Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


'Tak patut berlaku dalam zaman moden'

Posted: 06 Jul 2012 05:22 PM PDT

Kita semua tak tahu kenapa FAM sanggup bersikap sebegitu: Kay Kim

"Sekurang-kurangnya buatlah bantahan dahulu. Tak salah kita minta lakukan siasatan jika kita mengesyaki berlaku penipuan umur oleh pasukan Myanmar. "Tindakan itu yang patut dilakukan oleh orang terpelajar. Hanya orang jahil saja yang tak nak buat bantahan." kata pengkritik sukan terkemuka negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim ketika diminta mengulas tindakan pelik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kelmarin.
FAM yang diberi masa 48 jam, akhirnya enggan membuat bantahan rasmi kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung tindakan Myanmar menggunakan beberapa pemain lebih umur pada Kelayakan Piala Asia B-22 2013 di Yangon, baru-baru ini atas alasan, tiada bukti kukuh.

"Kita semua tak tahu kenapa FAM sanggup bersikap sebegitu. Hantar sajalah bantahan, biar AFC siasat terlebih dahulu. Ini bantah pun tidak, macam mana nak tahu apa kebenarannya.

"Perkara seperti ini tak patut berlaku dalam zaman moden. Jika ada pihak langgar peraturan dan undang-undang, takkan semudah itu kita nak menerimanya," kata Kay Kim ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad mengadakan sidang media khas di Kelana Jaya bagi menjelaskan punca pihaknya tidak meneruskan bantahan biarpun notis awal sudah dihantar pengurus skuad B-22 negara, Datuk Afandi Hamzah selepas aksi bertemu Myanmar di Yangon, Selasa lalu.
"Kita kena bantah berserta bukti kukuh. Jika tidak, ia boleh beri implikasi terhadap imej FAM dan hubungan kita dengan negara-negara ASEAN kerana Presiden FAM (Sultan Ahmad Shah) juga adalah Presiden AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN).

"Saya juga sudah persembahkan kepada Presiden FAM kenapa FAM tak teruskan bantahan ini. Bukan sebab kita takut kehilangan wang bantahan AS$500 (RM1,580), tapi adalah tidak beretika untuk kita mempersoal dokumen pengenalan diri yang diperakui kerajaan Myanmar," jelas Azzuddin.

Ditanya mengenai jurulatih kelab Myanmar, KBZ FC, P N Sivaji, mengesahkan pemainnya, Kyaw Zayar Win yang tertera umur 24 tahun dalam senarai perlawanan Piala Singapura bertemu Loyola Meralco Sparks adalah individu sama menjadi kapten skuad B-22 Myanmar, Azzuddin berkata "Saya tak meneliti sehingga tahap itu."

"Kita tak pasti dia Zayar Win mana satu (yang berusia 21 atau 24). Ini satu input baru. Saya tak tahu pendaftaran Piala Singapura pergi ke AFC atau tidak."

Azzuddin berkata, badan induk bola sepak Asia hanya menerima maklumat yang didaftarkan dalam sistem maklumat pemain AFC dan segala data dalam kejohanan bukan anjuran badan itu seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Piala Suzuki AFF, tidak diperakuinya.

Fokus emas lebih penting: Chong Wei

Posted: 06 Jul 2012 04:10 PM PDT

Jagoan itu bincang isu kahwin lepas Olimpik

Kuala Lumpur: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei mahu memberi lebih tumpuan mendapatkan pingat buat negara pada Sukan Olimpik London daripada memikirkan mengenai soal perkahwinan atau isu sebagai pembawa Jalur Gemilang pada temasya itu. "Memang ada perancangan untuk kahwin, tapi (saya mahu) fokus kepada Olimpik dahulu. Lepas Olimpik baru cakap (mengenainya)," katanya kepada pemberita selepas menjalani latihan bersama skuad badminton negara di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.
Beliau berkata, majlis perkahwinannya itu dijadual berlangsung pada tahun depan.

Semalam, harapan Chong Wei membawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan Sukan Olimpik, tidak kesampaian apabila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kekal dengan keputusan menyerahkan bendera negara kepada ratu terjun, Pandelela Rinong.

Keputusan itu diumumkan Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar, walaupun Chong Wei mengharapkan MOM dan Majlis Sukan Negara (MSN) mempertimbangkan perkara itu.

Keputusan dibuat berdasarkan undian panggilan telefon dan emel ahli Lembaga Pengarah MOM semalam yang memihak kepada Pandelela apabila penerjun berusia 19 tahun itu menerima sembilan undian berbanding tiga undi untuk Chong Wei.
Tunku Imran berharap Chong Wei akur dengan keputusan itu sekali gus dia boleh memfokuskan tumpuan sepenuhnya memenangi pingat emas Olimpik.

"Saya sebenarnya tidak kisah siapa yang membawa Jalur Gemilang tetapi keputusan sudah dibuat - memilih Pandelela. Mungkin mereka mengundi Pandelela kerana mahu Chong Wei memfokuskan tumpuan memenangi emas.

"Lagipun, tugas membawa Jalur Gemilang bukan mudah kerana pembawa terpaksa berdiri dan memegang bendera selama empat atau lima jam dan dengan kecederaan bahu yang dialami Chong Wei, ia mungkin sukar buatnya," katanya ditemui selepas majlis penutup pertandingan taekwondo Sukan Malaysia (SUKMA) XV di Universiti Malaysia Pahang (UMP), semalam.

MOM terpaksa menjalankan undian itu selepas rayuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mahukan Chong Wei diberi penghormatan walaupun sebelum itu MOM sudah memutuskan tugas terbabit diberikan kepada Pandelela.

"Ia bukanlah satu isu. Dipilih atau tidak (pembawa Jalur Gemilang), saya tetap pergi ke majlis perasmian...ini Olimpik terakhir saya," kata Chong Wei yang akan membuat penampilan ketiga pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Pada dua Olimpik lalu di Athens, Greece dan Beijing, China, Chong Wei tidak dapat menyertai kontinjen negara pada majlis perasmian kerana menjalani latihan fasa akhir.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan