Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Ramlan tidak bimbang

Posted: 30 Apr 2012 11:02 AM PDT

KEKALAHAN Datuk Lee Chong Wei di Terbuka India, kelmarin tidak membimbangkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz kerana beranggapan pemain nombor satu dunia itu belum cukup cergas untuk menghadapi perlawanan sengit.

Beliau yang menonton perlawanan akhir yang membabitkan Chong Wei dengan pemain Korea, Shon Wan Ho mengesahkan harapan pingat emas Olimpik negara itu kini bebas daripada masalah kecederaan bahu yang dialami di Seluruh England.


"Dia (Chong Wei) sudah bebas daripada kecederaan cuma belum cukup bersedia dari segi kecergasan perlawanan (match fitness)," kata Ramlan.

Katanya, Chong Wei sudah cukup kuat dari segi fizikal biarpun pemain itu baru kembali menyertai perlawanan kompetitif selepas berehat lebih sebulan.


"Ini kejohanan pertamanya selepas mengalami kecederaan, apa yang dicapai setakat ini adalah kemajuan. Kita perlu nilai dia dari segi intensiti sesuatu perlawanan dan berapa perlawanan dihadapinya.


"Apa yang saya lihat kemajuan dicapainya lebih baik berbanding di England, Mac lalu kerana kali ini dia lebih berkeyakinan dan berkemampuan untuk melakukan lebih daripada dua smash berturut-turut," kata Ramlan.

Menurutnya, kekalahan itu tidak membimbangkan ISN kerana mereka mensasarkan Chong Wei akan mencapai kemuncak prestasi di Olimpik London, Julai hingga Ogos ini.


Dalam pada itu, jurulatih fizikal, Mohd Rosdi Abd Ghani berkata fizikal pemain kelahiran Pulau Pinang itu masih boleh diperkemaskan ketika latihan fizikal Chong Wei memasuki fasa akhir menjelang Olimpik.

"Sekarang kita memasuki fasa akhir latihan fizikal, jadi dari segi 'volume', bebanan akan ditingkatkan, begitu juga dengan intensiti latihan di gelanggang," kata Rosdi.


Jurulatih fizikal dari ISN itu turut mengiringi Chong Wei ke India selepas pemain itu meminta pakar kecergasan itu mengikutnya ke setiap kejohanan dan Rosdi mendapati minda Chong Wei kini lebih terbuka.


"Dia memberi maklum balas dengan baik, apa yang dirasakan kurang dalam dirinya dari segi fizikal sehingga mempengaruhi permainan, dia akan beritahu dan kami saling berbincang.


"Malah saya juga menasihatkannya supaya tidak mengambil pusing dengan kekalahan ini kerana bagi saya, lebih baik dia tewas sekarang untuk menyedarkannya yang dia juga sebenarnya tidak boleh hanya memberi fokus kepada Lin Dan dan memandang mudah lawan lain," katanya.


Awasi pelumba

Posted: 30 Apr 2012 10:55 AM PDT

SESUATU perlu dilakukan bagi memastikan keselamatan skuad lebuh raya negara terjamin agar tidak terus berdepan risiko kemalangan terutama ketika menjalani latihan.

Justeru jurulatih kebangsaan, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan, berkata sudah tiba masanya untuk Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menimbang perlunya membawa pelumba kebangsaan keluar dari Kuala Lumpur (KL).


Walaupun tidak menafikan kelebihan berlatih di KL kerana ia pusat pentadbiran, Syed Mohd berkata, pelumba sepatutnya mendapatkan persekitaran baru agar dapat berlatih dengan lebih selesa dan tenang.

"Ada kebaikan berlatih di KL, tapi sukar untuk menyusun aktiviti kerana masalah jalan yang sibuk. Boleh dikatakan 95 peratus kemalangan boleh terjadi kepada pelumba lebuh raya pada bila-bila masa saja.


"Bagi saya, pelumba juga perlu tempat baru untuk merasai suasana berbeza dan itulah yang diterapkan kepada pelumba negara ketika saya membimbing mereka menghadapi LTdL (Le Tour de Langkawi)," katanya yang akan kembali membimbing skuad negara sejurus selepas Aidilfitri.


Kemalangan yang berlaku kepada pelumba negara, Ng Yong Li dan Mariana Mohamad menunjukkan betapa kawalan keselamatan perlu dititikberatkan oleh PKBM. Syed Mohd yang kini melatih pasukan skuad Sukma Terengganu berkata, pelumba akan kembali dipanggil menjalani latihan pusat selewat-lewatnya September ini sebagai persediaan menghadapi musim baru.

"Mereka kini mempunyai jadual sendiri dan ada antaranya berlatih sendiri dan kami akan berhubung menerusi telefon sebelum mereka dipanggil menjalani kem latihan pusat," katanya.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan