TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa yang digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama dua tahun enam bulan, menyifatkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad bagaikan mendahului exco FAM apabila mengeluarkan kenyataan bahawa FAM tidak panik selepas ranking skuad bola sepak kebangsaan berada di tahap terburuk tahun ini.
Annuar berkata, Azzuddin sepatutnya tidak mendahului exco FAM kerana Setiausaha Agung hanya membuat kenyataan selepas keputusan dibuat exco badan itu.
Katanya, selain tindakan mendahului exco FAM, kenyataan Azzuddin juga lebih bersifat peribadi dan bukan mewakili badan induk bola sepak negara itu.
"Sepatutnya Setiausaha Agung FAM mengeluarkan sesuatu kenyataan selepas diputuskan exco FAM. Kita akui memang Presiden dan Setiausaha Agung FAM dibenarkan membuat kenyataan namun perkara itu mestilah diputuskan exco bukannya melalui pendapat peribadi," katanya di Ketereh, semalam.
Semalam, akhbar melaporkan, Azzudin dipetik berkata, FAM tidak panik selepas ranking skuad kebangsaan berada di tahap terburuk pada tahun ini.
Katanya, ranking yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) adalah suatu yang sangat teknikal daripada segi perkiraan dan tidak ketara berbanding pada 2007, sekali gus menggambarkan betapa isu berkenaan dipandang remeh.
Menurut Annuar, kedudukan ranking skuad kebangsaan yang berada di tangga 156 perlu dipandang serius kerana sukan bola sepak menjadi perhatian seluruh negara.
"Melalui ranking kita dapat mengukur kemampuan pasukan kita malah dengan kedudukan dimiliki sekarang sudah cukup menjelaskan tahap kekuatan pasukan kita," katanya.
Ditanya mengenai kedudukannya, Annuar menegaskan, beliau akan membuat rayuan sehingga ke peringkat tertinggi bagi menguji sistem dan peraturan yang ditetapkan FAM.
Katanya, rayuan itu bukan untuk mengurangkan tempoh hukuman yang dihadapinya.
"Saya bukan mencabar FAM tapi tindakan ini untuk mencari titik pertemuan yang boleh membawa badan induk bola sepak negara ke arah lebih baik," katanya.
Dalam perkembangan lain, Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akur dengan tindakan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM memotong 14 mata diperoleh skuad Piala Presiden negeri itu hasil empat kemenangan dan dua kali seri jika benar ada kesalahan yang dilakukan.
Bagaimanapun, Annuar belum menerima laporan terperinci berhubung perkara itu sebaliknya hanya mengetahuinya daripada Pengurus Pasukan Piala Presiden Kelantan, Mohamad Yusri Ismail.
"Mungkin berlaku salah salah faham pihak pengurusan pasukan mengenai syarat yang dikenakan dan saya akan meminta pihak pengurusan meneliti perkara ini.
"Kita terima keputusan dibuat FAM namun terkilan mengapa selepas tujuh perlawanan baru isu ini dibangkitkan dan ia merugikan pasukan serta boleh membunuh semangat pemain dan pegawai," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan