Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Tutup mulut Annuar

Posted: 04 Apr 2012 10:12 AM PDT

"FAM sudah menetapkan saya tidak boleh membuat kenyataan selain mendapat kebenaran bertulis daripada Kongres FAM.

"Kalau saya nak bercakap berkaitan hal-hal FAM, saya kena tulis surat untuk mendapat kebenaran kongres yang bermesyuarat dua-tiga kali setahun." Itu reaksi balas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa ketika diminta mengulas pertanyaan pemberita sejurus didapati bersalah oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk bola sepak tanah air itu atas dua pertuduhan.


Annuar yang tiba di Wisma FAM jam 2.45 petang untuk menghadiri perbicaraan yang dipengerusikan oleh Datuk Taufek Abdul Razak membawa bersama dua saksi, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Super League (MSL), Stuart Ramalingam, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan juga Ahli Majlis FAM, Rosmadi Ismail dan seorang peguam yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamaruddin Abdullah.

Selepas mengetahui dirinya didapati bersalah Annuar yang juga Presiden Kafa, terpaksa bergegas ke lapangan terbang untuk pulang ke Kota Bharu tanpa menunggu apakah bentuk hukuman yang dijatuhkan kepadanya.


Beliau seperti sudah tahu hukuman yang sudah diputuskan.


Annuar yang dipilih sebagai Timbalan Presiden FAM dua tahun lalu bagaimanapun sempat memberikan ucapan menerusi pembesar suara untuk hampir 300 penyokong setianya yang setia menunggu di luar perkarangan Wisma FAM.

"Mengenai keputusan biarlah pengerusi Jawatankuasa Tatatertib yang umumkan kerana saya tidak boleh tunggu kerana terpaksa pergi ke airport (lapangan terbang). "Walaupun keputusan (bersalah atau tidak bersalah) sudah diberi kepada saya tapi keputusan hukuman saya tidak sempat tunggu.


"Terima kasih kepada pihak media, terima kasih kepada penyokong yang datang memberi sokongan. "Terima kasih kerana tidak melanggar peraturan dan tidak melakukan perkara yang tidak diingini," katanya yang turut ditemani ahli keluarganya.

Annuar dijatuhkan hukuman penggantungan dua tahun enam bulan atas dua pertuduhan kerana mengkritik prestasi skuad kebangsaan secara terbuka pada satu majlis anjuran MSL di Shah Alam, 13 Mac lalu.


Hukuman itu berkuat kuasa serta-merta semalam dan beliau tidak dibenarkan membuat rayuan.




Aduan Sekretariat

Posted: 04 Apr 2012 09:52 AM PDT

PENGERUSI Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Taufek Abdul Razak mengesahkan Sekretariat FAM membuat laporan berhubung kesalahan Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa untuk dibicarakan oleh jawatankuasa itu.

Bagaimanapun Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang bertindak menerajui sekretariat itu tidak hadir pada perbicaraan yang berlangsung selama tujuh jam di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


"Laporan kes ini dibuat oleh Datuk Azzuddin dan Jawatankuasa Tatatertib tidak ada kena mengena dengan laporan dan pertuduhan yang dibuat, kami hanya membicarakan kes ini saja," jelas Taufek ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu semalam.

Bagaimanapun, pihak tertuduh, Annuar hadir pada perbicaraan itu biarpun sudah menjawab surat pertuduhan kepada Jawatankuasa Tatatertib sebelum ini.


Sementara itu suasana sepanjang mesyuarat itu dihangatkan dengan kehadiran penyokong Kelantan dan Ultras Malaya seramai hampir 300 orang di perkarangan Wisma FAM sebagai tanda sokongan kepada Annuar dan bantahan kepada FAM berhubung isu terbabit.


Mereka yang berkumpul sejak jam 1 tengah hari bersorak dan menyanyi mengecam FAM serta Azzudin sambil dikawal ketat pihak Polis.

Tiada kekecohan berlaku apabila semua penyokong kemudian beredar kira-kira jam 7 malam selepas Annuar selesai perbicaraan.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan