Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Kemelut kian panas

Posted: 02 Nov 2012 10:13 AM PDT

KEMELUT perebutan Pemain Paling Bernilai, Norshahrul Idlan Talaha atau dikenali dengan panggilan Mat Yo gagal menemui titik noktah apabila Johor berkeras tidak akan melayan pampasan RM1 juta yang dituntut Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Sambil menegaskan nilai yuran perpindahan ditetapkan Kafa itu terlalu tinggi dan pihaknya tidak akan melayan tuntutan itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkata mengikut peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), jumlah yuran perpindahan yang perlu dibayar kepada mana-mana pasukan ingin mendapatkan khidmat pemain masih mempunyai kontrak, sepatutnya lebih rendah daripada RM1 juta.


"Justeru, saya ingin tegaskan PBNJ tidak akan melayan tuntutan Kafa sebaliknya kami akan menggunakan saluran profesional mengikut klausa yang sudah ditetapkan FAM.

"Keputusan itu dibuat bagi menghormati undang-undang ditetapkan badan induk bola sepak negara itu dan tidak sama sekali membelakangi ketetapan FAM. "PBNJ akan menunggu reaksi Kafa mengenai perkara ini kerana kami tidak mahu isu ini berpanjangan," katanya.


Kafa sebelum ini menuntut PBNJ membayar RM1 juta sebagai pampasan untuk membenarkan Mat Yo beraksi bersama skuad Harimau Selatan pada musim depan kerana pemain itu masih mempunyai kontrak setahun bersama Kelantan.


Sehubungan itu, Tunku Ismail menyerahkan kepada Pemain Paling Bernilai 2012 itu untuk membuat keputusan sendiri sama ada kekal bersama Red Warriors atau beralih ke Johor.

Tunku Ismail berkata, Kafa dan Norshahrul perlu menyelesaikan kemelut itu serta terpulang kepada mereka mencari penyelesaian terbaik manakala PBNJ akan menyusul bagi mendapatkan khidmat pemain itu jika segala urusan selesai.


"Pilihan di tangan Mat Yo, sebagai pemain bola sepak profesional, dia perlu ambil keputusan yang menguntungkan masa depannya, kami tidak akan memaksanya.

"Apa yang kami tawarkan itu berdasarkan prestasi cemerlangnya, lebih-lebih lagi dia memegang status Pemain Paling Bernilai untuk tiga tahun berturut-turut," katanya.


Terdahulu, Tunku Ismail menyaksikan majlis menandatangani kontrak pemain Johor dan Johor United. Pasukan yang beraksi dalam Liga Super akan dikenali sebagai Johor manakala pasukan negeri yang akan beraksi dalam Liga Perdana musim depan akan dikenali sebagai Johor United bagi menggantikan nama lama, Johor FA.


Sementara itu, PBNJ sah mengikat pemain pertahanan Terengganu, Muslim Ahmad bersama bekas pemain Sime Darby, Afiq Kamaruddin yang menandatangani kontrak untuk beraksi bersama skuad Harimau Selatan musim depan.


Nurul Azwan Roya dan Safiq Rahim pula dijangka memeterai kontrak tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/03


Murray kena aib

Posted: 02 Nov 2012 10:04 AM PDT

PARIS: Andy Murray mensia-siakan mata penentuan sebelum disingkirkan pemain kelayakan dari Poland, Jerzy Janowicz 7-5, 6-7, 2-6 selepas beraksi hambar pada pusingan ketiga kejohanan Masters Paris, kelmarin.

Bintang Britain itu sering hilang fokus ketika melakukan servis pada set kedua dan dikejutkan pukulan padu Janowicz.


"Dia mungkin memperoleh keyakinan selepas memenangi mata penentuan set kedua dan beraksi lebih baik selepas itu," kata Murray.

"Dia beraksi dengan baik, agresif dan sering menghantar bola paras jaring. Apabila dia melakukan pukulan dengan baik, bola pasti masuk gelanggang." Kekalahan pemain nombor tiga dunia itu bermakna buat kali pertama sejak 2010, juara edisi kali ini pasti menjadi pemain berada di luar ranking empat terbaik dunia.


Ia menjadi satu lagi penamat musim kurang menarik selepas pemain nombor empat dunia, Rafael Nadal dan Roger Federer mengambil keputusan tidak beraksi di Paris sementara Novak Djokovic disingkirkan pemain Amerika Syarikat, Sam Querrey pada pusingan kedua, Rabu lalu.


Pilihan ketujuh dari Argentina, Juan Martin del Potro juga boleh bersedia melakukan persediaan rapi menghadapi Pusingan Akhir Jelajah Dunia ATP minggu depan di Arena 02 di London selepas tewas kepada pemain pilihan tempatan, Michael Llodra 4-6, 3-6.

Pilihan keempat dari Sepanyol, David Ferrer kini pemain ranking paling tinggi masih meneruskan saingan selepas mengatasi pilihan ke-16 dari Switzerland, Stanislas Wawrinka 6-2, 4-6, 6-2.


Jo-Wilfried Tsonga dari Perancis yang akan beraksi di London minggu depan meneruskan kemaraan apabila mengalahkan pemain Sepanyol, Nicolas Almagro 7-6, 7-6.

Janko Tipsarevic melengkapkan senarai pemain ke Pusingan Akhir Jelajah Dunia selepas menewaskan pemain Argentina, Juan Monaco 6-3, 3-6, 6-3. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/03


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen