Kosmo Online - Sukan |
Posted: Rozaimi dalam dilemaOleh MOHD. YUNUS YAKKUB
BIARPUN merasa teruja dengan tawaran kelab Liga Perdana Thailand, BEC Tero Sasana, penyerang muda negara yang semakin mengukir nama, Rozaimi Abd. Rahman dihimpit dilema untuk beraksi dalam liga negara Gajah Putih itu. Kebimbangan tersebut hadir selepas dia difahamkan oleh beberapa pemain berpengalaman negara terhadap ketelusan kempen liga Thailand itu sendiri. Rozaimi berkata, ia susulan timbulnya desas-desus mengenai kualiti permainan di sana yang lebih terarah kepada aktiviti menjual perlawanan. "Memang saya akui amat bersemangat dengan tawaran tersebut lebih-lebih lagi dapat menimba pengalaman baharu. "Lagipun Thailand adalah antara pasukan yang terkuat di rantau Asia Tenggara. "Pada masa sama, saya juga takut sekiranya pemergian saya ke kelab itu tidak mampu memberikan kepuasan akibat aktiviti menjual permainan," katanya ketika ditemui semalam. Jelasnya, dia juga turut dinasihatkan agar mempertimbangkan sewajarnya keputusan seandainya ingin bermain dalam Liga Thailand. Bagaimanapun, Rozaimi tetap optimis ingin menyahut terlebih dahulu pelawaan tersebut kerana ia dilihat sebagai medan utama dalam menguji kemampuan dan kemahiran yang ada padanya. Mengulas lanjut, Rozaimi menjelaskan dia dimaklumkan mengenai tawaran tersebut oleh jurulatih Ong Kim Swee sendiri semasa perlawanan dengan Vietnam pada kelayakan Piala AFC bawah 22 tahun di Yangon, Myanmar sebelum ini. "Apa pun, sehingga sekarang saya masih belum menerima sebarang hitam putih berkaitan tawaran tersebut," katanya yang turut menerima tawaran daripada negeri Sarawak. Terdahulu, penyerang muda kelahiran Bongawan, Sabah ini berjaya mempamerkan aksi mengagumkan dan muncul penjaring terbanyak selepas meledak 10 gol pada kelayakan Piala AFC bawah 22 tahun di Yangon, Myanmar. Sementara itu, Rozaimi terus mempamerkan kehebatannya apabila berjaya menjaringkan gol untuk Sabah setelah mengelecek dua pemain pertahanan dan penjaga gol Terengganu pada aksi berkesudahan Sabahawks tewas 1-3 kepada pasukan Penyu kelmarin. | |
Shahmim memburu gelaran raja pecut Posted: Shahmim memburu gelaran raja pecutSHAHMIM mahu menguasai acara pecut pada Sukma kali ini. ATAS kertas, gelaran raja pecut Sukma ke-15 Pahang seolah-olah sudah berada dalam genggaman pelari pecut Negeri Sembilan, Mohd. Shahmim Azmi. Ketika ini, rekod peribadi terbaik Shahmim iaitu 10.64 saat dalam acara 100 meter dilihat antara catatan masa terbaik dalam kalangan peserta pada temasya kali ini. Selain itu, ketiadaan raja pecut Sukma 2010, Syed Aliff Syed Noh dari Wilayah Persekutuan kerana telah mele- bihi usia juga turut menambah keyakinan Shahmim menyambar pingat emas buat kali pertama. "Keyakinan saya kini berada pada tahap tertinggi, teruta- manya selepas memperbaiki rekod peribadi April lalu. "Namun, saya enggan terlalu yakin kerana perlu berdepan cabaran pelari pecut Sarawak, Ambrose Jilom yang memiliki catatan masa peribadi terbaik yang hampir sama dengan saya iaitu 10.72s. "Saya juga tewas kepada Ambrose semasa kali terakhir berentap dengannya pada Kejohanan Olahraga MSSM (Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia) 2009," kata Shahmim. Mengulas lanjut, . Shahmim juga berazam mahu mempamerkan aksi terbaik dalam acara 200m pada temasya kali ini. "Saya akan fokus satu persatu acara terlebih dahulu, kalau boleh saya mahu meraih dua emas dalam acara 100m dan 200m pada temasya kali ini. "Saya percaya prestasi saya kali ini jauh lebih baik berbanding Sukma Melaka pada 2010 lalu," katanya optimis. Sebagai rekod, acara olahraga yang bakal membuka tirainya di Stadium Darul Makmur, Kuantan esok bakal menawarkan 45 pingat emas, 'lubuk emas' kedua selepas acara akuatik yang menawarkan 48 pingat emas. | |
Tiga rekod lebur di kolam renang Posted: Tiga rekod lebur di kolam renangCHRISTINA LOH meleburkan rekod acara 100m kuak dada wanita semalam. SEBANYAK tiga rekod Sukan Malaysia (Sukma) lebur sebaik sahaja acara akuatik membuka tirainya di Kompleks Akuatik, Wisma Belia, Indera Mahkota, Kuantan semalam. Dilihat sebagai 'lubuk emas' pada temasya edisi ke-15 kali ini, sebanyak 10 daripada 48 pingat emas keseluruhan telah pun dipertandingkan semalam. Perenang Wilayah Persekutuan, Christina Loh berjaya memecah rekod kejohanan acara 100 meter kuak dada wanita apabila mencatatkan masa 1:12:41 saat. Ini sekali gus memadam rekod lama milik perenang Sarawak, Erika Kong yang mencatatkan 1:12:45s pada Sukma 2010. Begitupun, catatan tersebut masih jauh daripada rekod kebangsaan 1:09:80s milik Siow Yi Ting pada temasya Sukan SEA 2009 di Laos. "Jika tidak kerana kepenatan gara-gara menyertai tiga kejohanan sebelum ini, saya percaya saya mampu melakukan catatan masa yang lebih baik," kata Christina. Rakan sepasukan Christina, Ian James Barr juga berjaya menebus kekecewaannya yang sekadar meraih pingat perak acara 50m kuak lentang lelaki pada Sukma 2010. Kali ini, Ian James berjaya meraih pingat emas acara itu dengan catatan masa 26.86s, sekali gus melakar rekod baharu kejohanan yang sebelum ini dipegang oleh Brian Derrick Lim dari Sarawak (27:81s) yang juga dilakukan pada Sukma 2010. Perenang Selangor, Caroline Xin juga ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila mengungguli acara 50m kuak lentang wanita dengan mencatat rekod baharu kejohanan iaitu 30.34s. Rekod tersebut 0.05 saat lebih pantas daripada rekod lama yang sebelum ini dipegang oleh Chui Lai Kwan dari Sabah ketika edisi dua tahun lepas. Rekod kebangsaan acara itu setakat ini dipegang oleh perenang Wilayah Persekutuan, Chan Kah Yan iaitu 30.15s pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China. Lebih manis, Caroline berjaya mengejutkan Kah Yan yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak meskipun sebelum ini dilihat sebagai pilihan utama temasya kali ini. Lain-lain pemenang pingat emas acara renang semalam ialah Tan Li Ling (Sabah - 200m gaya bebas wanita), Lim Ching Wang (Selangor - 200m gaya bebas lelaki), Wong Fu Kang (Johor - 100m kuak dada lelaki), Erika Kong Chia (Sarawak - 400m rampaian individu wanita) dan Tiaa Fang Der (Johor) dalam acara 400m rampaian individu lelaki. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan