Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


'Satu pengajaran berguna'

Posted:

'Satu pengajaran berguna'

'Satu pengajaran berguna'

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril@kosmo.com.my

KONTROVERSI yang melibatkan Datuk Lee Chong Wei baru-baru ini diharap mampu menjadi satu pengajaran berguna kepada jaguh badminton negara itu.

Selain mengharapkan Chong Wei kembali fokus menjelang Sukan Olimpik 2012 di London, Julai depan, ada pihak yang melihat kontroversi itu mampu menjadikan Chong Wei sebagai individu yang lebih matang.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong mengakui insiden tersebut sebenarnya mampu memberi impak positif kepada Chong Wei terutama daripada segi peribadi pemain No. 1 dunia itu.

"Saya rasa Chong Wei sepatutnya menganggap apa yang telah berlaku ini sebagai satu pengajaran yang bagus kepada dirinya sendiri.

"Dia tidak patut melihat apa yang telah berlaku sejak dua tiga hari lalu sebagai satu perkara yang negatif, sebaliknya banyak perkara positif yang boleh diambil.

"Malah saya yakin dia akan tampil menjadi seorang pemain badminton No. 1 dunia yang lebih bagus berbanding sebelum ini," ujar Zolkples kepada Kosmo! Ahad semalam.

Sikap Chong Wei mula menjadi perbualan ramai pihak terutama dalam kalangan pihak media apabila dia dikatakan semakin 'besar kepala' dalam beberapa hal berkaitan dirinya.

Terbaharu, pemain kelahiran Pulau Pinang itu tidak hadir pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2011, Selasa lalu yang turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Begitupun, Zolkples tetap memuji sikap Chong Wei yang datang memberi penjelasan kepadanya kelmarin dan menyatakan kesediaan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

"Perkara ini telah selesai dan saya harap Chong Wei akan menjaga disiplinnya dengan lebih baik lagi pada masa depan.

"Saya juga mahu dia menjaga kesihatan dan memberi fokus utamanya terhadap persiapan ke London.

"Dalam persiapan sebelum menghadapi Olimpik 2012, saya berharap Chong Wei dapat memberikan aksi terbaiknya pada dua kejohanan (Siri Terbuka India bermula Selasa ini dan Grand Prix Emas Terbuka Malaysia, Jun depan)," katanya lagi.

'United ada peluang muncul juara'

Posted:

'United ada peluang muncul juara'

'United ada peluang muncul juara'


PALLISTER (kanan) dan Johnsen menjawab soalan pemberita pada sidang media khas di Hotel One World, Petaling Jaya semalam.


PERTEMBUNGAN dua musuh setempat - Manchester United dan Manchester City pada 30 April ini dilihat bakal menjadi penentu kejuaraan Liga Perdana England musim ini.

Jika United berjaya membenam City di Stadium Etihad nanti, skuad The Red Devils sudah pasti merangkul trofi liga buat kali ke-20.

Bagaimanapun, jika sebaliknya berlaku, City masih berpeluang merampas trofi liga yang dirangkul United musim lalu.

Melihatkan persaingan kedua-dua pasukan semakin hebat, dua bekas bintang United, Gary Pallister dan Ronny Johnsen mempunyai pandangan mereka sendiri mengenai peluang The Red Devils bagi merangkul kejuaraan musim ini.

Ikuti wawancara khas wartawan Kosmo! Ahad, AHMAD FAZLI MOHD. YADI bersama Pallister dan Johnsen ketika ditemui di Hotel One World, Petaling Jaya semalam.

Kosmo! Ahad: Apakah pandangan anda berdua mengenai skuad terkini Manchester United?

Pallister: Sudah tentu Manchester United masih merupakan salah satu kelab terbaik di England. Meskipun dibarisi ramai pemain muda, antaranya Johnny Evans, Chris Smalling dan Rafael da Silva, namun kombinasi gabungan pemain senior dan junior cukup mengagumkan dan saya yakin legasi United mampu diteruskan oleh pemain-pemain muda tersebut.

Johnsen: Apabila melihat Manchester United beraksi, ia sering kali mengingatkan saya sesuatu perasaan yang mengujakan apabila kamu beraksi dengan kelab terbaik di dunia. Pengurus, Alex Ferguson sentiasa melakukan sentuhan terbaik apabila berjaya menggilap beberapa pemain muda menjadi bertaraf dunia.

ADAKAH United mampu mempertahankan gelaran Liga Perdana England musim ini?

Pallister: Peluang United dilihat cerah selepas mendahului lima mata di depan Manchester City. Jadi saya berpendapat United tidak berdepan dengan masalah untuk mempertahankan kejuaraan tersebut.

Johnsen: Saya yakin United mengungguli gelaran kali ke-20 musim ini. skuad United ketika ini memiliki pengalaman dan saya yakin United sudah bersedia untuk mempertahankan kejuaraan musim ini.

