KBS intai empat pingat emasKBS intai empat pingat emas
Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.m

AHMAD SHABERY (dua dari kiri) hadir pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara MSN dengan 100PLUS dan Pelancaran Detik 500 Hari Program Road to London 2012 di Bukit Jalil semalam.
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengintai peluang untuk meraih empat pingat emas pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pada masa yang sama sasaran untuk memenangi pingat emas pertama negara tetap diteruskan.
Menurut Ahmad Shabery, berdasarkan prestasi semasa yang dipamerkan atlet-atlet yang terpilih mengikuti Program Road to London 2012, tidak mustahil empat pingat emas mampu dijelmakan.
Bukan sekadar 'omongan kosong' tetapi beliau melahirkan keyakinan itu berdasarkan beberapa faktor terutamanya kejayaan dan peningkatan yang dipamerkan barisan atlet negara dalam acara badminton, basikal trek dan terjun.
"Saya berkata demikian ada rasionalnya yang tersendiri. Bagi acara badminton sahaja, saya menjangkakan dua pingat emas berada dalam jangkauan menerusi Datuk Lee Chong Wei (perseorangan lelaki) dan Koo Kien Keat/Tan Boon Heong (beregu lelaki).
"Chong Wei telah meruntuhkan tembok psikologi yang sebelum ini menghalang dia selaku pemain No. 1 dunia untuk menewaskan musuh utamanya, Lin Dan (China) dengan bergelar juara pada Kejohanan Terbuka Seluruh England awal pagi tadi (awal pagi semalam).
"Manakala Kien Keat/Boon Heong pula tewas pada aksi final dengan jurang mata yang sedikit kepada beregu No. 1 dunia. Ini menandakan bahawa kita masih berpeluang untuk memenangi pingat emas dalam acara beregu.
"Begitu juga dengan basikal trek. Seperti kita sedia maklum, Malaysia memiliki Mohd. Azizulhasni Awang yang telah membuktikan bahawa dia merupakan jaguh No. 1 dunia dalam acara tersebut dan ia tidak boleh dipertikaikan lagi.
"Pandelela pula ada potensi besar untuk memenangi pingat emas selepas kejayaannya memenangi perak pada Kejohanan Terjun Remaja Dunia dan Sukan Asia, di mana beliau berada satu tempat di belakang penerjun nombor satu dunia dari China," kata Ahmad Shabery.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara Majlis Sukan Negara (MSN) dengan 100Plus dan Pelancaran Detik 500 Hari Program Road to London 2012 di Bukit Jalil semalam.
Turut hadir, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, Pengarah Urusan F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., James Teo, Pengurus Korporat Kebangsaan F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., Datuk Kamal Harun dan atlet terjun negara, Pandalela.
Bagaimanapun, kenyataan yang disuarakan Ahmad Shabery itu bukan sasaran buat kontinjen negara pada temasya Sukan Olimpik kelak sebaliknya hanya ramalan mengenai peluang buat Malaysia membawa pulang pingat emas.
"Saya tidak cakap ia merupakan sasaran buat kontinjen negara tetapi saya bercakap mengenai jangkauan pingat emas yang mampu diraih pada Sukan Olimpik nanti berdasarkan beberapa faktor termasuklah prestasi semasa atlet.
"Namun, sasaran utama kita adalah untuk memenangi pingat emas pertama pada Sukan Olimpik," jelas Shabery.
Selain acara badminton, basikal trek dan terjun, memanah, menembak serta hoki juga turut tersenarai dalam Program Road to London 2012 yang membabitkan seramai 77 atlet secara keseluruhannya.
Sementara itu, Kamal berkata, 100PLUS menyumbang RM4 juta kepada MSN untuk tujuan promosi Program Road To London 2012.
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.