Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Terpulang pada FAM

Posted: 09 Apr 2012 09:54 AM PDT

"KALAU tak setuju, ia boleh diubah, terpulang kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bawa ke Mesyuarat Agung, ubah peraturan itu," kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengenai Artikel 88 Statut FAM.

Beliau berkata, artikel itu memang jelas menyatakan ahli FAM tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan membabitkan bola sepak di negara ini, namun sekiranya ada pihak tidak bersetuju dengan perkara itu, ia boleh diubah dengan meminta persetujuan semua pihak dalam mesyuarat persatuan.


"Ia seperti seorang penulis sebuah akhbar yang tidak boleh mengkritik agensinya dalam akhbar atau media lain, kerana ia bertentangan dengan peraturan syarikat. Begitu juga dengan persatuan, organisasi agensi atau kementerian.

"Saya sendiri tidak senang kalau pegawai mengkritik saya di luar, (tetapi) dia boleh mengkritik saya di dalam (kementerian) kerana kita ada mesyuarat dan perjumpaan yang sepatutnya kita dapat selesaikan secara dalaman.


"Bukannya pegawai saya pergi ke akhbar atau kementerian lain mengatakan kementerian tak guna, tak betul dan sebagainya, sedangkan kita ada ruang untuk selesaikan secara dalaman," katanya pada sidang media di pejabatnya, di Putrajaya, semalam.


Ahmad Shabery berkata, penggantungan dua tahun enam bulan ke atas Tan Sri Annuar Musa kerana mengkritik pasukan kebangsaan secara terbuka tidak boleh dianggap sebagai satu kemelut dalam persatuan itu.

Ini kerana, katanya tindakan itu adalah tertakluk kepada peraturan persatuan dan ia sebahagian daripada permainan itu.


"Dalam FAM, ada peraturan yang memberi kuasa kepada jawatankuasa disiplin membuat keputusan berdasarkan apa dilihat dan Tan Sri Annuar adalah sebahagian daripada anggota persatuan.

"Saya faham Tan Sri Annuar seorang yang penting dan banyak berjasa terutama membantu Kelantan, ramai tak puas hati dan berasa kehilangan tapi ini sebahagian daripada permainan.


"Kalau mahu mengubah terserah kepada FAM untuk menukar corak permainannya dan saya tak anggap ini sebagai satu kemelut atau krisis," katanya.




Misi tebus hampa

Posted: 09 Apr 2012 09:48 AM PDT

AHMAD Abdul Kadir ingin melupakan insiden malang musim lalu dan menebus kesilapan apabila kembali ke Terengganu bagi menghadapi Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas, hujung minggu ini.

Pelumba kelahiran Sarawak itu mempunyai memori pahit di litar Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Terengganu apabila terpaksa menarik diri daripada perlumbaan kategori CP115 selepas dua pusingan berikutan kemalangan. Berbekal semangat berkobar-kobar, Ahmad berharap meneruskan rekod cemerlang apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua pada musim 2010. Tambahan lagi, dia cukup yakin Apido Yamaha Boon Kui Racing berada dalam keadaan terbaik dari segi persiapan jentera dan pengurusan apabila menamatkan pusingan pembuka Cub Prix di Batu Kawan di tempat ketiga awal bulan ini.


"Segala-galanya tidak menjadi di Kuala Terengganu pada musim lalu. Saya bermula di barisan ketiga dan terpaksa bekerja keras pada permulaan perlumbaan namun sedihnya, saya mengalami kemalangan selepas dua pusingan dan tidak dapat meneruskan perlumbaan (DNF). Nasib tidak menyebelahi saya dan ia mengecewakan," kata Ahmad, 22.

"Oleh itu saya bercadang memberi aksi terbaik dan menebus kekecewaan di atas litar sepanjang 932 meter ini. Berdasarkan prestasi di Batu Kawan, kami mampu merebut podium kerana jentera Yamaha kami berdaya saing dan saya juga memahami litar. Apa yang diperlukan adalah mendapatkan pelarasan terbaik ketika keluar untuk sesi latihan Jumaat ini." Dalam pada itu, Ahmad juga ingin merampas kedudukan pendahulu senarai keseluruhan CP115. Pada masa ini Ahmad berada di tangga ketiga dengan 16 mata manakala Mohd Iskandar Raduan (Petronas Syntium Moto Yamaha AHM) mendahului carta dengan 25 mata, diikuti Mohd Azhar Abdul Jalil (Motul Yamaha YY Pang Racing) kedua, 20 mata.


"Ini tahun ketiga saya beraksi dalam kategori Novis/CP115, oleh itu sudah semestinya saya meletakkan sasaran untuk muncul juara. Pada masa sama, saya juga perlu mencongak strategi tepat. Menguasai kedudukan dari peringkat awal ataupun mengekalkan jurang perbezaan kecil akan mencerahkan peluang merebut kejuaraan. Dengan segala kelebihan yang ada, mudah-mudahan sekali lagi kami dapat melalui minggu perlumbaan ini dengan cemerlang," kata Ahmad yang memulakan kariernya pada 2007.


Maklumat lanjut, hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau lawati laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas, www.malaysiancubprix.com website www.malaysiancubprix.com.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan