya sekali dalam 17 perlawanan terakhir mereka, adalah terlalu mudah untuk memandang remeh cabaran Birmingham.


    Malah pengurus Birmingham, Alex McLeish mengakui kelabnya, yang memenangi trofi kali terakhir apabila mereka menjuarai Piala Liga pada 1963, tidak mampu menandingi kekuatan Arsenal secara individu.


    "Kami tidak sebagus Arsenal daripada segi hantaran bola di kawasan dipenuhi pemain. Tapi kami perlu bermain corak sendiri dan harapnya ia boleh mengejutkan Arsenal," kata McLeish.


    "Ia adalah 11 pemain menentang 11, kami bukannya sangat luar biasa. Jika kami bermain di tahap yang betul, maka kami mampu mencetus kejutan.


    "Mereka tidak memenangi apa-apa selama lima tahun dan ia pasti bermain di fikiran mereka." Kemenangan mengejut buat Birmingham juga pastinya menjadi hadiah hari jadi terbaik buat pemilik Blues, Carson Yeung.


    Ahli perniagaan berpangkalan di Hong Kong itu akan menyaksikan perlawanan itu pada hari jadi ke-51 buatnya dan McLeish berkata: "Kami berhasrat untuk menghadiahkan beliau hadiah hari jadi terbaik pernah diterimanya." - AFP

    Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS

    0 ulasan:

    Catat Ulasan