ADAKAH kamu berpendapat United mahu memburu pesta gol di Stadium Etihad bagi membalas dendam kekalahan 1-6 di Old Traffod pada Oktober lalu.

Pallister: Hanya tiga mata yang penting pada perlawanan tersebut. Lebih jelas, pertembungan itu bakal menentukan gelaran lebih awal buat United sekiranya berjaya mengatasi cabaran di Etihad. Bonus buat United jika berjaya menjaringkan enam atau lebih gol nanti.

Johnsen: Saya bersetuju dengan pandangan Pallister. Biarpun tewas 0-1 ketika menentang Wigan Ahletic, namun United masih belum menekan butang panik. Saya yakin sekiranya United berjaya menewaskan Everton (malam ini), ia pasti memberikan tekanan kepada City sebelum perlawanan tersebut.

MENGENAI potensi pemain muda United, adakah kamu melihat mereka mampu menggalas tugas dengan baik dan meneruskan kegemilangan United pada masa akan datang?

Pallister: Seperti yang saya katakan tadi, United memiliki pemain muda yang cukup berkualiti. Saya percaya dengan kehadiran pemain seperti Smalling, Evans dan Fabio, United tidak perlu risau mengenai masalah di posisi pertahanan dalam tempoh 10 tahun akan datang. Mereka bakal menjadi pemain yang hebat dengan pengalaman yang mereka peroleh selama ini.

Johnsen: Ferguson memiliki cara untuk memberikan ruang komunikasi kepada pemain-pemain muda United. Mereka akan didedahkan bersama pemain yang lebih berpengalaman dan beraksi pada perlawanan kompetitif tinggi. Secara tidak langsung, ia akan mematangkan pemain-pemain ini untuk tampil dengan aksi yang lebih kemas dan mantap.

AKHIR sekali, apa pandangan kamu mengenai pemain Asia pada masa kini?

Pallister: Pemain Asia kini sudah sebaris dengan pemain-pemain Eropah. Daripada aspek fizikal dan mental, mereka sudah dapat menyesuaikan rentak pantas di Eropah.

Johnsen: Mereka sudah bersedia dan suatu hari nanti, tidak mustahil pemain dari negara Asia mampu memberikan cabaran kepada pemain dari Eropah.

Misi buru tiket Olimpik

Posted:

Misi buru tiket Olimpik

Misi buru tiket Olimpik

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril@kosmo.com.my


SULTAN PERAK, Sultan Azlan Shah beramah mesra dengan pemain skuad hoki wanita negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 9 April lalu.


ANDAI dibuat perbandingan, reputasi skuad hoki wanita negara sentiasa dibayangi pencapaian pasukan lelaki negara khususnya di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, skuad wanita negara tetap berazam melakar kejutan pada kempen Kelayakan Olimpik 2012 di Kakamigahara, Jepun bermula 25 April hingga 6 Mei ini.

Mungkin ada ramai pihak yang memandang sinis tentang impian besar yang dipasang barisan pemain wanita negara, namun kita semua terlupa bahawa setiap pertarungan dalam arena sukan, semuanya tidak mustahil untuk dilaksanakan.

Tatkala skuad lelaki negara sekali lagi gagal beraksi di pentas Olimpik buat kali ketiga berturut-turut, kali ini mungkin sudah tiba masanya untuk skuad wanita pula keluar daripada 'bayang-bayang' kegagalan yang sering menghantui mereka selama ini.

Hanya satu sahaja cara bagi mereka melakukannya - merealisasikan sasaran beraksi di pentas final Kelayakan Olimpik 2012 atau jika mampu, ditabalkan selaku juara.

Jika itu menjadi kenyataan, skuad wanita negara secara automatik layak ke temasya Olimpik 2012 kerana hanya satu slot sahaja yang ditawarkan kepada juara kempen tersebut untuk beraksi di bumi London nanti.

Ironinya, sasaran skuad wanita negara itu sebenarnya bukanlah seperti 'angan-angan mat jenin' kerana atas kertas, satu-satunya halangan utama kepada mereka pada kempen tersebut hanyalah tuan rumah, Jepun yang berada pada ranking kesembilan dunia.

Ancaman pasukan lain - Azerbaijan yang menghuni ranking ke-15 dunia, Chile (17), Belarus (22) dan Austria (29) pula dilihat masih seimbang dengan Malaysia (23) khususnya daripada segi kekuatan.

Apa yang lebih penting, semuanya bergantung kepada tahap mental dan fizikal para pemain negara pada hari kejohanan itu nanti.

Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Dr. S. Shamala optimis bahawa skuad negara mampu merealisasikan misi layak ke pentas final, malah mungkin juga mencipta sejarah memenangi slot ke Sukan Olimpik 2012 London, Julai depan.

"Sasaran kita hanyalah untuk layak ke final dan ia tidak mustahil dilakukan jika berdasarkan rekod pertemuan kita dengan empat pasukan yang lain.

"Begitupun, Jepun mungkin satu-satunya ancaman kepada kita tetapi mereka juga sebenarnya bukan tidak boleh dikalahkan.

"Kali terakhir kita bertemu Jepun ialah ketika tewas 2-4 pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, namun keputusan itu tidak menggambarkan situasi sebenar dalam pasukan negara.

"Pada pertemuan itu, kita ketinggalan 0-2 tetapi bangkit menyamakan kedudukan 2-2 sebelum Jepun yang memiliki ramai pemain berpengalaman berjaya menjaringkan dua gol pada sembilan minit terakhir permainan," kata Shamala kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Malaysia akan membuka kempen kelayakan tersebut dengan menentang Azerbaijan pada 25 April.

Kali terakhir Azerbaijan menewaskan Malaysia ialah pada Kejohanan Empat Negara pada 2008 dengan keputusan 2-0.

Selepas pertemuan menentang Azerbaijan, skuad negara kendalian Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim itu akan turun berdepan tuan rumah, Jepun pada 27 April, diikuti Belarus (29 April), Chile (1 Mei) dan menutup kempen berkenaan dengan bertemu Austria (3 Mei).

"Kali terakhir kita menentang Chile ialah pada Kelayakan Piala Dunia 2010 apabila kita tewas tipis 0-1, manakala dalam kempen Cabaran Juara-Juara II tahun lepas, kita membelasah Austria 7-0.

"Cuma satu pasukan lagi yang mungkin bakal memberi kesukaran kepada kita ialah Belarus yang menewaskan kita 4-5, juga dalam kempen Cabaran Juara-Juara II," tambah Shamala.

Untuk rekod, ini penampilan kedua Malaysia dalam kempen Kelayakan Olimpik sejak edisi 2008 di Victoria, Kanada.

Begitupun, skuad negara gagal dalam kempen tersebut, sekali gus terlepas tiket untuk beraksi pada temasya Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China.

Sementara itu, Nasihin menjelaskan, anak-anak buahnya telah mempamerkan banyak peningkatan terutamanya di jentera tengah dan serangan yang menjadi nadi penting dalam misi menghasilkan gol.

Justeru, bekas penjaga gol negara itu yang pernah beraksi pada temasya Olimpik 2000 di Athens, Greece yakin dengan kemampuan barisan kendaliannya untuk melakukan kejutan setelah diperkuatkan dengan beberapa pemain berpengalaman.

"Kita mempunyai seramai 26 pemain dan tiga pemain lama yang masih bersama-sama pasukan hoki wanita kebangsaan iaitu Nadia Abdul Rahman (kapten), A. Kannagi dan Sebah Kari.

"Kita akan mengadakan empat perlawanan persahabatan di Korea Selatan, dua menentang skuad kebangsaan negara itu dan dua lagi dengan kelab dalam liga utama.

"Itu adalah persiapan terakhir kita sebelum ke Jepun pada 21 April ini (Selasa)," jelas Nasihin yang dilantik sebagai jurulatih skuad wanita negara tahun lalu.

Nasihin menambah, biarpun anak-anak buahnya dianggap 'mentah' apabila beraksi di peringkat antarabangsa, beliau tetap berharap mereka melihat perkara itu daripada sudut positif.

Katanya, beliau mahu barisan pemainnya menggunakan peluang beraksi pada kempen Kelayakan Olimpik 2012 untuk meraih pengalaman berharga.

"Memang benar, para pemain saya kurang memiliki pengalaman beraksi di pentas antarabangsa. Namun, ia memberikan kelebihan kepada kami memandangkan tiada pasukan yang memiliki data mengenai kekuatan dan kelemahan kami pada kempen itu nanti.

"Hasrat untuk melakar kejutan sentiasa ada tetapi kami sentiasa berwaspada dengan pasukan-pasukan hebat seperti Jepun.

"Apa yang penting, saya mahu pemain-pemain saya menggunakan peluang yang ada untuk meraih pengalaman kerana mereka dapat beraksi pada perlawanan yang berkualiti tinggi," jelasnya.

Kempen Kelayakan Olimpik 2012 menjadi tugasan pertama Nasihin dan skuad wanita negara sejak mereka beraksi pada temasya Sukan Asia 2012 di Guangzhou, China.

"Walaupun ini merupakan penampilan pertama skuad wanita negara di peringkat antarabangsa sejak Sukan Asia 2010 tetapi mereka tetap bersemangat untuk beraksi pada kempen Kelayakan Olimpik di Jepun.

"Justeru, saya berharap mereka menampilkan semangat juang yang tinggi bagi merealisasikan impian beraksi pada Sukan Olimpik di London," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

harap atlet malaysia berjaya membawa pingat emas pulang ke tanah air

Catat Ulasan