Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Artikel 88 kekal relevan

Posted: 07 Jul 2012 09:44 AM PDT

ARTIKEL 88 terus relevan dalam statut perlembagaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) buat masa ini apabila badan induk bola sepak tanah air itu belum bersedia untuk menggubal statut itu pada Kongres Tahunan FAM ke-48 2010 & 2011 semalam.

Biarpun Mesyuarat Exco FAM sebelum ini memutuskan mahu membentangkan Artikel 88 pada Kongres FAM yang dihadiri Presiden, Sultan Ahmad Shah dan semua barisan Ahli Majlis serta wakil Gabungan, namun perkara itu ternyata tidak ada dalam agenda kali ini.


Alasan yang diberikan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, Artikel 88 masih perlu dikaji dengan teliti sebelum dibentangkan.

"Bukan tidak dibentangkan pada Kongres Tahunan FAM kali ini tapi masih belum bersedia.


"FAM harus meneliti dan mengkaji dengan penuh mendalam terhadap statut itu dan FAM akan membentangkan usul itu pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi semalam.


Artikel 88 menjadi perbualan hangat selepas Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa digantung dua tahun enam bulan atas alasan melanggar peraturan kerana membuat kritikan secara terbuka kepada skuad kebangsaan April lalu.

Ada pihak mendesak supaya statut itu dipinda dan Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyatakan kesediaan untuk mengkajinya semula.


Dalam pada itu pada sidang media selepas tamat kongres, Naib Presiden FAM, Datuk Afandi Hamzah memaklumkan beberapa ketetapan dicapai iaitu membuat penambahan anggota Exco daripada 8 kepada 10 anggota.

Katanya, penambahan dua slot ini akan diisi oleh wakil wanita yang akan dipilih menerusi pemilihan tahun depan yang bertujuan bagi memperkukuhkan usaha memartabatkan bola sepak wanita.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/08


Addy tambah emas Sarawak

Posted: 07 Jul 2012 09:40 AM PDT

PELUMBA Sarawak, Addy Ammin Shahriman Othman (gambar) menambah pungutan pingat emas untuk negeri Bumi Kenyalang itu semalam apabila muncul pemenang acara basikal kategori Cross Country MTB (Perseorangan) sekali gus menebus kehampaan dua tahun lalu di Melaka apabila gagal membawa pulang sebarang pingat.

Begitupun, kemenangan yang diraih oleh pelumba berusia 19 tahun itu bukan mudah selepas menerima tentangan sengit daripada barisan pelumba lain, termasuk pemenang pingat perak, Norshahriel Haizat Ahmad Nazali dari Selangor "Perlumbaan hari ini (semalam) cukup sukar kerana pesaing saya semua beraksi dengan baik. Trek juga licin dan basah sebab semalam (kelmarin) hujan lebat dan ia sedikit sebanyak memberi cabaran kepada kami semua.


"Pada awal perlumbaan saya agak ketinggalan apabila berada di kedudukan keenam sebelum mengejar satu persatu kelompok pelumba di depan. Alhamdulillah saya dapat melakukan tugasan dengan baik dan kekal sebagai pendahulu sehinggalah tamat perlumbaan," katanya.

Addy menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 1 jam 22 minit 11 saat sementara Norshahriel 1:24:10s. Pingat gangsa dimenangi oleh Mohd Zulhafiz Saipuddin dari Terengganu dengan catatan 1:25:15s.


Jelas Addy, sebelum perlumbaan dia tidak meletakkan harapan terlalu tinggi dan sekadar mensasarkan pingat perak kerana sedar untuk meraih emas bukan satu tugas mudah.


"Saya memang tak sangka dapat meraih emas, tetapi memang saya sudah melakukan persiapan rapi untuk saingan Sukma kali ini bagi menebus kekecewaan dua tahun lalu.

"Ketika itu saya hanya menimba pengalaman, tetapi kali ini saya memikul tanggungjawab besar untuk sekurang-kurangnya menyumbang pingat kepada kontinjen Sarawak dan akhirnya saya dapat juga memenuhi tanggungjawab ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/08


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan