Kosmo Online - Sukan |
Posted: KBS intai empat pingat emasOleh HELMI TALKAH AHMAD SHABERY (dua dari kiri) hadir pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara MSN dengan 100PLUS dan Pelancaran Detik 500 Hari Program Road to London 2012 di Bukit Jalil semalam. KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengintai peluang untuk meraih empat pingat emas pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pada masa yang sama sasaran untuk memenangi pingat emas pertama negara tetap diteruskan. Menurut Ahmad Shabery, berdasarkan prestasi semasa yang dipamerkan atlet-atlet yang terpilih mengikuti Program Road to London 2012, tidak mustahil empat pingat emas mampu dijelmakan. Bukan sekadar 'omongan kosong' tetapi beliau melahirkan keyakinan itu berdasarkan beberapa faktor terutamanya kejayaan dan peningkatan yang dipamerkan barisan atlet negara dalam acara badminton, basikal trek dan terjun. "Saya berkata demikian ada rasionalnya yang tersendiri. Bagi acara badminton sahaja, saya menjangkakan dua pingat emas berada dalam jangkauan menerusi Datuk Lee Chong Wei (perseorangan lelaki) dan Koo Kien Keat/Tan Boon Heong (beregu lelaki). "Chong Wei telah meruntuhkan tembok psikologi yang sebelum ini menghalang dia selaku pemain No. 1 dunia untuk menewaskan musuh utamanya, Lin Dan (China) dengan bergelar juara pada Kejohanan Terbuka Seluruh England awal pagi tadi (awal pagi semalam). "Manakala Kien Keat/Boon Heong pula tewas pada aksi final dengan jurang mata yang sedikit kepada beregu No. 1 dunia. Ini menandakan bahawa kita masih berpeluang untuk memenangi pingat emas dalam acara beregu. "Begitu juga dengan basikal trek. Seperti kita sedia maklum, Malaysia memiliki Mohd. Azizulhasni Awang yang telah membuktikan bahawa dia merupakan jaguh No. 1 dunia dalam acara tersebut dan ia tidak boleh dipertikaikan lagi. "Pandelela pula ada potensi besar untuk memenangi pingat emas selepas kejayaannya memenangi perak pada Kejohanan Terjun Remaja Dunia dan Sukan Asia, di mana beliau berada satu tempat di belakang penerjun nombor satu dunia dari China," kata Ahmad Shabery. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara Majlis Sukan Negara (MSN) dengan 100Plus dan Pelancaran Detik 500 Hari Program Road to London 2012 di Bukit Jalil semalam. Turut hadir, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, Pengarah Urusan F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., James Teo, Pengurus Korporat Kebangsaan F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., Datuk Kamal Harun dan atlet terjun negara, Pandalela. Bagaimanapun, kenyataan yang disuarakan Ahmad Shabery itu bukan sasaran buat kontinjen negara pada temasya Sukan Olimpik kelak sebaliknya hanya ramalan mengenai peluang buat Malaysia membawa pulang pingat emas. "Saya tidak cakap ia merupakan sasaran buat kontinjen negara tetapi saya bercakap mengenai jangkauan pingat emas yang mampu diraih pada Sukan Olimpik nanti berdasarkan beberapa faktor termasuklah prestasi semasa atlet. "Namun, sasaran utama kita adalah untuk memenangi pingat emas pertama pada Sukan Olimpik," jelas Shabery. Selain acara badminton, basikal trek dan terjun, memanah, menembak serta hoki juga turut tersenarai dalam Program Road to London 2012 yang membabitkan seramai 77 atlet secara keseluruhannya. Sementara itu, Kamal berkata, 100PLUS menyumbang RM4 juta kepada MSN untuk tujuan promosi Program Road To London 2012. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Selangor buru bekalan selesaOleh WAN FAKHRUL BAKAR DEVAN (kiri) bakal menurunkan dua atau tiga pemain baru dalam kesebelasan Selangor pada aksi suku akhir pertama Piala FA menentang Johor di Stadium Shah Alam malam ini. SELANGOR berhajat untuk mencatat kemenangan besar ke atas pasukan Liga Premier, Johor pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam malam ini. Ia bagi membolehkan Selangor memiliki bekalan selesa pada aksi kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru pada Sabtu ini dan seterusnya mara ke separuh akhir bertemu sama ada Kelantan atau pun Felda United. Pengurus merangkap ketua jurulatih Selangor, K. Devan berkata, dia tetap akan menurunkan kesebelasan utama terkuat kecuali berkemungkinan menyelitkan beberapa pemain simpanan. "Memang bercadang untuk bawa masuk dua atau tiga pemain baru bagi memberi kesegaran dalam kesebelasan pasukan bagi menghadapi Johor. "Mungkin saya akan cuba Asraruddin Putra Omar, Fitri Shazwan Raduwan atau Rudie Ramli. "Ini kerana Fadzli Saari dan Khairul Anuar Baharom mengalami sedikit kecederaan manakala D. Surendran dan Bunyamin Umar masih belum pulih sepenuhnya," kata Devan ketika dihubungi Kosmo! semalam. Selangor yang mendapat bye pusingan pertama telah menewaskan Harimau Muda B 2-1 pada aksi pusingan kedua manakala Johor pula menundukkan Harimau Muda A 2-1. Jelas Devan, tiada alasan sebenarnya untuk Selangor gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri malam ini. "Kami tak pandang rendah kemampuan Johor tetapi di atas kertas, kita lebih baik berbanding pasukan lawan. "Saya harap para pemain dapat beraksi dengan baik supaya kita dapat mencatat kemenangan selesa dan fokus ke separuh akhir," tegas Devan. Sabtu lalu, jaringan Amri Yahyah dan Safiq Rahim membantu Selangor menundukkan Negeri Sembilan 2-1 pada aksi ketujuh Liga Super di Paroi. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Kelantan cari penawar dukaOleh YATIMIN ABDULLAH KARATHU (lima dari kanan) menyampaikan amanat kepada para pemain Kelantan pada sesi latihan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu semalam. KELANTAN tidak mempunyai pilihan kecuali menang ke atas Felda United pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini. Misi itu dilancarkan selepas Kelantan dikejutkan dengan leburnya rekod tanpa kalah sepanjang 540 minit (enam perlawanan) kepada Pahang dalam saingan Liga Super, Sabtu lalu, Kemenangan bukan sahaja diperlukan untuk membangkitkan semula moral pasukan tetapi apa yang lebih penting ialah bekalan jaringan yang selesa perlu dibawa untuk perlawanan timbal balik pada Jumaat ini. Meskipun aksi kedua akan berlangsung di Kota Bharu, ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu berkata, dia tidak akan mengambil mudah perlawanan malam ini. Menurutnya, kekalahan kepada Pahang tempoh hari perlu dijadikan pengajaran berguna buat pasukan itu untuk tampil lebih bersedia dalam perlawanan seterusnya. "Saya mahu pemain bangkit dengan semangat baru dan melupakan kekalahan kepada Pahang dan kembali fokus dalam saingan Piala FA malam esok (malam ini). Kita tiada pilihan selain mencatatkan kemenangan ke atas Felda United. "Kemenangan pada aksi pertama cukup penting buat kita dan saya mahu pemain mencari gol sebanyak mungkin sebagai bekalan selesa sebelum perlawanan kedua," katanya semalam. Tambahnya, kemenangan yang dilakar pada perlawanan malam ini dilihat akan memberikan kelebihan buat pasukannya untuk mara ke pusingan seterusnya. Bekas jurulatih Perak itu memberitahu, dia turut mengingatkan barisan pemain supaya tidak mengambil mudah dalam perlawanan tersebut. "Felda sebuah pasukan yang kuat, jadi kita kena berhati-hati dengan corak permaianan mereka. Mereka mempunyai ramai pemain yang berpengalaman dan kemenangan 2-0 keatas Perlis tempoh hari dilihat akan menyemarakkan lagi semangat mereka untuk bertemu kita. "Mahu tak mahu pemain kena bersedia dengan perlawanan ini. Meskipun saya kehilangan khidmat Zairol Fitree Ishak yang mengumpul dua kad kuning mungkin menjejaskan persiapan pasukan saya," ujarnya. Jelasnya, untuk perlawanan malam ini beliau sudah mengenalpasti kelemahan yang ada dalam pasukan selepas tewas kepada Pahang. "Saya akan memperbaiki kelemahan tersebut dan saya mahu pemain yang diturunkan memberikan komitmen sepenuhnya terhadap perlawanan tersebut," katanya. Sementara itu, ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badri Radzi berkata, beliau yakin rakan-rakan sepasukannya mampu bangkit dan melupakan kekalahan pada perlawanan lalu. "Untuk perlawanan malam esok (malam ini), saya serta rakan-rakan berjanji akan menggunakan setiap peluang yang dimiliki untuk menjaringkan gol bagi memastikan kita membawa bekalan selesa untuk perlawanan kedua nanti. "Saya mahu rakan-rakan melupakan kekalahan dengan Pahang sebaliknya memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap perlawanan malam esok (malam ini). Perlawanan ini cukup penting buat kita dalam mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak KAFA," ujarnya. Kelantan layak ke pusingan suku akhir selepas menewaskan Johor FC 1-0 pada aksi pusingan kedua dan sebelum itu membenam cabaran T-Team pada pusingan pertama. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan