Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


‘England bernasib baik’

Posted:

'England bernasib baik'

'England bernasib baik'

LONDON – Jurulatih England, Fabio Capello mengakui skuad kendaliannya hanya bernasib baik selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Wales dalam aksi Kelayakan Euro 2012 kelmarin.

Malah, Capello berkata, beraksi di hadapan penyokong sendiri iaitu di Stadium Wembely turut memberi tekanan hebat ke atas barisan pemainnya.

Mujur Ashley Young meledak gol tunggal bagi membantu England mencatat kemenangan pertama dalam lima perlawanan di Wembley, sekali gus menyaksikan skuad Three Lions itu hanya memerlukan satu mata lagi untuk layak ke pusingan akhir Euro 2012.

Namun, Capello mengakui England bernasib baik selepas penyerang Wales, Robert Earnshaw terlepas peluang menyamakan kedudukan.

"Kami bernasib baik. Kami tidak bermain dengan baik, gagal membuat hantaran dan merampas bola dengan baik.

"Kadangkala kami bergantung kepada serangan balas, namun ia tidak cukup pantas. Kami bermula dengan hambar dan tiada langsung gerakan menarik.

"Saya rasa kami mungkin kurang keyakinan beraksi di sini. Ada pemain yang boleh mengawal bola, gagal melakukannya. Tiada gerakan langsung, ini yang kami gagal cipta.

"Namun, saya tetap gembira dengan keputusan ini dan kadangkala itulah perkara yang lebih penting," kata Capello.

Capello turut mengakui England perlu memperbaiki prestasi sekiranya layak ke pusingan akhir Euro 2012 pada musim panas depan di Poland dan Ukraine.

Dalam pada itu, Capello memuji Young setelah pemain sayap Manchester United itu meledak gol ketiga dalam lima penampilannya bersama England, sekali gus mendahului Kumpulan G.

"Ashley seorang pemain yang bagus. Dia mula bagus ketika di bawah bimbingan saya. Saya telah mengenalinya sejak tiga atau empat tahun lalu.

"Dia seorang pemain yang penting bagi kami kerana pergerakannya sangat pantas dan mengelirukan. Dia seorang pemain yang bagus secara teknikalnya," kata Capello. – Agensi

Kelantan tak rela lepas gelaran

Posted:

Kelantan tak rela lepas gelaran

Kelantan tak rela lepas gelaran

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my


NORSHAHRUL berjaya meledak dua gol pada aksi menentang Sarawak di Stadium Sarawak, Kuching kelmarin.


KELANTAN membuktikan mereka tidak sanggup untuk melihat Piala Malaysia yang dirangkul musim lalu terlepas ke tangan pasukan lain apabila berjaya menumbangkan Sarawak 2-0 di Stadium Sarawak, Kuching dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C malam kelmarin.

Dua jaringan yang dihasilkan oleh Norshahrul Idlan Talaha dan S. Chanturu sudah cukup untuk meletakkan pasukan bimbingan Datuk M. Karathu itu menerajui Kumpulan C selain merupakan pasukan pilihan untuk mara ke peringkat suku akhir.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim berkata, kemenangan ke atas Sarawak amat penting buat mereka kerana ia akan bertindak sebagai langkah awal mencari prestasi sebenar selepas agak lama 'bercuti' daripada sebarang pertandingan kompetitif.

Bagaimanapun, katanya, kemenangan tersebut bukan bererti pemain mereka boleh mendabik dada sebaliknya perlu menyedari bahawa kekuatan pasukan lain juga agak seimbang termasuk Johor FC dan Felda United.

"Ia permulaan yang baik dan sudah tentu kejayaan tersebut memberi perangsang kepada kita untuk mencipta lebih banyak kejayaan. Namun, saingan baru bermula, perjalanan masih jauh.

"Diletakkan sebagai pasukan pilihan tidak seharusnya membuatkan kita berasa selesa, masih terlalu awal untuk melabelkan pasukan mana yang akan layak dan cabaran daripada dua lagi pasukan juga pasti sengit," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, fokus The Red Warriors kini adalah untuk memenangi lebih banyak perlawanan dan mengumpul seberapa banyak mata bagi menjamin tiket mereka untuk layak ke peringkat suku akhir.

Jelasnya, beliau berpuas hati dengan aksi pemainnya ketika berdepan Sarawak malam kelmarin namun, percaya masih terdapat banyak ruang yang boleh diperbaiki untuk memantapkan lagi pasukannya.

"Memang benar kita beraksi di bawah keupayaan sebenar tetapi bagi saya situasi tersebut adalah biasa. Ini adalah perlawanan pertama selepas tempoh rehat yang panjang, kita bermain di tempat lawan dan berjaya meraih kemenangan. Ia satu petanda yang baik.

"Meskipun melakar kejayaan tetapi beberapa kelemahan perlu diatasi segera untuk kita menyiapkan satu pasukan yang kuat menentang Johor FC, Sabtu ini, semua pemain perlu fokus untuk itu," ujarnya.

Dalam pada itu, Azman turut memuji persembahan yang dipamerkan oleh Shahrizan yang disifatkannya sebagai mampu menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan oleh Khairul Fahmi Che Mat.

"Dia bermain dengan baik dan kita tahu dia mampu memberikan yang terbaik setiap kali beraksi. Saya harap dia mampu meneruskan momentum cemerlangnya dalam perlawanan selepas ini," jelasnya.

Terengganu enggan dabik dada

Posted:

Terengganu enggan dabik dada

Terengganu enggan dabik dada

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my

TERENGGANU tetap merendah diri meskipun telah mencatat kemenangan besar 3-0 ke atas Sime Darby pada aksi pembukaan Kumpulan B kempen Piala Malaysia 2011 malam kelmarin.

Jurulatih, Irfan Bakti mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki kesebelasan utamanya dalam misi menamatkan penantian 10 tahun untuk menjulang piala berprestij itu.

Pada aksi di Stadium Selayang kelmarin, skuad Penyu memperoleh tiga gol masing-masing menerusi Joseph Kalang Tie, Reshafiq Alwi dan Abdul Manaf Mamat (gambar) sekali gus mengungguli kedudukan Kumpulan B.

"Apa yang membuatkan saya kagum dengan pasukan ini adalah sikap pemain-pemain yang tidak memandang rendah kemampuan lawan. Mereka beraksi bersungguh-sungguh dan memberi fokus penuh sepanjang 90 minit permainan.

"Sikap seperti inilah yang sentiasa saya tuntut daripada para pemain dan berharap mereka dapat mengekalkan momentum ini sehingga ke penghujung saingan," kata Irfan kepada Kosmo! semalam.

Namun, jurulatih kelahiran Kelantan itu secara terbuka menegur beberapa kelemahan yang dikenalpasti terutamanya di bahagian tengah.

Katanya, para pemain yang mengisi posisi tengah sepatutnya turut membantu bahagian pertahanan bagi menutup ruang kepada pemain lawan.

"Saya memuji Joseph dan Reshafiq kerana mampu menjaringkan gol dan begitu juga dengan bahagian pertahanan. Apa yang penting, kami perlu bermain sebagai satu pasukan," jelasnya.

Mengulas mengenai kemenangan besar itu, Irfan mengakui memang ramai sudah menjangkakan pasukan dari Pantai Timur itu akan memenangi perlawanan di Selayang kelmarin.

Malah katanya, pengalaman beberapa pemain yang beraksi dalam skuad kebangsaan telah memberi kelebihan kepadanya untuk mengatur strategi.

"Sime Darby mungkin baru dalam saingan Piala Malaysia, namun mereka juga memiliki pemain yang tidak kurang hebatnya.

"Apa yang saya lihat, kelebihan Terengganu mungkin pada keserasian dan kesimbangan di setiap posisi," katanya.

"Saya berharap mereka kekalkan rentak cemerlang seperti ini sekali gus merealisasikan impian melangkah ke peringkat yang lebih jauh."

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan