Kosmo Online - Sukan |
Posted: Mancini tempelak United
MANCHESTER - Senjata makan tuan. Demikian tempelak pengurus Manchester City, Roberto Mancini mengenai strategi bertahan musuh setempatnya, Manchester United selepas menang tipis 1-0 dalam saingan Liga Perdana England awal pagi semalam. Menurut Mancini, corak taktikal United yang gemar bertahan dalam perlawanan tersebut dilihat memakan diri mereka sendiri. "Kami mahu menang, sementara mereka pula hanya mahukan seri. Itulah titik-tolak kejayaan kami. "Kami memang berhak untuk menang, tetapi ia bukannya satu kemenangan yang mudah. "United hanya mahukan keputusan seri supaya situasi lebih memihak kepada mereka. "Ia satu risiko yang cukup besar dan saya rasa mereka sedar dengan keadaan itu." Menurut Mancini, beliau kini semakin yakin kelebihan kini berpihak kepada mereka untuk muncul juara ketika aksi liga masih berbaki dua perlawanan. "Sejujurnya, saya benar-benar gembira dengan kemenangan ini, ia amat penting buat pasukan dan peminat. "Apa yang penting sekarang bukan sahaja berada di kedudukan teratas liga, tetapi sejauh mana kemampuan kami mempertahankan kedudukan tersebut menjelang berakhirnya aksi liga, 13 Mei depan," katanya. - Agensi | |
Posted: Kelantan, Sime Darby ke finalPENYERANG Terengganu, Abdul Hadi Yahya (kiri) diasak oleh pertahanan Sime Darby pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Selayang malam tadi. KELANTAN dan Sime Darby FC melangkah ke final Piala FA 2012. Sime Darby mara dengan kelebihan agregat 2-1 selepas terikat seri tanpa jaringan dengan Terengganu pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Selayang malam tadi. Kelebihan agregat tersebut diperoleh hasil kemenangan 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Kuala Terengganu minggu lalu. Kelantan pula melangkah bergaya selepas mencatat keputusan 2-2 dengan Kedah pada aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi sekali gus mara dengan kelebihan jaringan di tempat lawan. Pada aksi pertama minggu lalu, kedua-dua pasukan turut mencatat keputusan seri 1-1. Meskipun terikat dengan agregat 3-3 tetapi Kelantan mara dengan kelebihan jaringan di tempat lawan. Kedah pernah beraksi di final Piala FA pada tahun 1996, 2007 dan 2008 dengan meraih gelaran sebagai juara, namun pada tahun 2010 mereka dihampakan Negeri Sembilan yang pada masa itu dibimbing Wan Jamak Wan Hassan. Nasib ternyata tidak menyebelahi anak-anak buah pengendali yang berasal dari Johor itu berdasarkan perkiraan gol ditempat lawan menerusi agregat 3-3. Kelebihan dua jaringan pada babak pertama menerusi jaringan penyerang licik, Mohd. Khyril Muhymeen Mohd. Zambri yang mampu memberi kelebihan kepada Kedah gagal dipertahankan sehingga wisel penamat. Sebaliknya Kelantan bangkit menyamakan kedudukan menerusi pemain pertahanan, Obinna Nwaneri dan penyerang, Mahmoud Ghadar. Kedua-dua pasukan yang mahu mencari jaringan awal sebagai gol semangat saling mengasak sebaik wisel dibunyikan pengadil perlawanan, M. Yusof Mat Karim. Pasukan tuan rumah berpeluang mendahului menerusi Gerc pada minit ke-29, namun diselamatkan penjaga gol pelawat, Khairul Fahmi Che Mat. Usaha skuad Kenari akhirnya berhasil menerusi sepakan percuma Ketua Pasukan, Baddrol Bakhtir yang dikuis cantik Mohd. Khyril Muhymeen pada minit ke-31. Mohd. Khyril Muhymeen sekali lagi menceriakan lebih 30,000 penyokong skuad Hijau Kuning apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-42. Pemain berjersi 18 itu menolak masuk hantaran Mohd. Fazliata Taib yang menerima hantaran Mohd. Khairul Helmi Johari daripada kawasan tengah padang untuk meletakkan pasukan tuan rumah selesa mendahului dua jaringan. Skuad Kijang memulakan babak kedua dengan langkah kanan apabila berjaya merapatkan kedudukan menerusi pemain import, Obinna Nwaneri yang menanduk masuk bola hantaran sepakan sudut Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-47. Mohd. Khyril Muhymeen yang berjaya melepasi pertahanan pasukan pelawat sekali lagi berpeluang melebarkan jaringan dua minit kemudian, namun sepakannya diselamatkan Khairul Fahmi. Pasukan pelawat selepas itu menggandakan asakan dan akhirnya berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi Mahmoud Ghadar pada minit-61. | |
Posted: Kim Swee: Hormati lawanOleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE KIM SWEE (kiri) mengingatkan barisan pemainnya agar berhati-hati dengan ancaman Geylang United pada aksi Liga S malam esok. ADA mesej yang cukup jelas cuba disampaikan pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee menjelang pertemuan menentang Geylang United dalam saingan Liga Singapura (Liga S) di Stadium Jalan Besar, malam esok. Menyedari pasukannya bakal 'berehat seketika' gara-gara menempuh kelayakan Piala Asia bawah 22 tahun di Myanmar bermula 23 Jun depan, Kim Swee tidak mahu anak-anak buahnya memandang mudah cabaran Geylang United. Menurut beliau, skuad Harimau Muda kini berada di trek yang betul untuk kekal sebagai antara pencabar utama dalam saingan Liga S. "Misi memburu tiga mata berharga ketika menentang Geylang United amat penting supaya kami tidak terlalu jauh ketinggalan sebaik pusingan kedua Liga S bermula. "Seandainya kami mahu mencapai sasaran menamatkan saingan di tangga kelima liga musim ini, ada baiknya setiap pemain tidak mengambil mudah perlawanan tersebut meskipun Geylang United dilihat masih tercari-cari rentak sebenar apabila sekadar menghuni tangga kedua tercorot liga setakat ini," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini. Harimau Muda ketika ini selesa di tangga ketiga Liga S dengan 20 mata hasil enam kemenangan, dua seri dan dua tewas setakat ini. Selepas perlawanan malam esok, skuad muda negara bakal melayan kunjungan Tampines Rovers di Stadium Yishun pada 13 atau 14 Mei depan. Mereka hanya akan kembali beraksi dalam saingan Liga S menentang pasukan tercorot liga, Tanjong Pagar United di Stadium Queenstown pada 13 Julai depan. Kehebatan dua tonggak muda negara, Ahmad Hazwan Bakri dan Wan Zack Haikal Wan Nor yang cemerlang membantu skuad kebangsaan membelasah Sri Lanka 6-0 dalam satu aksi persahabatan minggu lepas juga dijangka ditagih Kim Swee bagi merobek gawang Geylang United malam esok. Dalam pada itu, Kim Swee memberitahu beliau masih belum membuat keputusan mengenai senarai pemain yang akan dibawa ke Myanmar kelak. "Ia bergantung kepada prestasi semasa kesemua pemain sekembalinya kami menjalani beberapa perlawanan ujian di Eropah selepas ini, dan saya akan membuat pemilihan pemain (call up) terlebih dahulu sebelum membuat keputusan," katanya. Pada kelayakan Piala Asia nanti, skuad muda negara diundi dalam Kumpulan G bersama tuan rumah, Myanmar bersama Korea Selatan, Vietnam, Taiwan dan Filipina. Aksi kelayakan tersebut juga menyebabkan skuad Harimau Muda terpaksa melupakan saingan Piala Singapura, dan tempat mereka akan digantikan skuad Harimau Muda B yang dikendalikan Ismail Ibrahim. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan