Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


Zulfahmi gah tawan Sepang

Posted: 21 Oct 2012 05:38 PM PDT

Anak tempatan pertama raih podium GP Dunia

Sepang: Walaupun hujan membasahi Litar Antarabangsa Sepang semalam, tetapi Zulfahmi Khairuddin 'membakar' litar itu apabila melakar sejarah menjadi pelumba pertama negara berjaya menaiki podium Grand Prix (GP) Dunia dengan menduduki tempat kedua kategori Moto3 (250cc), semalam.

Kemenangan itu adalah pencapaian terbaik pelumba yang menyambut hari jadi ke-21 kelmarin sejak beraksi dalam perlumbaan berprestij itu tiga tahun lalu sekali gus mengatasi pencapaian terbaik tempat keempat yang diraihnya di GP Portugal, Mei lalu.

Bermula di petak utama selepas mencatatkan masa terpantas pada sesi kelayakan kelmarin, semangat anak muda dari Banting, Selangor yang mewakili AirAsia-SIC-Ajo Team itu jelas membara untuk meraih podium sulungnya.
Walaupun pelumba Mapfre Aspar Team Moto3, Jonas Folger berjaya memotong di awal permulaan, namun ia dilihat satu strategi untuknya menamatkan perlumbaan di kelompok tiga teratas.

'Tempat kedua lebih baik daripada kemalangan'

Berbaki tujuh pusingan untuk perlumbaan ditamatkan, Zulfahmi kembali berada di depan sehingga ke pusingan terakhir namun sedikit kesilapan di selekoh terakhir meleburkan impiannya berada di tempat pertama apabila dipintas oleh Sandro Cortese yang menamatkan saingan 0.028s lebih pantas daripadanya dengan 40 minit 54.123 saat.

Namun tunggangan cemerlang yang dipamerkannya itu cukup bermakna untuk meraih podium pertama sepanjang kariernya pada hari ulang tahun kelahiran yang ke-21, kelmarin.

"Saya belajar daripada pengalaman sebelum ini untuk bermula lebih baik. Terima kasih kepada pasukan kerana sepanjang minggu ini, jentera saya berada dalam keadaan cukup baik.
"Ketika mendahului, saya ada melakukan sedikit kesilapan hingga dipotong oleh Sandro Cortese. Namun kedudukan kedua di tempat sendiri adalah lebih baik daripada terbabit dalam kemalangan," katanya yang bersaing hebat dengan Cortese pada selekoh terakhir.

Tamat perlumbaan itu, Cortese yang mewakili pasukan Red Bull KTM Ajo turut mengesahkan kejuaraan dunia Moto 3 menjadi miliknya dengan mengumpul 280 mata tatkala tinggal baki dua lagi perlumbaan musim ini, manakala Zulfahmi di tempat ketujuh, 112 mata.

Skuad Kim Swee juara

Posted: 21 Oct 2012 05:31 PM PDT

Ahmad Hazwan wira tanduk masuk sepakan percuma

Kuala Lumpur: Kejayaan manis dan menakjubkan dicipta Ong Kim Swee serta skuad bawah 21 negara kendaliannya apabila muncul juara Kejohanan B-21 Thanh Nien, Piala Newspaper 2012 selepas menewaskan tuan rumah, Vietnam 1-0 semalam sekali gus membawa pulang piala dan hadiah AS$12,000 (RM37,000).

Ahmad Hazwan Bakri muncul wira apabila menanduk masuk sepakan percuma Nurridzuan Abu Hassan pada minit ke-57 di Stadium Pleiku, Gia Lai untuk memastikan kemenangan 1-0 ke atas tuan rumah yang turun sebagai juara bertahan.

"Pemain membuktikan keazaman mereka untuk menang," kata Kim Swee ketika dihubungi semalam. "Mereka mempamerkan kerjasama berpasukan serta disiplin tinggi sepanjang perlawanan walaupun bermain tanpa lima tonggak utama.
"Kejayaan ini cukup manis kerana ia bukan saja menguji kemampuan fizikal pemain tetapi juga mental setiap daripada mereka apabila berdepan situasi getir begini. Saya ucapkan tahniah kepada pemain muda negara yang mempunyai misi besar mempertahankan emas Sukan SEA tahun depan."

Izham penjaga gol terbaik

Walaupun hanya mempunyai 15 pemain menjelang final itu berikutan kecederaan lima tonggak utama – Syahrul Azwari Ibrahim, A Thamil Arasu, Ariff Farhan Md Isa, Fandi Othman dan Syazwan Tajudin – anak buah Kim Swee masih mampu melakar kemenangan pada edisi keenam kejohanan berkenaan.

Selain Hazwan, pujian harus diberikan kepada penjaga gol utama Harimau Muda, Izham Tarmizi Roslan yang banyak menyelamatkan percubaan bahaya tuan rumah dan memastikan kelebihan yang dimiliki kekal hingga wisel penamat. Izham turut dinobatkan penjaga gol terbaik kejohanan.
Perlawanan yang disaksikan lebih 20,000 penyokong tuan rumah itu bagaimanapun dicemari insiden membaling botol kepada pemain negara, Adam Nor Azlin ketika pemain itu sedang menerima rawatan di tepi padang.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen