Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Tentera belum selamat

Posted: 28 Sep 2012 02:27 PM PDT

PERTEMUAN membabitkan dua pasukan yang menjadi antara pilihan untuk menjuarai Piala Malaysia musim ini berkesudahan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membenam cabaran Negeri Sembilan 3-2 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Juara Liga Perdana itu bagaimanapun terpaksa menunggu pada babak kedua permainan untuk membuka jaringan walaupun dilihat menguasai babak pertama dalam aksi suku akhir pertama itu.


Gol yang dinantikan ribuan penonton di Selayang hadir pada minit ke-56 menerusi rembatan pemain sayap, Christie Jayaselan dari dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd Farizal Marlias.

Kerapuhan pertahanan skuad kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah yang gagal mengemaskan kembali permainan selepas jaringan pertama ATM dimanfaatkan Bruno Sebastian Marteloto untuk menggegar gol kedua tuan rumah pada minit ke-61.


Namun kecuaian penjaga gol ATM, Mohd Farizal Harun mengundang padah ketika pasukannya mendahului 2-0 apabila sepakannya di dalam kotak penalti terkena belakang badan Firdaus Azizan yang melambung dan menerjah gawang sebelum Hairuddin Omar meledak gol ketiga ATM pada minit ke-80.


Bekalan selesa diimpikan ATM bagaimanapun tidak menjadi kenyataan apabila pemain gantian Mohd Shakir Ali melakukan sepakan gunting untuk juara bertahan Piala Malaysia merapatkan kedudukan 2-3 sebagai bekalan untuk aksi suku akhir kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Selasa ini.

ATM yang dikendalikan B Sathianathan bagaimanapun berpeluang meledak jaringan pada babak pertama namun pengadil tidak menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-31 selepas Marteloto dijatuhkan Mohd Syukor Adan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/29


Misi besar Pahang

Posted: 28 Sep 2012 02:24 PM PDT

PAHANG mensasarkan untuk layak sekurang-kurangnya ke separuh akhir Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan 2012 Ke-34 berlangsung di gelanggang Majlis Sukan Pahang (MSP), hujung bulan depan.

Presiden Persatuan Bola Jaring Pahang (PBJP), Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan prestasi semasa skuad yang semakin menunjukkan peningkatan pada kejohanan tempatan.


Pada masa sama, dengan kehadiran beberapa pemain kebangsaan, tidak mustahil skuad tuan rumah mampu merealisasi sasaran yang ditetapkan PBJP.

"Buat masa ini, seramai 12 pemain menjalani latihan pusat dikendalikan jurulatih, Maslinda Mohd Dom. Kami berusaha menyediakan satu pasukan mantap untuk memberikan imej baru kepada pasukan Pahang.


"Dengan barisan pemain dan pengurusan persatuan yang baru selepas Pahang tidak menyertai kejohanan itu tahun lalu, saya percaya sebagai tuan rumah, kami mampu melakar kejayaan," katanya.


Shahaniza turut menuntut barisan pemainnya lebih bersedia dan mempamerkan komitmen tinggi untuk melangkah ke kelompok empat pasukan terbaik kerana cabaran yang bakal mereka hadapi bukan mudah terutama selepas diundi dalam kumpulan sama dengan naib juara tahun lalu, Kedah.

"Barisan pemain kali ini juga perlu membuktikan Pahang yang pernah muncul antara empat pasukan terbaik kejohanan mampu mengulangi kejayaan itu." Pada kejohanan 18 hingga 21 Oktober itu, Pahang diundi dalam Kumpulan B bersama Kedah, Melaka dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) manakala juara bertahan, Kuala Lumpur, Terengganu, Selangor, Perak dan Perlis tersenarai dalam Kumpulan A.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/29


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan