Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Malang Harimau

Posted: 04 Aug 2011 10:41 AM PDT

KEM latihan pusat Harimau Malaya yang bermula kelmarin sehingga 15 Ogos ini mungkin berlangsung tanpa membabitkan sebarang perlawanan antarabangsa berstatus A yang dapat membantu membaiki ranking di peringkat dunia.

Terbaru aksi kompetitif menentang Indonesia yang dijadual berlangsung di negara ini pada 14 Ogos dibatalkan ketika Garuda dilihat bersungguh-sungguh mahu menguji Harimau Malaya sebagai persiapan hadapi saingan peringkat kumpulan kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Asia bulan depan. "Perlawanan terbabit sepatutnya berlangsung 14 Ogos ini sudah dibatalkan. Saya diberitahu ketua jurulatih negara (Datuk K Rajagobal). Saya sendiri tak tahu sebab sebenarnya," kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad ketika dihubungi petang semalam.


Perkembangan terbaru itu tampak merumitkan lagi keadaan buat anak-anak buah Rajagobal selepas Oman dilaporkan sudah menangguhkan perlawanan persahabatan yang dijadualkan berlangsung pada Rabu depan sehingga memaksa Selangor dijadikan sebagai ganti pada aksi di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

"Sehingga kini hanya perlawanan menentang Selangor disahkan akan berlangsung. Tiada pasukan lain buat masa sekarang," katanya ketika ditanya mengenai perancangan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan lain.


Mengikut perancangan awal, pemain yang terbabit dalam kem latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya itu akan mengharungi dua perlawanan persahabatan antarabangsa terutamanya dalam mencari kemenangan moral selepas disingkirkan Singapura pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 penghujung bulan lalu.


Sementara itu akhbar Kompas.com semalam turut melaporkan koordinator skuad kebangsaan Indonesia, Bob Hippy mengesahkan pembatalan itu dari pihak Malaysia dan mengatakan perancangan awal perlawanan antara dua negara jiran itu berlangsung pada 10 Ogos di Stadium Gelora Bung Karno.

Namun perlawanan itu terpaksa dibatalkan dan kemudiannya aksi antara juara dan naib juara Piala AFF 2010 itu ditetapkan 14 Ogos dengan Indonesia bertandang ke Malaysia tetapi ia juga terpaksa dibatalkan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

‘Hanya salah faham’

Posted: 04 Aug 2011 08:19 AM PDT

PERSEKUTUAN Hoki Malaysia (PHM) menegaskan, isu membabitkan dua pemain hoki negara, Mohd Sukri Abdul Mutalib serta Faizal Saari yang dikatakan terpaksa pulang semula ke Malaysia kerana didapati bersalah menggunakan visa pelancong ketika beraksi bersama kelab Southern Hotshots di Australia, hanyalah salah faham saja.

Setiausaha PHM, Maninderjit Singh berkata, kedua-dua pemain terbabit sebenarnya tidak dipaksa pulang ke Malaysia oleh pihak imigresen Australia kerana kesalahan memasuki negara itu menggunakan visa pelancong tapi Mohd Sukri serta Faizal sememangnya diminta pulang oleh PHM.


Jelasnya, kedua-dua pemain itu yang pulang semalam sebenarnya tidak perlu mendapatkan permit kerja kerana Mohd Sukri dan Faizal bukanlah pemain yang menerima gaji tetap atau terikat kontrak bersama Southern Hotshots, sebaliknya mereka berdua hanya menerima elaun dari kelab itu.

"Benar, Mohd Sukri dan Faizal ditahan oleh pihak imigresen Australia dan ketika disoal, kemungkinan besar mereka tidak menjawab soalan dengan betul sehingga menyebabkan pihak imigresen meminta pihak kelab memohon visa untuk kegiatan sukan. Mereka berdua tidak dihalau, tapi dibenarkan masuk ke Australia selepas itu.


"Berdasarkan pengalaman kami sebelum ini, sebenarnya permohonan visa berkenaan tidak perlu kerana seperti saya katakan tadi, mereka berdua hanya diberi elaun dan bukannya menerima gaji umpama orang bekerja tetap.


"Selepas menerima maklumat dari pihak kelab, PHM mengambil keputusan untuk meminta kedua-dua pemain ini pulang semula ke Malaysia atas beberapa sebab," katanya.

Pertamanya, menurut Maninderjit, permohonan visa untuk kegiatan sukan seperti yang diminta pihak imigresen memakan masa selama dua minggu untuk siap dan ia satu tempoh yang lama.


"Kedua, Southern Hotshots yang akan turun beraksi perlawanan pertama pusingan kalah mati minggu ini belum pasti lagi dapat melangkah ke pusingan seterusnya. Jadi, kedudukan dua pemain ini untuk beraksi juga belum pasti lagi kerana proses mendapatkan visa untuk kegiatan sukan memakan masa.

"Ketiga, oleh kerana skuad negara bakal mengadakan siri perlawanan persahabatan dengan Jepun bermula Ahad ini, jadi lebih baik kami panggil mereka berdua pulang membantu skuad negara," katanya.


Justeru, Maninderjit berkata, isu berkenaan dianggap sudah selesai kerana ia hanya membabitkan isu salah faham saja.


Semalam Arena Metro melaporkan, hasrat Mohd Sukri dan Faizal untuk meneruskan khidmat bersama Southern Hotshots bagi menghadapi pusingan akhir Liga Premier Australia tidak kesampaian apabila kedua-duanya terpaksa kembali semula ke Malaysia berikutan masalah visa.


Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong mengesahkan pihaknya hanya bertanggungjawab dalam soal memberikan elaun harian kepada kedua-dua pemain terbabit sepanjang beraksi bersama Southern Hotshots.


"Saya ingin tegaskan di sini bahawa MSN memang tidak terbabit dengan sebarang urusan lain kecuali membayar elaun kepada kedua-dua pemain ini selepas menerima surat permohonan daripada PHM," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan