Utusan Online - Sukan |
Tiga regu tumbangkan pasukan gergasi Posted: Tiga regu tumbangkan pasukan gergasiOleh ABDUL HAFIZ AHMAD Apit kanan pasukan ATM-JLJ Mohd. Idris Hamid membuat libasan sambil dihalang apit kanan UTM B, Halimi Ismail pada suku akhir Kategori Terbuka Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 di Pusat Sukan UiTM Shah Alam, semalam. - MINGGUAN/Hafiz Johari SHAH ALAM - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) B, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) A dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans) B mencipta kejutan sebagai 'pemusnah gergasi' dengan mara ke separuh akhir kategori Terbuka Peringkat Antara Zon Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 di Pusat Sukan UiTM, Shah Alam, semalam. Masing-masing menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) JLJ dan Gabungan Sepak Takraw Teluk Paku (Gastep) B 2-1 serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) A 2-0 pada suku akhir sementara juara Zon Tengah, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) A menepati ramalan dengan mengatasi semula Dinamis 2-1. Dengan hanya bergelar pemenang ketiga bersama Zon Selatan dan Tengah serta naib juara zon Timur, mereka kini mengiringi MBMB A untuk menghampiri gelaran Terbuka kejohanan edisi kedua ini dan memburu ganjaran termahal dalam sejarah pertandingan tempatan, RM10,000 di The Curve, Damansara, hari ini. UTM B memerlukan sejam untuk menang 17-15, 9-15, 15-13; begitu juga MPT A yang menang 15-7, 13-15, 15-8 manakala Pestans mendapat kemenangan percuma pada set kedua kerana seorang pemain PKNS A tercedera selepas mereka memenangi set pertama, 15-2. Kekalahan PKNS A itu bererti mereka gagal mempertahankan gelaran tahun lalu biarpun membariskan pemain yang berlainan dalam edisi ini, begitu juga ATM JLJ yang terlepas peluang untuk mengulangi kemaraan ke perlawanan akhir kali kedua berturut-turut. Dinamis pula nyaris dapat menebus dendam kekalahan pada perlawanan akhir Zon Tengah di Paroi, bulan lalu apabila memenangi set pertama 15-9 sebelum lawan yang sama di Shah Alam kali ini, MBMB A yang diperkuatkan bekas apit kiri negara, Syafiq Ab. Rahman memenangi dua set terakhir, 15-10, 15-7. Ketiga-tiga regu yang kalah suku akhir semalam merupakan naib juara Zon Utara di Alor Setar, juara Zon Timur (Kuantan) dan naib juara Zon Selatan (Pasir Gudang) malah ada di antaranya yang memiliki bekas pemain kebangsaan dan negeri terutama sekali di posisi tekong. Pertembungan separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada pukul 9 dan 9.45 pagi di The Curve bakal menyaksikan UTM B menentang Pestans B sementara MBMB A dan MPT A berentap demi satu lagi tiket ke perlawanan akhir pada sebelah petangnya. Naib juara kategori yang menjadi perhatian penggemar sepak takraw tanah air ini turut akan menerima ganjaran RM8,000 sementara kedua-dua regu yang kalah separuh akhir, bakal berjuang bagi penentuan pemenang tempat ketiga dan keempat yang masing-masing menjanjikan RM6,000 dan RM3,000. Kata jurulatih MPT A, Mohamad Harry Herman Mokhtar: "Aksi kami hari ini (semalam) serba menjadi dan servis tekong lawan (bekas pemain pelapis negara, Subha Latip) dapat dijawab dan dipatahkan walaupun kecuali Norshahidan Masri (bertaraf negeri), apit kanan dan kiri kami hanyalah pemain kurang ternama. "Namun saya rasa kemenangan ini hasil semangat yang meningkat setelah mereka mengejutkan regu Pestans A (memiliki tekong juara Sukan SEA 2005, Normanizam Ahmad, kelmarin) dan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang A (dengan bekas pelibas Sukan SEA 2009, Taufik Saad)," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
Pestans, Pelapis Kelantan ke final Posted: Pestans, Pelapis Kelantan ke finalOleh ABDUL HAFIZ AHMAD Zaini Hassan (barisan belakang tiga dari kiri) dan Pengarah Pembangunan Pelajar UiTM, Dr. Mohd. Bahrin Othman (tiga dari kanan) bersama regu pemenang tempat keempat Kategori IPTA/S dan Bawah 15 pada Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan di Pusat Sukan UiTM Shah Alam semalam. SHAH ALAM - Hanya tempat ketiga dengan RM4,000 menjadi penawar kehampaan regu 'tuan rumah', Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT)-Bawah 19 Peringkat Antara Zon Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011, semalam. Ia angkara malang menimpa sebuah lagi regu mereka yang juga pilihan utama dan juara Zon Tengah, UiTM 'C' gara-gara kecederaan pelibas Ali Almahidi Ayob pada set ketiga perlawanan suku akhir menentang Pelapis Kelantan A di Pusat Sukan UiTM, Shah Alam walaupun sudah mendahului 12-7. UiTM Shah Alam yang turut dibimbing bekas penolong jurulatih negara, Zaidi Ismail pula terkandas pada separuh akhir dengan disekat juara Zon Timur, Pestans 1-2 (8-15, 15-10, 10-15) sebelum menebus kembali kegagalan itu untuk menundukkan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) D 2-0 (16-14, 15-14). Pestans dan Pelapis Kelantan yang menewaskan SSTMI D dalam satu lagi separuh akhir, 2-1 (15-8, 5-15, 15-5) bakal berentap demi gelaran kategori ini dan ganjaran juara, RM8,000 di The Curve, Damansara, Petaling Jaya, hari ini. Kata Zaidi: "Kami sudah cuba sedaya upaya tetapi rezeki nampaknya sampai setakat ini sahaja. Kesilapan awal yang dilakukan jika dapat dielak tadi, mungkin mampu mengubah nasib kami." Bagi jurulatih SSTMI D, Kasbolah Md. Idris: "Kami akui lawan yang lebih senior banyak membawa perbezaan bagi keputusan perlawanan separuh akhir dan penentuan tempat ketiga-keempat ini. Tekong kami pula kurang tajam dalam menyempurnakan setiap servis yang diperoleh." Biarpun di tempat keempat kejohanan kali ini, SSTMI D atau dulunya Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor tetap pulang dengan ganjaran RM2,000. Namun rakan sesekolah, SSTMI A menghidupkan peluang untuk memburu gelaran kategori Bawah 15 Tahun dan ganjaran RM6,000 dengan mara ke perlawanan akhir hari ini sambil akan dicabar Sekolah Sukan Terengganu Bukit Nanas (SSTBN) A. SSTMI A mengalahkan SSTBN C 2-1 (13-15, 15-7, 15-13) dalam tempoh 65 minit sementara SSTBN A menundukkan Mutiara Impian Pulau Pinang B 2-0 (15-13, 15-13) selepas satu lagi perlawanan separuh akhir selama 40 minit. Hadiah kepada regu pemenang tempat keempat hingga yang kalah suku akhir kedua-dua kategori disampaikan Pengarah Pembangunan Pelajar UiTM, Dr. Mohd. Bahrin Othman. Turut hadir menyaksikan ialah Penolong Ketua Pengarang 1 Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Datuk Zaini Hassan. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan