Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


FAM tak panik

Posted: 12 Apr 2012 10:49 AM PDT

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak panik selepas ranking skuad kebangsaan berada di tahap terburuk pada tahun ini.

Malah kedudukan terbaru dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) pada bulan ini menyaksikan Malaysia berada di tangga ke-156 di belakang Bangladesh (152) dan Samoa (155), namun ia dianggap bukan pengukur prestasi sebenar skuad Harimau Malaya.


"Ranking Fifa adalah suatu perkara yang sangat teknikal dari segi perkiraan. Ia juga tidak ketara (kedudukan) berbanding pada 2007 dengan Malaysia ketika itu melebihi ranking 170. Namun kami sudah membuat perancangan untuk mengadakan perlawanan berstatus 'A'.

"Selain menentang Sri Lanka (hujung bulan ini), kami juga berusaha mendapatkan Iraq. Malah Filipina turut mahukan perlawanan timbal balik namun tarikh akhir masih belum diputuskan kerana kita meminta 1 Jun berbanding 8 Jun yang mereka mahukan sedangkan ketika itu skuad negara menentang Singapura," kata Setiausaha Agung, Datuk Azzuddin Ahmad, semalam.


Azzuddin bagaimanapun mengesahkan perancangan FAM mengadakan aksi persahabatan dengan mana-mana negara yang didedahkan sebelum ini seperti New Zealand, Qatar dan sebagainya masih belum mendapat kata putus.


Pandangan yang sama turut dikongsi pengurus skuad negara, Datuk Seri Subahan Kamal yang melihat ranking Fifa adalah satu mekanisme untuk bandingkan kekuatan negara tapi sebaliknya yang berlaku.

"Sepanyol di nombor satu dunia, namun mereka tidak semestinya terbaik. Malah Indonesia, Thailand, Vietnam pernah tewas kepada Malaysia namun ranking mereka lebih tinggi berbanding kita.


"Walaupun ranking jatuh kami yakin mampu mempertahan Piala AFF. Bukan kita tidak mahu menentang pasukan hebat namun jadual liga kita padat dengan aksi menentang Sri Lanka juga kita tidak boleh menurunkan barisan terbaik," katanya.




Gandingan pengalaman

Posted: 12 Apr 2012 10:34 AM PDT

FAITO Motobert Racing meletakkan harapan tinggi terhadap gandingan pelumba berpengalaman, Ahmad Fuad Baharudin dan Ahmad Fazrul Sham untuk mencatat kejayaan pada Pusingan Kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas 2012 di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Terengganu, bermula hari ini.

Memasuki tahun kedua, pasukan yang dikendalikan bekas pelumba, Rosnizam Mohd Noor itu percaya kombinasi Fuad dan Fazrul mencerahkan peluang mereka mencatat kejayaan dengan lebih pantas dalam kategori CP130 berbanding pelumba kurang berpengalaman seperti yang berlaku musim lalu.


Ia terbukti apabila Fuad berada dalam kelompok barisan depan sewaktu perlumbaan pusingan pembukaan di Batu Kawan. Malangnya, masalah teknikal jentera menjadi halangan kepada juara Expert/CP130 dua kali (2002 dan 2009) itu untuk menaiki podium dan hanya sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelima.

Masalah sama menimpa Fazrul namun nasibnya lebih malang apabila terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal.


"Perlumbaan CP130 begitu kompetitif dan bagi pelumba muda, mereka memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri melainkan jika mereka benar-benar mempunyai bakat dan kebolehan luar biasa. Sebab itulah kami memilih menggunakan pelumba senior musim ini.


"Fuad dan Fazrul mempunyai pengalaman dan kemahiran diperlukan untuk membantu kami membangunkan pasukan ini dengan lebih cepat kerana dapat memberikan maklumat tindak balas jentera kepada mekanik pasukan dengan tepat. Ini memudahkan tugas mekanik mendapatkan pelarasan terbaik.

"Selain itu, kedua-dua pelumba mempunyai tahap kekuatan mental yang mantap. Contohnya seperti ditunjukkan Fuad. Di sebalik masalah teknikal dihadapi, dia tetap memberikan aksi terbaik dan masih mampu menamatkan perlumbaan di tempat kelima. Jelas dia bukan seorang pelumba yang mudah berputus asa di litarsewaktu berlumba," kata Rosnizam.


Ditanya mengenai sasaran di Terengganu, Rosnizam berkata, walaupun prestasi mereka agak baik di Batu Kawan, pasukan itu perlu realistik dalam meletakkan sasaran pada perlumbaan akan datang. "Lagipun, sebelum ini kebanyakan pasukan belum memperoleh pelarasan terbaik untuk jentera mereka dan saya tidak terkejut jika kali ini mereka lebih pantas. Berbanding untuk mengejar kemenangan, kami lebih mengharapkan agar dapat konsisten dan pada masa sama, cuba naik podium," katanya.

Maklumat lanjut, hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau lawati laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas, www.malaysiancubprix.com.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan