Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


'Dari La Liga ke Serie A'

Posted: 15 Nov 2012 01:43 PM PST

Johor Bahru: Selepas mengikat pemain yang pernah beraksi dalam La Liga, Daniel Gonzales Guiza, Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) bakal menandatangani pemain yang pernah bermain dalam kancah Serie A pula, Simone Del Nero.

Setiausaha Kehormat PBNJ, Suhairi Hashim mengesahkan bekas pemain tengah Lazio itu akan tiba di Johor Bahru, hari ini dan dijangka menandatangani kontrak semusim beraksi bersama skuad Harimau Selatan bagi mengharungi saingan Liga Super musim depan menggantikan Andre Francisco Da Silva.

"Del Nero akan beraksi dengan Johor bukan secara pinjaman sebaliknya kita akan mengikat kontrak selama setahun. Bagaimanapun, sebelum sebarang kontrak ditandatangani dia mahu melihat dulu syarat-syarat yang ditetapkan.

"Saya rasa tidak akan ada masalah untuk dia menurunkan tandatangan sekali gus beraksi bersama kita. Ini pasti satu kebanggaan kepada Johor kerana mendapat khidmat seorang lagi bintang ternama selepas mengikat bekas pemain Sepanyol (Guiza)," katanya semalam.

Del Nero, 31, kini beraksi secara pinjaman bersama A.C Cesena dalam saingan Serie B Liga Itali dan pemain kelahiran Carrara, Itali itu memulakan karier bola sepak secara profesional bersama kelab Empoli pada 1998 hingga 2000.

Dia kemudian berhijrah ke kelab Brescia (2000-2007) dan turut beraksi dengan kelab Livingston pada saingan Liga Divisyen Satu Scotland (2001-2002) secara pinjaman sebelum membuat 22 penampilan bersama Lazio.

Del Nero juga pernah membantu skuad Bawah 21 tahun, Itali muncul juara Piala Eropah dan bersama skuad Olimpik Itali meraih pingat gangsa Sukan Olimpik 2004 di Athens, Greece serta membantu Lazio menjulang Piala Super Itali 2009.
"Nilai kontrak pemain itu seperti biasa, kita tidak boleh dedahkan. Paling mustahak dia setuju beraksi bersama Johor sekali gus kehadirannya diyakini mampu meningkatkan lagi mutu bola sepak bukan saja di Johor tetapi negara ini," kata Suhairi.

Raja goyang!

Posted: 15 Nov 2012 01:42 PM PST

Shah Alam: Sikap jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal yang sering mengulangi pendiriannya bahawa keputusan aksi persahabatan tidak begitu penting berbanding perlawanan sebenar nampaknya semakin memakan diri.

Kini sepak mula Piala Suzuki AFF 2012 hanya berbaki sembilan hari dan skuad Harimau Malaya terus tertekan dalam misi mempertahankan kejuaraan selepas sekadar seri 11 dengan pasukan ranking ke172 dunia, Hong Kong di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Ia menyaksikan skuad kebangsaan kini hanya menang sekali dalam lima aksi persahabatan antarabangsa terakhir, selebihnya tewas tiga kali kepada Vietnam 02 di Shah Alam dan 01 di Hanoi serta Thailand 02 di Bangkok.

Lantas harapan terakhir kini hanyalah untuk meraih kemenangan moral bertemu Bangladesh, ranking ke-171 dunia di Stadium Shah Alam, Selasa ini selepas barisan 26 pemain negara merehatkan seketika fikiran di Pulau Pangkor, Perak selama tiga hari bermula hari ini.

"Saya masih ada Ahmad Hazwan Bakri, Zaquan Adha Radzak dan Ahmad Fakri Saarani yang akan diturunkan bertemu Bangladesh nanti. Apapun, kita tak boleh main seperti ini lagi.

Tahap kepantasan dan agresif pemain perlu berbeza.

"Memang keputusan seri ini cukup mengecewakan. Selepas jaringan Safee Sali, kita patutnya teruskan rentak tetapi itu tidak berlaku. Tapi bagus juga untuk pemain semua sedar yang Piala Suzuki AFF bukan senang. Mereka perlu kerja lebih keras.
"Bertemu Bangladesh, tiada lagi alasan kerana ia aksi persahabatan terakhir. Kita benar-benar kena bangkit dan perlu betul-betul bersedia untuk menghadapi saingan sebenar Piala Suzuki AFF," kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan.

Jaringan Safee pada minit ke57 dipadam pemain gantian Hong Kong, Lam Hok Hei, tiga minit sebelum perlawanan berakhir hasil kesilapan pemain pertahanan, Aidil Zafuan Radzak dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Mengulas insiden itu, kata Rajagobal: "Kemungkinan seperti ini memang sentiasa berlaku biarpun di kalangan pemain berpengalaman.

Khairul Fahmi tak patut beri bola sedemikian dan Aidil pula perlu sentiasa dalam keadaan bersedia."

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan