Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Panel KOAM perlu tegas

Posted: 13 Sep 2011 09:33 AM PDT

KETUA Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz menyifatkan kes atlet olahraga melarikan diri daripada ujian dadah adalah satu kes yang mencurigakan dan tidak pernah berlaku kepada mana-mana atlet di dunia sebelum ini.

Justeru, barisan panel jawatankuasa khas yang ditubuhkan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) bagi menyelesaikan kes itu harus bertindak berlandaskan kod kesalahan yang ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa Dunia (IAAF) dan Agensi Antidoping Dunia (Wada).


Katanya, keputusan perlu konsisten dengan kehendak kod Wada menerusi artikel 2.3 iaitu kerana percubaan mengelak daripada diuji.

"Perkara ini tidak pernah berlaku dan ini merisaukan ISN selaku badan yang membantu mencegah perkara itu terutama terhadap penyalahgunaan dadah.


"Apa yang berlaku ini memperlihatkan bahawa ia adalah perilaku yang mencurigakan dan pada masa sama, semua atlet terbabit perlu menjelaskan perkara sebenar termasuk jurulatih yang seharusnya bertindak memantau perkembangan atlet masing-masing.


"Jurulatih seharusnya memainkan peranan dalam hal seperti ini dan jangan bertindak seperti harapkan pagar, pagar makan padi," katanya. Ramlan yang ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Stadium Putra, Bukit Jalil berkata, seandainya keputusan panel KOAM tidak mengikut peraturan yang ditetapkan oleh IAAF dan Wada, pengurusan antarabangsa itu berhak menjatuhkan hukuman lain sekali gus memansuhkan hukuman KOAM.

"Kini dua agensi dunia itu memantau kejadian itu. Semua keputusan perlu dimaklumkan kepada IAAF. Hukuman perlu dihukum semaksimum mungkin namun jika ada faktor lain seperti terdapat bukti atlet dipaksa atau secara suka rela, mereka seharusnya memaklumkan kepada barisan panel," katanya.


Ramlan yang turut berada dalam Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) menolak sebarang kemungkinan atlet olahraga yang terbabit dengan ujian dadah itu menggunakan sampel air kencing orang lain kerana ia tidak mungkin terjadi berdasarkan prosedur ketat Wada.

Tiga atlet olahraga mencetuskan kontroversi selepas enggan memberikan sampel air kencing apabila diminta berbuat demikian Mei lalu adalah Nurul Sarah Abd Kadir, Norjannah Hafiszah Jamaludin serta Nor Imran Hadi yang ketika itu berada di Bulgaria. Bagaimanapun keputusan ujian itu kemudian didapati negatif.

Kim Swee resah

Posted: 13 Sep 2011 09:29 AM PDT

ADA sebab kenapa perasaan jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee bercampur baur menyambut kehadiran tiga tonggak utama, Wan Zack Haikal Wan Nor, Irfan Fazail dan Mohd Fadhli Shas yang kembali menyertai skuad selepas dua minggu beraksi secara pinjaman dengan kelab Liga Satu Slovakia, Vion Zlate Moravce.

Kepulangan trio itu kelmarin kembali melengkapkan skuad Olimpik negara yang bakal mengharungi perlawanan persiapan terakhir menentang skuad Olimpik Oman esok di Stadium UiTM Shah Alam.


Namun apa yang menjejaskan perancangan Kim Swee apabila pemain sayap, Wan Zack Haikal dilaporkan mengalami kecederaan pangkal paha ketika menjalani latihan bersama kelab Vion.

"Sekembalinya tiga pemain ini dari Vion, saya akan mempunyai skuad lengkap untuk menghadapi Oman dan Jepun. Bagaimanapun Wan Zack mengalami kecederaan pangkal paha tapi saya akan pantau situasi dia selepas sesi latihan hari ini (semalam)," katanya.


Ketiadaan Wan Zack Haikal pastinya dirasai berdasarkan sumbangan besar yang dimainkan pemain lincah itu dalam pusingan kelayakan Olimpik dan juga siri perlawanan persahabatan di Slovakia sebelum ini.


Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu menyumbat satu gol untuk membantu skuad negara menewaskan Lubnan 2-1 pada pusingan kedua kelayakan Olimpik Jun lalu manakala prestasinya terus meningkat dengan menghasilkan tiga gol dalam tujuh perlawanan di Slovakia.

Sementara itu, Irfan yang dihubungi berkata, mereka tidak sabar untuk kembali bersama rakan sepasukan selepas terlepas aksi perlawanan persahabatan dengan kelab Iraq, Arbil SC minggu lalu yang berkesudahan seri 0-0.


Walaupun gagal mendapat tempat untuk beraksi dalam perlawanan liga bersama Vion, pemain tengah menyerang itu tetap berpuas hati dengan pendedahan yang diperoleh selama berada di sana.

"Bukan senang untuk pikat jurulatih (Vion), saya cuma dapat beraksi dalam perlawanan persahabatan saja tapi pengalaman berlatih bersama kelab itu amat berharga. Walaupun hanya berlatih tapi semua pemain bersemangat dan bersaing sesama sendiri untuk mendapat tempat dalam skuad," katanya.


Skuad Olimpik negara akan berlepas ke Jepun Jumaat ini bagi perlawanan pertama Kumpulan C Kelayakan Olimpik London di Stadium Tosu sebelum berdepan Syria 24 November dan Bahrain (27 November) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen