Kosmo Online - Sukan |
Posted: Harimau Malaya makin ganasOleh KHAIRI MOHAMAD HARIMAU Malaya terus mengganas. Semalam, mereka sekali lagi membuktikan kejaguhan selepas berjaya membenam Myanmar 2-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV di Kota Bharu. Kehilangan lima tonggak utama tidak merencatkan permainan selepas beberapa muka baru yang disenaraikan jurulatih, Datuk K.Rajagobal berjaya memikul tanggungjawab yang diberikan. Seawal minit kelapan, Malaysia menguji gawang Myanmar menerusi rembatan kencang Baddrol Bakhtiar namun, sepakannya sedikit melepasi palang. Dua minit kemudian giliran Myanmar menguji benteng Malaysia apabila Kyi Lin melakukan hantaran lintang yang gagal ditangkap oleh Sharbinee Allawee sebelum berjaya dikeluarkan oleh Helmi Rameli. Pada minit ke-24 menyaksikan Helmi sekali lagi menyelamatkan gawang Malaysia selepas berjaya mengeluarkan bola hantaran lintang Kyaw Ko Ko tidak berjaya ditangkap kemas Sharbinee sebelum disambar David Than yang sudah bersedia menolak masuk bola tersebut. Selang empat minit kemudian, stadium mula gempita dengan sorakan lebih 15,000 orang penonton selepas Amirulhadi Zainal berjaya memecah kebuntuan. Gol tersebut berpunca daripada lambungan Baddrol mengucar-kacirkan benteng Myanmar sebelum Amirul yang tidak dikawal melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol,Kyaw Zin Htet. Babak kedua bersambung, Malaysia tidak menunggu lama untuk menjarakkan kedudukan apabila giliran Baddrol mencatat nama sebagai penjaring. Beliau yang tidak dikawal berjaya melepaskan rembatan kencang menarik selepas menerima hantaran lintang Abdul Hadi Yahya. Baddrol berpeluang merekodkan satu lagi gol namun, beliau gagal memperdayakan penjaga gol Myanmar pada minit ke-67 selepas menerima lorongan daripada ketua pasukan, Safiq Rahim. Dua minit berselang, peluang sekali lagi menjelma juga melalui Baddrol apabila gerakan yang bermula daripada Safiq yang turut melibatkan Ashaari Shamsuddin namun, rembatan pemain Kedah itu sedikit tersasar. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
UiTM Perlis juara Liga IPT 2011 Posted: UiTM Perlis juara Liga IPT 2011Oleh FAIZAL NAZARUDDIN PEMAIN dan pegawai pasukan UiTM Perlis meraikan kejayaan mereka selepas muncul juara Liga IPT 2011 di Arau semalam. UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) Perlis muncul juara pusingan akhir kelayakan zon Liga Bola Sepak IPT 2011 setelah menumpaskan Univesiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM) 4-3 pada final yang berlangsung di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Arau semalam. Pertemuan tersebut menyaksikan aksi-aksi penuh dramatik dengan kedua-dua pasukan sering berbalas serangan selain UiTM Perlis terpaksa bermain 10 orang dalam tempoh 15 minit terakhir. Begitupun, UTeM terlebih dulu memecah kebuntuan apabila memperoleh gol pertama seawal minit keempat menerusi jaringan Muhammad Syafiq Mohd. Kamal. Jaringan tersebut tidak melemahkan semangat pasukan tuan rumah yang terus tampil agresif untuk mencari gol penyamaan. Kelekaan pemain UTeM dihukum pada minit-minit terakhir separuh masa pertama yang menyaksikan UiTM Perlis berjaya menghasilkan dua gol dalam tempoh dua minit pada masa kecederaan menerusi Mustafa Amini Ismail. Ketika babak kedua bersambung, rentak UiTM Perlis semakin agresif dengan melancarkan serangan bertali arus tetapi kekentalan pertahanan lawan menafikan peluang mereka untuk menambah jaringan. Usaha keras yang dipamerkan oleh pemain tuan rumah sepanjang perlawanan tersebut akhirnya berhasil apabila Norhafwan Hamzah terus mengukuhkan kedudukan UiTM Perlis untuk mendahului 3-1 menerusi jaringan pada minit ke-48. Selepas itu, padah menimpa pasukan tuan rumah apabila penjaga gol mereka, Mohd. Hafizi Hamzah diperintah keluar padang kerana bertindak keras ke atas penyerang UTeM, Basiron Yusof ketika berlaku perebutan dalam kotak penalti. Ekoran itu, ketua jurulatih UiTM Perlis, Shamshahril Shuib tidak senang duduk selama 15 minit terakhir setelah pasukannya digasak UTeM ketika kedudukan 4-3. Namun, barisan pemain UiTM Perlis gagah bertahan dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan. Bagi Shamshahril, kejayaan tersebut membuktikan misi mereka sudah tercapai untuk merangkul kejuaraan liga yang bermula sejak 15 Jun lalu. "Kami hadir pada kejohanan ini memang untuk muncul juara dan saya sangat bangga terutama kepada pemain yang bekerja keras untuk merealisasikan impian ini," ujarnya. Dengan kejayaan tersebut UiTM Perlis membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala UTeM selaku naib juara menerima RM5,000. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Sukan Masum memiliki prestijBARISAN kontinjen yang akan mewakili USIM pada karnival Sukan Masum tahun ini. USIM yang menduduki tempat ketiga keseluruhan pada saingan fasa kedua tahun lalu memiliki kekuatan dalam acara pencak silat. kosmo! AHAD: Terima kasih kepada Profesor kerana sudi meluangkan masa untuk diwawancara. Apakah matlamat penganjuran karnival Sukan Masum 2011? Adakah terdapat perbezaan berbanding edisi-edisi sebelum ini? PROF. SHAHARUDIN: Sama-sama. Matlamat penganjuran karnival Sukan Masum 2011 adalah sebagai wadah bagi atlet yang mewakili universiti untuk bertanding di peringkat yang lebih tinggi dan bersaing dengan atlet-atlet dari universiti yang lain. Selain itu, karnival ini juga menjadi medan untuk menilai dan memilih atlet yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi bagi mewakili negara. Ia sejajar dengan matlamat KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) bagi memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus atlet yang mewakili negara terdiri daripada pelajar IPT. Secara dasarnya, tidak terdapat sebarang perbezaan dengan edisi yang sebelumnya. Ini kerana tempoh seseorang pelajar berada di IPT dalam lingkungan 4 tahun sahaja. Justeru, karnival seumpama ini menemukan dan mencungkil bakat baru bagi setiap acara yang dipertandingkan untuk diketengahkan ke peringkat tertinggi. MELIHAT kepada perkembangan semasa arena sukan negara, adakah Prof. merasakan penganjuran karnival Sukan Masum ini dapat membantu meningkatkan lagi kemajuan dalam arena sukan negara seperti temasya-temasya sukan lain? MEMANG penganjuran karnival ini ada peranannya yang tersendiri bagi membantu meningkatkan kemajuan arena sukan negara kerana ia menjadi satu lagi medan yang melahirkan bakat-bakat baru. Biarpun dalam bulan Jun ini terdapat beberapa kejohanan sukan yang telah dilangsungkan seperti Sukma (Sukan Malaysia) di Kuala Lumpur dan Kejohanan Sipma di Melaka, karnival Sukan Masum ini membuka ruang dan peluang bagi atlet yang tidak turut serta pada dua kejohanan tersebut untuk bertanding di peringkat tinggi. Kita sedia maklum, ada segelintir atlet yang tidak dapat bertanding di Sukma dan Sipma kerana masing-masing terikat dengan peperiksaan di IPT masing-masing. Justeru, karnival ini memberi peluang kepada mereka untuk bertanding dan menunjukkan bakat. SEPERTI yang kita sedia maklum, karnival Sukan Masum ini melibatkan penyertaan atlet-atlet dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi. Adakah mereka diberikan pendedahan secukupnya sebelum bertanding memandangkan mereka sibuk dengan pembelajaran mereka? ATLET yang bertanding mempunyai masa yang mencukupi untuk mempersiapkan diri bagi menyertai karnival ini. Ini kerana hampir kesemua IPTA yang bakal bertanding mempunyai masa melebihi sebulan selepas menjalani peperiksaan Sebagai contoh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan kem latihan pusat selama hampir sebulan bagi menyediakan atlet ke karnival ini. Tambahan pula cuti semester di kebanyakan IPT bermula pada minggu kedua bulan Mei. APA pendapat Prof. mengenai penyertaan atlet-atlet elit dan pelapis kebangsaan pada karnival sukan ini? Tidakkah ia bakal menutup peluang atlet-atlet lain yang bukan berstatus atlet kebangsaan untuk melakar kejayaan? PENYERTAAN atlet pelapis dan elit sebenarnya merancakkan lagi pertandingan pada karnival ini. Berdasarkan keputusan edisi-edisi lalu, kejutan sering kali berlaku yang mana atlet pelapis atau elit dikejutkan oleh atlet dari pasukan universiti lain. Ini kerana penyertaan atlet pelapis atau elit seolah-olah memberikan motivasi tambahan kepada atlet lain untuk berusaha dengan lebih gigih bagi menewaskan lawan yang lebih ternama. Justeru, penglibatan mereka ini tidak menghalang atlet lain beraksi dengan lebih baik malahan ini akan meningkatkan kualiti dan saingan di karnival ini. ADAKAH Prof. yakin atlet-atlet yang bertanding pada karnival Sukan Masum ini berkualiti atau sekadar memenuhi kuota sahaja? SAYA yakin atlet yang menyertai karnival ini mempunyai kualiti yang tinggi kerana ramai yang mewakili IPTA masing-masing terdiri daripada mereka yang telah menyertai kejohanan MSSM atau Sukma semasa di negeri asal masing-masing. Mereka boleh memberikan saingan yang sengit kepada atlet pelapis mahupun atlet elit. Dengan persiapan yang mencukupi tidak mustahil mereka mampu melakar kejayaan yang memberangsangkan pada karnival Sukan Masum kali ini. AKHIR sekali, harapan Prof. terhadap penganjuran karnival Sukan Masum kali ini? HARAPAN saya ialah agar karnival ini dapat memenuhi matlamat menghasilkan atlet yang berkualiti untuk diketengahkan bagi mengharumkan nama negara pada masa depan. Selain itu, saya mengharapkan persembahan yang berkualiti dari setiap pasukan yang bertanding pada edisi kali ini kerana tempoh masa persediaan setiap pasukan mencukupi serta saya yakin setiap IPT yang bertanding telah pun mempunyai perancangan mereka yang tersendiri bagi memastikan setiap atlet mereka yang bertanding mampu memberikan saingan yang terbaik. Semoga semangat kesukanan yang tinggi dipamerkan oleh setiap warga sukan IPT dalam edisi kali ini bagi memastikan persaingan dan penganjuran berada di tahap tertinggi. Saya juga mengucapkan penghargaan kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menjadi tuan rumah karnival tahun ini. Saya yakin dengan kemampuan mereka mengendalikan karnival ini dengan jayanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan