Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Nicol, Azlan mudah mara ke separuh akhir

Posted: 18 Mar 2011 12:54 PM PDT

JAGUH skuasy negara, Datuk Nicol Ann David dan Mohd Azlan Iskandar mara ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur 2011, semalam.

Pemain nombor satu dunia, Nicol menewaskan Kasey Brown dari Australia untuk berdepan pemain England, Alison Waters di separuh akhir.


Hasrat Nicol memburu gelaran ketujuh pada kejohanan itu semakin hampir apabila menundukkan Kasey, 11-5, 11-4, 6-11, 11-5 pada perlawanan selama 41 minit.

"Ini perlawanan yang hebat, saya selesa bersaing di gelanggang gelas dan semuanya berjalan lancar. Kasey turut bermain dengan baik dan saya menyedari saingan ini pasti sengit," katanya.


Nicol bakal mengulang semula saingan edisi sama tahun lalu apabila dia sekali lagi tampil berdepan Alison.


"Seperti sebelumnya, kami bersaing dengan baik. Ini ulangan kejohanan tahun lalu dan pastinya ia bakal menjadi perlawanan yang sukar," kata Nicol.

Dalam perlawanan terdahulu, Alison yang juga pemain pilihan ketiga kejohanan, terpaksa bekerja keras menewaskan Rachael Grinham dari Australia 12-10, 12-10, 8-11, 5-11, 13-11 dalam pertarungan yang berlangsung sejam lima minit.


Dalam kategori lelaki, Mohd Azlan tampil cemerlang menewaskan Aamir Atlas Khan dari Pakistan 14-12, 11-6, 11-2 dalam masa 43 minit.

"Saya bermula agak perlahan namun selepas itu momentum mula meningkat. Berdepan (Mohamed El) Shorbagy, sentiasa sukar. Diharap dengan sokongan padu penyokong di tempat sendiri, saya berupaya bermain lebih baik," kata Azlan.


Terdahulu, pemain dunia nombor sembilan, Shorbagy, dari Mesir menewaskan Mohd Nafiizwan Adnan, 11-9, 12-10, 11-7 dalam pertembungan 45 minit. "Saya kecewa. Bagaimanapun, saya bermain lebih baik berbanding semalam. Dalam aspek kecergasan, saya agak baik dan merasakan prestasi saya semakin meningkat.


"Saya mulanya mendahului di set kedua 10-9 namun malangnya saya tidak menggunakan peluang yang ada. Shorbagy mendominasi permainan dengan baik," katanya.


Susulan itu, Mohd Nafiizwan akan berlepas pulang ke London, Selasa ini, untuk meneruskan sesi latihan bersama Peter Genevar, sebelum beraksi di Terbuka Berkshire dan Kejohanan Northern Ontario, Kanada. Dia kemudian akan pulang ke Malaysia untuk berdepan Kejohanan Individu Asia, di Penang pada 26-30 April. - Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kim Swee ada banyak pilihan

Posted: 18 Mar 2011 12:18 PM PDT

MASIH ada 81 pemain bukan dari skuad Harimau Muda A yang layak beraksi dalam skuad Olimpik negara menjadi pemerhatian Ong Kim Swee.

Jika dicongak jumlah pemain bawah 22 tahun itu, Kim Swee sememangnya mempunyai ramai pilihan pemain bagi menghadapi pusingan kelayakan Olimpik selain pemain Harimau Muda A yang sedia ada.


Bagaimanapun, usaha untuk memantau prestasi pemain beraksi dengan pasukan Liga Super dan Liga Perdana itu bukan mudah memandangkan Kim Swee turut menggalas tugas jurulatih Harimau Muda A yang turut bertanding dalam Liga Super.

"Saya mempunyai senarai pemain luar beraksi dalam Liga Super dan Liga Perdana yang masih layak bermain dalam pusingan kelayakan Olimpik cuma apa perlu saya lakukan adalah untuk mengenal pasti sejauh mana kemampuan mereka.


"Saya tidak boleh ambil semua pemain ini kerana daripada senarai itu mungkin hanya ada empat atau lima pemain yang menyerlah. Di sebabkan tugasan saya bersama Harimau Muda A dalam Liga Super, saya tidak dapat menyaksikan perlawanan pasukan lain untuk menilai pemain-pemain ini.


"Apa yang saya boleh lakukan adalah meminta bantuan jurulatih daripada Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) seperti Ismail Ibrahim dan Aminuddin Husin untuk memantau prestasi pemain luar," katanya yang kembali memulakan sesi latihan Harimau Muda A semalam selepas membenarkan pemain berehat selama empat hari.

Pada pusingan pertama kelayakan Olimpik London 2012, Kim Swee hanya membawa masuk empat pemain bukan Harimau Muda A, Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Ahmad Shakir Ali, Faizal Abu Bakar (Kedah) dan Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan).


Skuad Olimpik negara kini menantikan lawan pusingan kedua yang bakal ditentukan pada majlis undian pada 30 Mac ini selepas mereka melepasi halangan awal menerusi agregat 2-0 ke atas Pakistan.

Menurut Kim Swee, berdasarkan perancangannya, beliau akan memanggil semua pemain bagi latihan pusat bermula 25 Mei depan sebelum mengharungi perlawanan pusingan kedua pada 19 dan 23 Jun depan.


"Selepas latihan pusat selama tiga hari kami akan bertolak ke luar negara bagi latihan dan perlawanan antarabangsa sebelum perlawanan pusingan kedua bermula. Jika ada pemain luar yang menarik perhatian saya, saya akan bawa bersama untuk diuji. Yang penting pemain yang saya panggil mempunyai keyakinan beraksi di peringkat antarabangsa serta agresif," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan