Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Pemain tuntut gaji tidak munasabah

Posted: 30 Oct 2012 09:22 AM PDT

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan mendedahkan pihaknya terpaksa memberi laluan kepada beberapa pemain utama untuk mencari pasukan lain bagi musim depan, selepas tidak dapat memenuhi permintaan kenaikan gaji yang tidak munasabah serta di luar kemampuan persatuan.

Sambil menganggap permintaan mereka sebagai keterlaluan, Mohamad yang juga Menteri Besar, berkata kantung PBNS akan koyak jika mereka memenuhi kehendak pemain itu.


"Sebagai contoh, pemain import, Jean-Emmanuel Effa Owona menuntut kenaikan gaji sehingga AS$300,000 (RM915,599) setahun berbanding sebelum ini hanya AS$120,000 (RM366,239). Selain itu, dia juga menuntut bayaran kontrak AS$100,000 (RM305,199).

"Bagi saya, permintaan itu melampau dan di luar kemampuan persatuan. Malah, kami juga menerima tuntutan gaji tinggi daripada pemain tempatan sehingga menyebabkan kami terpaksa membuat keputusan untuk melepaskan mereka memilih pasukan lain," katanya, semalam.


Effa Owona kini sudah mengikat kontrak setahun bersama skuad Penyu dan tidak diketahui berapa banyak yang dibelanjakan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) itu untuk mendapatkan khidmat penyerang berasal dari Cameroon itu.


Antara pemain utama tempatan skuad itu yang turut beralih angin ke pasukan lain ialah Mohd Shukor Adan yang berpindah ke Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Farizal Marlias (Perak) dan S Kunanlan (Selangor).

Mengenai pemain import yang bakal menggantikan Effa Owona, Mohamad berkata, pihaknya sedang meneliti beberapa pemain untuk diuji sebelum diserapkan kerana mahu pemain berkualiti yang diperakui baik di atas kertas dan di padang.


"Kita tidak mahu terburu-buru mengambil pemain import kerana tidak mahu terperangkap apabila mendapat pemain yang tidak berkualiti," katanya yang mengesahkan kontrak pemain pertahanan, Marian Farbak, tidak diperbaharui.

Beliau bagaimanapun mengesahkan pemilihan bekas jurulatih kelab Persebaya FC dari Indonesia, Divaldo Elves sebagai ketua jurulatih Negeri Sembilan yang baru dengan keputusan mendapatkan khidmatnya dibuat selepas menilai prestasi dan rekod cemerlang pengendali kelahiran Portugal itu.


Mohamad berkata pihaknya yakin dengan keupayaan Elves bagi menggantikan Mohd Azraai Khor Abdullah yang berpindah ke Perak, bagi menjulang Negeri Sembilan selaku bekas juara dua kali Piala Malaysia.


"Kita sudah meneliti rekod cemerlang jurulatih itu sepanjang membimbing Persebaya FC dan pelantikannya diharap dapat melakar sejarah baru buat Negeri Sembilan.


"Tambahan pula Negeri Sembilan bakal berwajah baru dengan menampilkan ramai pemain muda dari skuad Piala Presiden selain beberapa pemain berpengalaman yang masih kekal dalam pasukan.


"Justeru, Elves diharap dapat menjelmakan sesuatu dalam misi meletakkan reputasi pasukan di tahap yang lebih cemerlang," katanya selepas mesyuarat mingguan Exco di Seremban, semalam.


Menurut Mohamad, Elves akan mengikat kontrak selama setahun dan dijangka memulakan tugas dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/30


Azzuddin ganti Paul?

Posted: 30 Oct 2012 09:16 AM PDT

ADAKAH Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad akan meninggalkan badan induk bola sepak tanah air itu dalam tempoh terdekat ini?

Itu persoalan yang timbul selepas namanya dikaitkan sebagai calon baru mengisi kerusi Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) selepas penyandang asal Datuk Seri Paul Mony Samuel sudah menamatkan perkhidmatan beberapa minggu lalu.


Bagaimanapun Azzuddin yang dilantik Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah bagi menerajui sekretariat FAM pada September 2007 menafikan khabar angin itu namun tidak menolak sebarang kemungkinan selepas ini.

"Bagi saya berita ini spekulasi saja, ia tiada indikasi kepada saya. Saya tidak tahu bagaimana berita ini ditimbulkan di blog tapi kontrak Datuk Seri Paul Mony Samuel memang betul sudah tamat dan mereka sedang mencari calon baru.


"Tapi siapa calon baru itu saya tidak tahu. Calon itu boleh jadi sesiapa saja daripada wakil 10 negara Asean," katanya. ketika ditemui pada Majlis Anugerah Bola Sepak kebangsaan 2012 semalam.


Azzuddin yang menggantikan Datuk Seri Dr Ibrahim Saad sebelum ini dikatakan calon paling layak menerajui pentadbiran di AFF berdasarkan pengalaman beliau dalam arena bola sepak.

Ketika sekretariat di bawah kendaliannya, Malaysia merangkul beberapa kejayaan iaitu pingat emas Sukan Sea Laos 2009 dan Indonesia 2011 serta Piala Suzuki AFF 2010.


Beliau juga mempunyai pengalaman sebagai pemain dengan mewakili Angkatan Tentera Malaysia serta menyarung jersi negara pada 1970an dengan pencapaian terbaiknya membantu negara menjadi naib juara Pesta Bola Merdeka pada 1972.

Meskipun menganggap berita itu sebagai spekulasi, Azzuddin tidak menolak kemungkinan untuk memberikan khidmat bersama AFF sekiranya mendapat arahan presiden Sultan Ahmad Shah.


"Tidak sesuai untuk menyatakan minat saya ketika ini kerana tiada perbincangan langsung mengenai perkara ini. Tuanku Presiden (Sultan Ahmad Shah) juga menjadi Presiden AFF, jika Tuanku bertitah, saya mungkin tiada pilihan. Presiden berhak menamakan calon dan kemudian mestilah mendapat persetujuan semua Ahli Majlis AFF.


"Jika saya bertugas dengan AFF, saya kena melepaskan jawatan di FAM, saya tidak boleh pegang dua jawatan, tapi buat masa ini tidak bagus untuk saya komen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/30


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen