Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


China, Indonesia jadi pilihan

Posted:

China, Indonesia jadi pilihan

China, Indonesia jadi pilihan

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Jurulatih dari China atau Indonesia menjadi calon pilihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi menggantikan Wong Tat Meng yang meninggalkan skuad perseorangan wanita kebangsaan untuk beralih ke Indonesia, pertengahan bulan ini.

Badan badminton kebangsaan itu mahu mencari pengganti dalam masa terdekat, untuk memastikan persiapan Sukan Olimpik 2012 tidak terjejas, terutama buat Wong Mew Choo yang kini berada dalam program Road to London dan menjadi calon utama perseorangan wanita negara untuk melayakkan diri temasya berkenaan.

Menurut sumber BAM, beberapa calon sudah dikenal pasti selepas dicadangkan oleh barisan jurulatih kebangsaan lain, dan badan itu masih dalam usaha menilai, seterusnya berunding untuk membawa mereka ke negara ini.

Sepanjang tempoh pencarian berlangsung, pembantu Tat Meng, Wong Sze Mei akan bertindak sebagai jurulatih sementara bagi membimbing enam pemain dalam skuad kebangsaan - Mew Choo, Lydia Cheah, Julia Wong, Tee Jing Yi, Sonia Cheah dan Sannatasah Saniru.

BAM belum mengumumkan calon jurulatih yang akan menggantikan Tat Meng, namun tidak menolak untuk memberi tempat kepada bekas juara Olimpik China yang kini diambang persaraan, Zhou Mi jika pemain yang kini mewakili Hong Kong itu berminat untuk melatih Malaysia.

Zhou Mi, 32, mempunyai hubungan yang baik dengan Mew Choo, malah pernah beberapa kali datang ke Malaysia untuk menjadi rakan sparring ratu badminton negara itu. Dia berada di Kuala Lumpur selama sebulan ketika Mew Choo melakukan persiapan menghadapi Sukan Asia 2006.

Malah, bekas pemain No. 1 dunia itu juga pernah berlatih bersama Mew Choo menjelang Kejohanan Dunia di Madrid pada tahun yang sama, selain tiba lebih awal di negara ini pada Terbuka Malaysia, Januari lalu untuk melakukan beberapa sesi latihan bersama pemain utama negara itu.

"Ketika ini, BAM belum mengenal pasti siapakah yang akan menggantikan tempat Wong Tat Meng, tetapi mereka sedang menimbangkan beberapa calon yang dicadangkan oleh jurulatih kebangsaan dan ia dari China serta Indonesia.

"Mengenai cadangan untuk memilih Zhou Mi sebagai calon jurulatih, ia bukan satu halangan dan BAM sedia berunding jika pemain itu membuka pintu rundingan, persoalannya sekarang cuma satu, apakah Zhou Mi mahu menjadi jurulatih di negara ini,'' kata sumber berkenaan.

Menurut sumber itu lagi, BAM percaya, Sze Mei boleh mengendalikan barisan perseorangan kebangsaan buat sementara waktu, apatah lagi Mew Choo ketika ini berada di Eropah bertanding dalam Terbuka Jerman yang sedang berlangsung dan All England, bulan depan.

Justeru buat sementara, bekas pemain kebangsan itu hanya akan mengendalikan lima pemain, jumlah yang diyakini tidak membebankan buat seorang jurulatih.

"Bagaimanapun, BAM tetap berusaha untuk mendapatkan pengganti Wong Tat Meng dalam masa yang cepat kerana sebaik Mew Choo kembali dari All England nanti dia perlukan program persiapan untuk kelayakan ke Sukan Olimpik,'' kata sumber itu lagi.

All England akan berlangsung dari 8-13 Mac ini dan aksi Mew Choo sepanjang kejohanan bakal dipantau oleh ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek.

Ketika ditanya kemungkinan untuk Mew Choo dikendalikan oleh Rashid sepanjang kelayakan Olimpik, seandainya BAM gagal mendapat pengganti Tat Meng dalam waktu terdekat, sumber itu menambah: "Ia tidak mungkin berlaku kerana BAM tidak akan mengusik struktur kejurulatihan yang ada. Mereka pasti akan mendapatkan jurulatih baru yang bagus buat Mew Choo.''

Selepas lapan tahun menjadi jurulatih kebangsaan, Tat Meng, 44, akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan Malaysia dan menyahut cabaran menjadi jurulatih Indonesia sebagai pembantu Li Mao, jurulatih kelahiran China yang pernah membimbing skuad Malaysia.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kelantan tidak lepas cengkaman liga

Posted:

Kelantan tidak lepas cengkaman liga

Kelantan tidak lepas cengkaman liga

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
sukan@utusan.com.my


Pemain Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (kiri) diasak pemain pertahanan Negeri Sembilan, Mohd. Shukor Adan pada perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, malam tadi. Kelantan menang 3-0. - UTUSAN/Rosni Masri


KOTA BHARU - Juara Piala Malaysia musim lalu, Kelantan terus menguatkan cengkaman sebagai peneraju Liga Super 2011 dengan mengukir kemenangan selesa ke atas Negeri Sembilan 3-0 di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, semalam.

Gol tuan rumah dijaringkan dua penyerang skuad negara, S. Chanturu pada minit ke-47 disusuli dengan rembatan kencang Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-74.

Selepas berbalas umpanan dengan Khalid Jamlus, Norshahrul menambah koleksi gol peribadinya pada minit ke-80 melalui bola voli yang memukau penjaga gol pelawat, Mohd. Farizal Marlias.

Wira Merah bagaimanapun terpaksa membayar harga yang tinggi dengan kemenagan tersebut apabila Chanturu dan Mohd. Ramzul Zahini masing-masing terpaksa dikeluarkan pada minit ke-60 dan 63.

Sementara itu, Perak terselamat dengan gol penyamaan Mohd. Noor Hazrul Mustafa pada minit ke-85 untuk menghampakan Harimau Muda A yang mendahului menerusi Wan Zack Haikal Wan Noor pada minit ke-11.

Satu mata yang dikongsi dengan skuad bawah 22 tahun negara di Stadium Perak, Ipoh itu bagaimanapun menjadikan skuad Seladang kekurangan dua mata untuk menghambat Kelantan dari tempat kedua liga.

Terengganu pula melonjak mengekori Perak di tangga ketiga setelah menumpaskan Johor FC 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu hasil jaringan Abdul Hadi Yahya (7), Ismail Faruqi (12) dan Ashari Samsudin (77).

Abdul Hadi merembat masuk hasil hantaran jauh Ismail Faruqi sebelum rakannya itu menyempurnakan sepakan bebas sejauh 40 meter diikuti rembatan kencang Ashari ke penjuru gol kelab dari selatan itu.

Dengan menumpaskan Kedah 2-0 di Stadium Shah Alam, juara bertahan Liga Super, Selangor turut melonjak ke tangga keempat sambil diekori Felda United yang menundukkan T-Team 2-0 di Stadium Petaling Jaya.

Terengganu, Selangor dan Felda United masing-masing terikat 11 mata tetapi kelebihan jaringan jelas menyebelahi Sang Penyu dengan 11 gol berbalas enam yang dibolosi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan