Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Harimau perlu positif

Posted: 13 Nov 2012 11:42 AM PST

"SAYA rasa kami belum lagi tertekan." Itu reaksi balas kapten, Safiq Rahim mengenai aksi kurang memberangsangkan skuad Harimau Malaya yang mencetuskan kebimbangan terhadap peluang mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki hujung bulan ini.

Dua kekalahan berturut-turut pada pencabar serantau, Vietnam 1-0 dan Thailand 2-0 baru-baru ini memberi tamparan hebat buat skuad kendalian Datuk K Rajagobal yang kini dalam fasa persiapan terakhir sebelum memulakan kempen Kumpulan B menentang Singapura pada 25 November ini.


Keputusan buruk itu mengundang rasa tidak puas hati peminat tempatan serta orang kuat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Tapi bagi Safiq, situasi itu tidak memberi tekanan kepada pemain kerana apa yang dilalui ketika ini sudah mereka hadapi ketika menjuarai pingat emas Sukan Sea 2009 dan Piala AFF 2010.


"Sebelum ini kami pernah lalui situasi lagi teruk. Pada 2009 dan 2010 tiada orang meletakkan harapan kepada pasukan kebangsaan tapi kami berjaya membuktikan sesuatu.


"Sebagai pemain, ini satu cabaran, kami perlu tahan dengan segala kritikan. Mental semua pemain perlu kuat, kami perlu buktikan apa saja tanggapan negatif itu tidak betul," kata pemain tengah itu yang ditemui pada majlis pelancaran jersi baru skuad kebangsaan baru-baru ini.

Untuk mendapatkan kembali momentum kemenangan itu, anak buah Rajagobal tiada pilihan selain bangkit mempamerkan perwatakan juara rantau ini apabila menentang Hong Kong malam ini dan Bangladesh pada 20 November di Stadium Shah Alam.


Safiq yang terkenal sebagai pakar sepakan percuma berharap semua pemain memberikan aksi terbaik pada perlawanan itu untuk memuaskan hati peminat tempatan sebelum turun di kejohanan sebenar.

"Kami mahukan keputusan positif tapi dalam dua perlawanan sebelum ini tidak menjadi kenyataan. Harap kami dapat perbaiki kelemahan untuk mendapat keputusan baik bagi menaikkan moral pemain sebelum perlawanan pertama dengan Singapura." Malaysia yang muncul juara Piala AFF buat kali pertama dengan menundukkan Indonesia pada final dua tahun sekali lagi bertemu naib juara itu dalam saingan Kumpulan B bersama Singapura dan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil.


Sementara itu bagi kempen Kumpulan A di Bangkok membabitkan pasukan tuan rumah Thailand, Vietnam, Filipina dan Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/13


Suntikan baru karier Affendi

Posted: 13 Nov 2012 10:04 AM PST

SAINGAN Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Litar Sepang hujung minggu lalu menyaksikan juara kategori CP130, Mohd Affendi Rosli beraksi dengan logo baru tertera di topi keledar yang digunakannya.

Pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu dilantik sebagai duta kepada Hospital Sungai Buloh (HSB), yang juga penajaan peribadi pertama diterima pelumba melalui industri kesihatan dalam negara.


Pengiktirafan Affendi itu membawa angin baru dalam industri sukan pemotoran negara apabila pelumba tempatan menerima penajaan peribadi kerana penajaan biasanya diterima pasukan.

"Saya gembira dan bangga dengan penajaan ini dan berjanji melaksanakan tugas sebagai duta HSB sebaik mungkin.


"Pelantikan ini juga sebenarnya turut menaikkan semangat saya memenangi perlumbaan di Sepang dan kedua berturut-turut musim ini," kata Affendi.


"Perkembangan ini sesuatu yang positif kepada sukan pemotoran secara keseluruhannya.

"Pada masa ini, banyak perhatian mula ditunjukkan terhadap sukan pemotoran dan perkembangan positif ini mungkin berikutan kejayaan pelumba negara di peringkat antarabangsa.


"Dengan bentuk tajaan peribadi seperti ini, mudah-mudahan ia dapat membantu pelumba lain mengembangkan bakat mereka." Antara pelumba lain yang turut mendapat penajaan peribadi ialah dua pelumba handalan Malaysia di Kejuaraan Motosikal Asia, Azlan Shah Kamaruzaman dan Mohd Zamri Baba yang dinamakan sebagai duta saluran sukan Astro Arena.

Pada masa sama, saingan Pusingan 9 Cub Prix di Litar Sepang berjaya menerima 167 penyertaan dalam tujuh kelas perlumbaan keseluruhan.


Selain itu, ia turut merekodkan penyertaan teramai kategori Persendirian pada musim ini dengan jumlah maksimum seramai 48 pelumba tampil mempamerkan kebolehan dengan harapan dapat menarik minat pasukan-pasukan ternama.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/14


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen