Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Saya mahu Rexy kekal’

Posted: 06 Sep 2011 09:44 AM PDT

"SAYA akan pertahankan Rexy (Mainaky) supaya beliau terus kekal bersama BAM," kata Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh (gambar) mengenai status jurulatih beregu dari Indonesia itu.

Biarpun kenyataan Kenny itu meyakinkan, namun nasib Rexy boleh diibaratkan 'telur di hujung tanduk' selepas beregu utama negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong secara terbuka menyuarakan hasrat untuk berlatih di bawah bimbingan Pang Cheh Chang yang kini melatih beregu wanita.


"Buat masa ini tiada perancangan untuk kita menamatkan khidmat Rexy," kata Kenny. Tapi sampai bilakah frasa 'buat masa ini' akan bertahan? Apakah selama sehari sehingga mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) diadakan esok? Jika benar mahu mengekalkannya, Rexy yang kini hanya memiliki satu setengah gandingan untuk dilatih iaitu Vountus Indra Mawan-Mohd Lutfi Zaim Abdul Khalid dan Hoon Thien How, perlu diberi tambahan pemain baru, tetapi Kenny tidak dapat mengesahkannya.

"Kita akan bermesyuarat dulu dalam C&T Khamis ini sebelum mengetahui sama ada perlu atau tidak Rexy diberikan pemain baru.


"Mungkin juga kita akan ubah peranannya untuk program latihan lain.


"Apapun, saya ingin tegaskan Kien Keat-Boon Heong masih berada di bawah Rexy meskipun Rexy ada menyuarakan kepada saya beliau sedia melepaskan gandingan itu," kata Kenny.

Begitupun pagi semalam, Kien Keat-Boon Heong langsung tidak berlatih bersama Rexy, sebaliknya menyertai dua gandingan KLRC, Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari dan Gan Teik Chai-Tan Bin Shen bersama bekas ketua jurulatih BAM, Razif Sidek ketika mereka menumpang latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara. Begitu juga dengan Thien How.


Rexy yang ditemui bagaimanapun berkata beliau hanya mahu menunggu keputusan atau cadangan yang akan dikemukakan pihak pengurusan dalam mesyuarat C&T esok.

"Saya nak lihat dulu apa yang jawatankuasa putuskan. Saya nak tahu apa permintaan mereka. Jika bersyarat, saya juga akan mengemukakan syarat saya," kata Rexy yang menganggap tindakan Kien Keat-Boon Heong itu didalangi pihak tertentu.


"Jika BAM menerima permintaan saya jelaslah mereka ikhlas, tapi jika tidak, pasti ada orang sudah menentukan kedudukan saya," katanya.


Ditanya sama ada akan meminta pemain tertentu untuk dilatih, Rexy berkata beliau tidak akan menamakan mana-mana pemain, tetapi akan bertanya kepada BAM mengapa beliau perlu melatih pemain yang diberikan kepadanya itu.


Ketiadaan Vountus-Lutfi yang menyertai kejohanan GP Emas Terbuka Taiwan minggu ini, menyaksikan Rexy berseorangan di satu sudut di Stadium Juara, tanpa pemain untuk dilatih.

Perlu bukti kemampuan

Posted: 06 Sep 2011 09:38 AM PDT

AKSI persahabatan menentang kelab Iraq, Al-Arbil malam esok menjadi medan terakhir buat pemain Olimpik negara membuktikan kebolehan dan kemampuan mereka kepada jurulatih Ong Kim Swee bagi merebut 21 tempat ke Jepun untuk mengharungi perlawanan pembukaan Kumpulan C, pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik 2012 Zon Asia.

Sejumlah 22 pemain kini giat menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya dengan tiga lagi pemain Olimpik negara beraksi bersama kelab Slovakia, FC Vion iaitu Wan Zack Haikal Wan Noor, Irfan Fazail dan Mohd Fadhli Shas.


Pengendali terbabit yang sebelum ini membimbing skuad Olimpik negara menyingkirkan Pakistan dan Lubnan menjelaskan kesempatan menentang kelab yang layak beraksi pada suku akhir Piala AFC itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan memberikan peluang kepada semua pemain beraksi pada perlawanan yang dijadualkan berlangsung di padang Wisma FAM itu.

"Keputusan perlawanan terbabit tidak penting dan menjadi ukuran kerana prestasi pemain adalah lebih penting apabila mengharungi aksi kompetitif seperti ini (peringkat kumpulan kelayakan Olimpik 2012). "Saya akan memberi peluang kepada semua pemain," katanya semalam.


Bayangan kesebelasan utama skuad Olimpik negara juga mungkin hanya akan diketahui pada aksi persahabatan menentang skuad Olimpik Oman pada 15 September ini dengan Kim Swee menyatakan beliau akan menggunakan sekurang-kurangnya 15 pemain yang juga persediaan terakhir sebelum bertandang ke Jepun. "Setiap kali pemain turun beraksi, prestasi mereka perlu ditingkatkan dan ia diharapkan dapat mencapai tahap maksimum apabila beraksi pada perlawanan sebenar di Jepun nanti," katanya.


Skuad Olimpik negara dijadualkan menentang Jepun di Stadium Tosu pada 21 September ini manakala satu lagi aksi Kumpulan C menemukan Syria dan Bahrain dengan hanya juara kumpulan layak secara automatik ke temasya Olimpik London yang berlangsung pada pertengahan tahun depan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen