Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Kemelut Misbun selesai

Posted: 01 Apr 2011 12:52 PM PDT

ERAT...kembalinya Misbun kepangkuan Chong Wei  pastinya melonjakkan semangatnya untuk merealisasikan harapan  emas Sukan Olimpik 2012.
ERAT...kembalinya Misbun kepangkuan Chong Wei pastinya melonjakkan semangatnya untuk merealisasikan harapan emas Sukan Olimpik 2012.

ISU peletakan jawatan jurulatih perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek yang berlanjutan lebih tiga bulan masih belum menemui jalan penyelesaian yang konkrit.

Walaupun Mesyuarat Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebulat suara menerima penarikan balik surat peletakan jawatan yang dihantar pada penghujung tahun lalu, bekas jaguh badminton negara itu masih boleh berubah fikiran kerana belum terikat sepenuhnya kerana kontrak baru masih belum ditawar kepadanya.


Namun, langkah jurulatih pemain perseorangan utama negara Datuk Lee Chong Wei itu menampakkan tanda positif untuk kembali melatih anak didiknya itu terutamanya menjelang misi meraih pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik 2012 di London.

Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh berkata, yang penting Misbun masih berminat meneruskan perkhidmatannya bersama badan induk badminton negara itu.


"Selain itu perasaan Chong Wei juga perlu diambil kira sama ada bakal menjejaskan prestasinya jika tidak mendapat tunjuk ajar Misbun atau sebaliknya kerana pemain adalah yang paling penting. Kami (BAM), Misbun dan pihak lain hanya memberikan sokongan," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu, semalam.


Menurut Nadzmi lagi, pihaknya turut bersetuju untuk memberikan tawaran kontrak baru kepada Misbun dalam masa terdekat namun syarat dan tempohnya belum diperincikan lagi tapi beliau tahu apa yang perlu menjadi fokusnya.

"Kita juga belum memutuskan sama ada beliau bertanggungjawab untuk melatih pemain lain selain Chong Wei. Yang pasti tiada sebarang perubahan dalam struktur kejurulatihan," katanya.


Misbun sebelum ini mengejutkan banyak pihak apabila menghantar surat peletakan jawatan pada penghujung tahun lalu sehingga memaksa campur tangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menjadi orang tengah untuk mempertemukan beliau bersama Nadzmi.

Selepas melakukan dua pertemuan dengan Nadzmi serta sejumlah perbualan telefon, jurulatih berusia 51 tahun itu akhirnya mengalah dengan menghantar surat untuk menarik balik keputusan awalnya terus ke kediaman Nadzmi.


"Sebenarnya surat ini mungkin sudah dua atau tiga hari dihantar namun saya hanya mendapatnya tengah hari tadi (semalam) selepas pulang dari luar negara. Saya fikir tindakan itu dilakukan selepas beliau memikirkan kepentingan negara serta temasya Olimpik yang bakal berlangsung.


"Namun, punca sebenar peletakan jawatannya hanya boleh diterangkan oleh dirinya sendiri. Kami (BAM) tidak membuat sebarang kesalahan malah tidak pernah pun meminta beliau berhenti," katanya. Keputusan Misbun itu pastinya menggembirakan Chong Wei yang dilaporkan masih memerlukan khidmat Misbun walaupun berjaya mempertahankan Kejohanan Badminton Seluruh England baru-baru ini.


Usahanya untuk membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Jepun melalui perlawanan amal esok menentang jaguh Indonesia, Taufik Hidayat turut mendapat restu BAM yang bersetuju membayar sewa Stadium Juara serta ahli Majlis BAM turut menyumbangkan RM15,000.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mew Choo gantung raket

Posted: 01 Apr 2011 12:48 PM PDT

RATU badminton negara, Wong Mew Choo akhirnya mengambil keputusan untuk bersara daripada arena badminton selepas bergelut dengan kecederaan yang menjejaskan corak permainannya.

Keputusan pemain berusia 27 tahun itu bermakna skuad kebangsaan kehilangan pemain wanita yang benar-benar menyerlah di peringkat antarabangsa terutamanya dengan kejayaannya memenangi Terbuka China pada 2007.


Selain itu, antara pencapaian terbaik Mew Choo adalah membantu skuad negara memenangi acara berpasukan badminton di Sukan Komanwel 2010, menjuarai Siri Super Masters Final 2009 dan pingat emas Sukan Sea 2003 selain menjadi salah seorang pencabar yang kompetitif kepada pemain ternama dunia.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh berkata pihaknya merakamkan penghargaan kepada sumbangan pemain itu kepada negara selama ini.


"Kami bersetuju menerima keputusannya untuk bersara dan akan tawarkan kepadanya untuk menjadi jurulatih pemain remaja," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM, semalam.


Nadzmi bagaimanapun menafikan keputusan Mew Choo itu berkaitan keputusan jurulatihnya, Wong Tat Meng tidak lagi membimbingnya dan kini membantu bekas jurulatih negara dari China, Li Mao membimbing skuad kebangsaan Indonesia.

Mew Choo sebelum ini pernah memberikan bayangan untuk bersara selepas tewas pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Seluruh England awal bulan lalu dan berkata perkara itu perlu dibincangkan terlebih dulu dengan BAM.


Sementara itu, antara keputusan lain yang dicapai pada mesyuarat semalam adalah persetujuan memperbaharui kontrak dua jurulatih import dari Indonesia, Rexy Mainaky dan Hendarawan yang berakhir pertengahan tahun ini untuk tempoh dua tahun lagi.

Selain itu, BAM akan menetapkan sasaran kepada jurulatih dan pemain bagi mencapai indeks petunjuk prestasi tahunan serta membida untuk menjadi tuan rumah Piala Sudirman pada 2013.


"Kami juga menetapkan 14 Mei ini untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan dengan antara yang menjadi agenda adalah memilih timbalan presiden kedua," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan