Kosmo Online - Sukan |
Posted: Temasya Sukma XV dirasmi
MAJLIS perasmian pembukaan temasya Sukan Malaysia (Sukma) XV berlangsung penuh gilang-gemilang dan warna-warni di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi. Percikan bunga api yang menghiasi segenap ruang angkasa di stadium tersebut dilihat sebagai kemuncak majlis perasmian pembukaan Sukma kali ini yang menampilkan penyertaan 5,828 atlet dan pegawai termasuk kontinjen jemputan dari Brunei. Terdahulu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dibawa menaiki pedati mengelilingi Stadium Darul Makmur tepat pada pukul 8.30 malam. Turut hadir, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Majlis perasmian temasya Sukma XV yang dihadiri kira-kira 30,000 penonton itu dimulakan dengan nyanyian lagu Allah Selamatkan Sultan Kami. Ia diikuti persembahan khas dengan diketuai Rosli Selasih dan melibatkan seramai 2,000 peserta yang terdiri daripada para penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Pahang, pelatih Pusat-Pusat Latihan Khidmat Negara dan pelajar-pelajar sekolah di sekitar Pahang. Persembahan khas itu yang berlangsung selama 40 minit itu terbahagi kepada tiga segmen - Pergendangan Serasa Kuala Tahan diikuti Sukan Ke Arah Perpaduan dan Evolusi Sukma XV. Kehangatan majlis itu semakin dirasai sebaik sahaja 15 kontinjen masuk ke dalam stadium untuk memberi lintas hormat diiringi empat maskot temasya Sukma XV iaitu Tahan, Puteh, Rajah dan Teku. Mendahului perbarisan ialah kontinjen Brunei diikuti Perak, Selangor, Kelantan, Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sarawak, Perlis, Sabah, Wilayah Persekutuan, Terengganu dan Pahang. Acara diteruskan dengan larian baton Sukma XV melibatkan tiga atlet tuan rumah iaitu jaguh angkat berat, Amirul Hamizan Ibrahim diikuti R. Haridas (olahraga) dan Chan Zhi Hui (gimnastik). Selepas titah pengisytiharan Sukma XV oleh Sultan Ahmad Shah, sejurus kemudian berlangsungnya upacara menaikkan bendera temasya, bacaan ikrar dan nyalaan obor. Sebagai tuan rumah Sukma kali ini, Pahang menawarkan 369 pingat emas daripada 24 acara yang membabitkan 24 venue di Kuantan, Temerloh dan Pekan. Tumpuan sudah pasti terarah kepada kontinjen Terengganu yang tampil selaku juara keseluruhan selama tiga edisi berturut-turut iaitu pada 2011 di Kuala Lumpur, Melaka (2010) dan Terengganu (2008). Biarpun Sukma XV dibuka secara rasmi malam tadi, karate merupakan acara paling awal dipertandingkan pada temasya kali ini iaitu pada Ahad lalu. Selain karate, lima lagi acara bermula awal sebelum majlis perasmian pembukaan Sukma XV ialah berbasikal, bola sepak, hoki, taekwondo dan perahu layar. Setakat ini, Selangor muncul pendahulu apabila mengumpul tujuh pingat emas, enam perak dan lima gangsa. | |
Posted: Zolkples lontar amaranZOLKPLES (dua dari kanan) mengadakan lawatan ke Perkampungan Sukan Atlet temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan semalam. ADA mesej penting yang mahu disampaikan Majlis Sukan Negara (MSN) kepada semua persatuan kebangsaan sebelum berlangsungnya temasya Sukan Olimpik 2012 di London penghujung bulan ini. Tidak mahu 'pisang berbuah dua kali' MSN telah mengingatkan semua persatuan sukan kebangsaan agar membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum mengumumkan sesuatu perkara yang berkaitan dengan atlet masing-masing. Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong berkata, peringatan itu dibuat rentetan daripada tindakan terburu-buru Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) apabila membuat pengumuman atlet angkat berat wanita, Azizah Fadzil layak ke London. Bagaimanapun, Azizah akhirnya disahkan tidak layak beraksi pada temasya Olimpik kali ini setelah slotnya diberikan kepada atlet Vietnam. "Kita tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam perkara ini kerana kesilapan boleh berlaku, namun saya harap selepas ini persatuan sukan kebangsaan lebih berhati-hati sebelum membuat sesuatu pengumuman tentang atlet mereka. "Tindakan tersebut hanya akan menjejaskan semangat dan tumpuan atlet tersebut, lebih-lebih lagi bagi atlet muda seperti Azizah yang masih mempunyai banyak peluang untuk mewakili negara," kata Zolkples kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Perkampungan Sukan Atlet temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan semalam. Terdahulu, Azizah, 21, layak secara merit le London setelah berada di kedudukan keenam teratas dalam kategori 53 kilogram pada Kejohanan Kelayakan Zon Asia di Pyeongtaek, Korea Selatan, April lalu. Bagaimanapun, perubahan ranking yang dilakukan Persekutuan Angkat Berat Dunia (IWF) baru-baru ini menyaksikan atlet Vietnam yang sebelum ini menduduki tangga ketujuh keseluruhan, naik ke tangga ketiga manakala Azizah jatuh ke tangga ketujuh. Mengikut peraturan, hanya negara yang berada dalam ranking keenam bagi Zon Asia layak mendapat slot ke London. | |
Posted: Sarawak sapu bersih dua emasADDY AMMIN mengutip pingat emas dalam acara merentas desa basikal bukit bagi kategori lelaki pada Sukan Sukma XV di Temerloh semalam. SEKALIPUN terpaksa mengharungi jalan berbukit yang licin dan basah, pelumba Sarawak, Addy Ammin Shahriman Othman masih mampu mengutip pingat emas dalam acara merentas desa basikal bukit bagi kategori lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) XV di Temerloh semalam. Selaku juara, Addy Ammin, 19, merakamkan catatan satu jam 22 minit dan 11 saat (s) selepas lima pusingan sejauh 4.05 kilometer (km). Pelumba Selangor, Norshahriel Haizat Ahmad Nazali dan peserta Terengganu, Mohd. Zulhafiz Saipuddin masing-masing memenangi pingat perak dan gangsa. Norshahriel melakukan catatan masa 1:24:10s manakala Mohd. Zulhafiz merekodkan 1:25:15s. "Laluan hari ini (semalam) sangat mencabar kerana tanah agak lembab dan licin, pelumba dari belakang saya juga semakin menghampiri, jadi saya memang berusaha habis-habisan dalam lima pusingan. "Ini kali kedua saya sertai Sukma dan pertama kali menjadi juara. "Strategi memang menjadi walaupun laluan agak sempit dan memang mencabar buat saya," kata Addy Ammin kepada pemberita selepas menamatkan pusingan terakhir di Sri Tualang, Temerloh. Addy Ammin turut berharap dia dapat menyertai skuad kebangsaan dan beraksi pada temasya Sukan SEA di Myanmar tahun depan. Kejayaan Addy Ammin itu turut diikuti rakan senegerinya, Rosnina Minggu apabila meraih emas dengan catatan 1'18:06s. Pelumba Kedah, Mardiana Mohd. Radzi memungut pingat perak selepas mencatatkan masa 1'19:33s. Pingat gangsa pula menjadi milik pelumba Sabah, Natasya Soon yang merakamkan masa 1'21:04s. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan