Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Kayuhan emas Rizal Tisin

Posted:

Kayuhan emas Rizal Tisin

Kayuhan emas Rizal Tisin

Daripada AZIZUL FAHMI AHMAD ZABIDI
azizulfahmi@kosmo.com.my


RIZAL sumbang emas pertama Malaysia di Korat semalam.


KORAT, Thailand – Buat pertama kali, lagu Negaraku berkumandang di Velodrom Kompleks Sukan Korat semalam. Selepas tiga hari Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2011 berlangsung akhirnya pelumba elit negara, Mohd. Rizal Tisin berjaya meraih pingat emas pertama buat kem Malaysia menerusi acara kegemarannya, 1 kilometer ujian masa lelaki.

Lebih menarik, kejayaan tersebut menyaksikan Rizal kembali menggenggam pingat emas dalam acara yang sama selepas dia ditabalkan juara pada ACC 2008 di Nara, Jepun.

Pada edisi 2009 di Banjarmasin, Indonesia, Rizal gagal mempertahankannya selepas terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Bagaimanapun, pada ACC 2010 di Sharjah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Rizal tidak menyertai acara 1km ujian masa kerana baru pulih daripada kecederaan selepas terlibat dengan kemalangan.

Namun selepas dua tahun menanti, Rizal kembali menyerlah sebaik sahaja mengetahui dia muncul sebagai juara baru pada kejohanan yang telah memasuki edisi ke-31 itu.

"Syukur, kerana penantian saya selama ini sudah berakhir. Sudah lama saya mengimpikan kejayaan sebegini dan saya cukup gembira kerana sudah dapat melunaskan hajat saya," jelas Rizal ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat semalam.

Pada saingan semalam, Rizal mencatatkan masa 1 minit 04.953 saat diikuti pencabar utamanya yang juga pemegang rekod Asia dari China, Zhang Miao (1:05.949s) dan pelumba Korea Selatan, Han Jaeho (1:07.109s).

Jelas Rizal, sebelum perlumbaan bermula, dia yakin untuk sekurang-kurangnya membawa pulang pingat perak kerana menyedari Zhang Miao mampu menjadi pemusnah dalam misinya meraih emas.

"Ada beberapa sebab saya gembira dengan kejayaan hari ini (semalam). Pertamanya, saya sudah berjaya melunaskan dendam terhadap Zhang Miao kerana dia yang telah memecah rekod (Asia) saya dalam acara ini. Selain itu, dia juga merupakan juara bertahan.

"Keduanya, saya dapat merampas kembali pingat emas yang saya menangi di Nara, Jepun dalam acara ini (1km ujian masa lelaki). Semua ini cukup memberikan kepuasan yang tidak terhingga kepada saya," jelas pelumba kelahiran Klang, Selangor ini.

Sebagai rekod, Rizal yang membuat kemunculan sulung bersama skuad junior negara pada ACC 2002 di Bangkok, Thailand, telah mengumpul koleksi sembilan pingat ACC termasuk dua pingat yang dimenanginya di Korat.

Antara pencapaian terbaiknya ialah memenangi emas dalam acara keirin pada ACC 2006 di Kuala Lumpur manakala edisi 2010 menyaksikan Rizal membawa pulang emas (pecut berpasukan) dan perak (1km ujian masa).

"Alhamdulillah kerana penampilan saya dalam ACC tidak pernah menghampakan kecuali pada edisi 2007 dan 2010 apabila saya gagal meraih sebarang pingat. Apa pun, kejayaan hari ini (semalam) amat bermakna buat saya," katanya.

Jika diimbas kembali, Velodrom Kompleks Sukan Korat bukan asing buat Rizal kerana venue yang sama menjadi saksi dia membawa pulang dua pingat emas pada temasya Sukan SEA 2007.

Ketika itu, Rizal menjuarai acara 1km ujian masa dan pecut berpasukan.

"Mungkin sudah tuah saya apabila beraksi di Korat," jelas Rizal yang turut menyumbang pingat gangsa dalam acara berpasukan pada hari pembukaan ACC 2011, Rabu lalu.

Sementara itu, pelumba wanita, Fatehah Mustapa turut tidak menghampakan kem Malaysia apabila menyumbang pingat gangsa dalam acara 500m ujian masa.

Fatehah mencatat masa 37.016s manakala pemenang pingat emas dari Hong Kong, Lee Wai Sze (35.414s) dan pemenang pingat perak dari China, Guo Shuang (36.363s).

"Selepas kecewa gagal meraih pingat pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China, hari ini (semalam) saya sudah melupakan kekecewaan itu. Tak kisahlah apa warna pingat yang saya menangi tetapi ini sudah cukup baik buat saya. Saya harap kejayaan ini akan memberikan motivasi kepada saya," kata Fatehah.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Adiq pula dilanda demam

Posted:

Adiq pula dilanda demam

Adiq pula dilanda demam

Daripada AZIZUL FAHMI
AHMAD ZABIDI
azizulfahmi@kosmo.com.my


ADIQ dilaporkan mengalami demam dan bakal terlepas aksi dalam acara lebuh raya yang bermula Rabu depan.


KORAT, Thailand - Badai yang melanda kem Malaysia pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2011 berterusan. Selepas jaguh skuad lebuh raya negara, Anuar Manan terpaksa menarik diri gara-gara demam panas, terbaru seorang lagi pelumba elit, Mohd. Adiq Hussainie Othman pula dilaporkan mengalami nasib yang sama.

Adiq mengalami demam sehari selepas dia melakar sejarah apabila muncul sebagai pelumba pertama negara menyumbangkan pingat dalam acara perlumbaan mata lelaki, Khamis lalu.

Dia yang mewakili kelab benua Australia, Drapac Professional Cycling Team pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 dilihat muntah teruk selepas berjaya menyambar pingat gangsa dalam acara tersebut.

Masalah kesihatan yang dialami Adiq itu sekali gus menyebabkan dia terpaksa menarik diri pada saat-sat dalam acara omnium kelmarin.

Situasi tersebut terus menambahkan lagi derita kem Malaysia khususnya skuad lebuh raya yang akan memulakan misi mereka di Korat pada Rabu depan.

Ketika diminta mengulas perkhabaran terbaru yang melanda kem Malaysia itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd. Wahab mengakui, skuad lebuh raya negara kini terpaksa beralih arah kepada pelumba Le Tua Cycling Team (L2A), Ng Yong Li.

"Kalau Adiq tidak sempat sembuh menjelang acara lepas beramai-ramai lelaki elit yang dijadualkan berlangsung pada 19 Februari ini, kita terpaksa fikirkan pelan B.

"Apa yang saya nampak sekarang, kita mungkin menggunakan khidmat pelumba yang sudah ada di Korat iaitu Ng Yong Li. Cuma kita bimbang sama ada dia sempat recover kerana dia juga akan mengambil bahagian dalam acara ujian masa individu sehari sebelum itu.

"Setakat ini, inilah jalan penyelesaian yang kita boleh fikirkan. Apa pun, permasalahan ini memang tidak dijangka. Kita tidak mampu menolak ujian tuhan. Soal demam, siapapun tak mahu demam, tetapi inilah senario yang kita sedang hadapi sekarang," kata Abu Samah semalam.

Abu Samah menegaskan, beliau akan memantau rapi perkembangan tersebut selain berbincang dengan jurulatih kebangsaan dari Australia, Graham Seers.

Seers bersama dua pelumba negara, Suhardi Hassan dan Muhammad Rauf Nur Misbah serta seorang lagi jurulatih tempatan, Omar Saad baru tiba di Korat petang semalam.

"Saya harap masalah ini tidak akan berpanjangan. Saya akan arahkan Seers atau pegawai lain khususnya Omar agar memberi laporan tentang perkembangan pelumba lebuh raya kepada saya pada setiap hari," katanya.

Kelmarin, kem Malaysia dikejutkan dengan berita Anuar yang terpaksa menarik diri daripada menyertai acara lepas beramai-ramai pada ACC 2011 atas alasan demam panas.

PKBM bingkas mencari pengganti Anuar dengan memanggil semula pemenang pingat emas acara scratch ACC 2007, Mohd. Harrif Salleh yang sebelum ini dilapor kecewa dengan tindakan badan induk itu yang tidak menyenaraikan namanya ke Korat.

Bagaimanapun, selepas mendapat 'lampu hijau' daripada PKBM, Harrif yang juga pemenang tempat ketiga peringkat pertama LTdL 2011 di Langkawi, menolak pelawaan persatuan dengan alasan kurang bersedia bagi menghadapi ACC 2011.

Tidak seperti pelumba trek negara, skuad lebuh raya gagal menampilkan kayuhan mantap sejak ACC 2008 di Nara Osaka, Jepun; ACC 2009 di Banjarmasin, Indonesia dan ACC 2010 di Sharjah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Dilema olahraga negara

Posted:

Dilema olahraga negara

Dilema olahraga negara

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my


KEJOHANAN pada peringkat remaja perlu diperhebatkan bagi mencungkil lebih ramai bakat baru.- gambar hiasan


BILA direnungkan situasi terkini yang dihadapi sukan olahraga tanah air, ia boleh dianggap sebagai sangat membimbangkan. Mana tidaknya, sejak kebelakangan ini, tiada apa yang boleh dibanggakan, khususnya pada peringkat Asia.

Jika dibuat penilaian berdasarkan pencapaian atlet-atlet olaharaga negara, tidak ada apa pun sebenarnya yang mampu untuk dimegahkan.

Sebaliknya, hanya skrip sama yang berulang iaitu atlet-atlet olahraga negara gagal dalam misi mereka mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Tidak perlulah pergi jauh, lihat sahaja pada temasya Sukan Komanwel di India dan Sukan Asia 2010 di China yang lalu, tidak ada satu pun di kalangan mereka berjaya menyumbangkan pingat buat kontinjen Malaysia.

Seribu satu macam alasan diberikan ekoran daripada kegagalan tersebut dan antaranya atlet-atlet negara mendakwa mereka kurang persediaan kerana tidak didedahkan dengan kejohanan-kejohanan kompetitif di pentas antarabangsa.

Itu cerita lapuk yang tidak harus dijadikan alasan setiap kali meraih kegagalan.

Jika kejohanan peringkat tempatan kurang, macam mana nak beraksi di luar negara?

Pendedahan itu penting bermula di peringkat domestik dan selepas itu baru boleh 'tuntut' beraksi di luar negara.

Yang peliknya, bila ada kejohanan tempatan, kumpulan atlet elit tak mahu pula ambil serius nak bertanding.

Itu cerita atlet. Bagaimana pula dengan program-program pembangunan daripada peringkat akar umbi yang sepatutnya dijalankan secara berterusan?

Jawapannya mudah, baik Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) mahupun persatuan-persatuan negeri, mereka sebenarnya gagal dalam usaha mencungkil bakat-bakat baru untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Buktinya cukup jelas apabila atlet-atlet yang sama sahaja dilihat mengambil bahagian pada kejohanan-kejohanan di pentas antarabangsa.

Mana perginya atlet-atlet muda negara?

Diakui, memang ada atlet-atlet muda yang kini diserapkan ke skuad elit tetapi bilangannya cukup sedikit.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan apakah sebenarnya yang dilakukan KOAM dan persatuan-persatuan negeri sehingga gagal melahirkan bakat-bakat baru dalam sukan olahraga tanah air.

Andai mereka mengatakan bahawa tidak ramai atlet muda berminat untuk menceburkan diri secara serius dalam sukan olahraga, ternyata jawapan tersebut sekadar 'mahu melepaskan batuk di tangga sahaja'.

Sebenarnya, banyak juga kejohanan olahraga dianjurkan terutamanya di peringkat sekolah baik di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD), Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri (MSS) sehinggalah ke Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Bukankah daripada situ KOAM boleh mengesan bakat-bakat baru yang difikirkan layak untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Memang tidak semua daripada mereka minat untuk menceburkan diri secara serius tetapi bukankah perkara tersebut boleh dipupuk secara berperingkat-peringkat.

Lama kelamaan, mereka pasti akan berminat sekiranya diberi bimbingan serta ditunjukkan jalan bagaimana caranya untuk melakarkan kejayaan.

Namun, itu semua tidak berlaku kerana persatuan-persatuan negeri terutamanya gagal memainkan peranan mereka dengan berkesan.

Bagi mereka, kedudukan serta jawatan mereka dalam persatuan itu lebih penting dan perlu dijaga demi kepentingan peribadi masing-masing.

Begitupun, tidak semua berfikiran sebegitu cuma segelintir daripada mereka sahaja yang dilihat sebagai perosak terhadap pembangunan sukan olahraga tanah air. Bukan mahu membuat andaian secara membuta tuli tetapi percaya ataupun tidak itulah hakikat yang perlu ditelah oleh segelintir pihak yang menganggap ia merupakan satu tembok besar yang perlu dirobohkan demi kemajuan sukan olahraga negara.

Perkara itu diakui sendiri oleh bekas Timbalan Yang Dipertua Persatuan Olahraga Amatur Pahang (POAP), Mohd. Musa Noor Mohd.

Tidak mahu menyentuh mengenai hal-hal serta konflik dalaman yang berlaku di persatuan-persatuan negeri yang lain, Musa lebih senang berbicara mengenai program-program yang dilasanakan POAP.

Tanpa berselindung, beliau mendedahkan bahawa POAP sebenarnya telah gagal dalam usaha mereka melahirkan atlet-atlet baru di Pahang untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan.

Puncanya hanya satu. Ia gara-gara sikap Setiausaha Kehormat POAP, R. Annamalai yang dilihat lebih mementingkan kedudukan serta jawatannya daripada memikirkan mengenai pembangunan atlet-atlet olahraga di negeri Pahang.

Musa berkata, sejak dia menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Yang Dipertua pada tahun 2000, tidak ada satu pun program pembangunan daripada peringkat akar umbi yang dijalankan oleh POAP bagi mencungkil bakat-bakat baru di negeri itu.

"Jika tidak kerana adanya kejohanan-kejohanan di peringkat MSSD, MSS dan MSSM, POAP sebenarnya tidak menyumbangkan apa-apa pun terhadap program pembangunan sukan olahraga Pahang.

"Ini satu perkara yang perlu dipandang serius," kata Musa kepada Kosmo!, baru-baru ini.

Jelas Musa yang merupakan Pengarah Pusat Akreditasi Olahraga Antarabangsa (ATC), Annamalai yang telah memegang jawatan selaku Setiausaha Kehormat selama hampir 30 tahun sepatutnya peka dengan masalah tersebut tetapi itu tidak berlaku kerana beliau hanya mementingkan kedudukan serta jawatannya sahaja.

"Jadi... di manakah peranannya selaku Setiausaha Kehormat sehingga Pahang gagal melahirkan atlet-atlet baru?

"Saya percaya, beliau pastinya akan menyalahkan pengerusi-pengerusi jawatankuasa kecil yang dilantik kerana tidak membuat kerja masing-masing dengan baik.

"Namun, yang peliknya, pengerusi-pengerusi berkenaan masih di bawah kepimpinan Annamalai dan seharusnya beliaulah yang memastikan mereka melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik.

"Ini tidak, beliau mengharapkan pengerusi-pengerusi terbabit menghormati beliau sebagai bos. Jika tidak, mereka tidak akan dilantik lagi pada pemilihan akan datang. Itulah Annamalai kerana beliau sanggup buat apa sahaja demi kedudukannya itu," jelas Musa.

Tambah Musa, selaku Setiausaha Kehormat, Annamalai diberi hak untuk mengundi bagi memilih jawatankuasa tertinggi KOAM.

"Sebab itu, beliau sayang hendak melepaskan jawatannya itu kerana ia menjadi platform untuk dirinya mengecapi segala apa yang dihajati.

"Sekiranya tidak ditunaikan, individu-individu yang terbabit pastinya tidak akan mendapat undi daripada Annamalai," tambahnya.

Justeru, Musa mendesak agar Annamalai meletak jawatannya itu bagi diberikan kepada orang baru yang dilihat lebih layak untuk melaksanakan tanggungjawab bagi melahirkan lebih ramai atlet-atlet olahraga baru di negeri Pahang.

"Saya tidak mahu pun jawatan itu tetapi sebagai anak jati negeri Pahang yang terlalu cinta akan sukan olahraga, saya mendesak agar Annamalai meletak jawatan.

"Bagilah peluang kepada muka-muka baru yang lebih layak untuk menduduki jawatan tersebut," ujar Musa.

Itu senario serta konflik yang berlaku dalam POAP dan tidak mustahil ia juga turut berlaku terhadap persatuan-persatuan olahraga negeri yang lain.

Cerita serta skripnya pasti hampir sama yang mana masing-masing mementingkan kedudukan mereka dalam sesebuah persatuan itu.

Siapa yang terasa cili, dialah yang terasa pedasnya. Sedarlah, sukan olahraga tanah air kini dalam keadaan yang kritikal baik daripada segi prestasi atlet mahupun program-program pembangunan yang dilihat semakin sepi. Ia jelas jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan sukan-sukan lain.

Tidak bolehkah diketepikan kepentingan peribadi masing-masing demi melihat sukan olahraga negara kembali bersinar dan sekali gus menggegar pentas antarabangsa.

Tepuk dada tanya selera.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan