Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Rajagobal kecewa

Posted: 15 Nov 2012 11:52 AM PST

DENGAN masa yang semakin suntuk, ketua jurulatih skuad kebangsaan Datuk K Rajagobal akhirnya tidak dapat membendung kekecewaan dengan aksi longlai anak buahnya yang hanya mencatat keputusan seri 1-1 menentang Hong Kong pada perlawanan persahabatan antarabangsa kelmarin.

Prestasi yang dipersembahkan skuad Harimau Malaya di Stadium Shah Alam itu langsung tidak menggambarkan perwatakan juara Piala AFF Suzuki sekali gus membuatkan Rajagobal perlu mencari formula terbaik sebelum kejohanan bermula pada 25 November ini.


Janji untuk bangkit selepas dua kekalahan di tangan Vietnam 0-1 dan Thailand 0-2 sebelum ini gagal dikotakan malah yang lebih mengecewakan apabila pemain gagal mempamerkan permainan menarik.

"Hong Kong bermain lebih agresif, rajin dan bertenaga. Pada babak kedua kita bangkit tapi tidak mempamerkan permainan sebenar.


"Perlawanan ini bagus untuk saya melihat karektor beberapa pemain yang saya fikir mempamerkan permainan mengecewakan. Saya akan memberitahu pemain saya tidak puas hati, sekarang masa sudah suntuk dan saya sudah kenal pasti pemain yang tidak akan berada dalam senarai 22 pemain," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan itu.


Satu-satunya peluang untuk skuad kebangsaan mendapatkan kemenangan penyuntik semangat adalah aksi pemanas badan terakhir menentang pasukan kerdil Bangladesh pada 20 November ini di Stadium Shah Alam.

"Perlawanan dengan Bangladesh adalah persiapan terakhir sebelum kejohanan bermula. Selepas itu pemain tidak boleh memberi alasan lagi, mereka perlu bangkit dan bersedia menghadapi perlawanan sebenar," katanya yang membimbing Harimau Malaya merangkul Piala AFF dua tahun lalu.


Sementara itu, ketua jurulatih Hong Kong, Kim Pan Gon berkata, pasukannya berhak menang perlawanan itu kerana mencipta lebih banyak peluang khususnya pada babak pertama.

"Pasukan saya layak mendapat keputusan ini walaupun kami berpeluang untuk menang kerana bermain lebih agresif untuk menjaringkan gol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16


Brazil nyaris aib

Posted: 15 Nov 2012 11:45 AM PST

EAST RUTHERFORD (New Jersey): Penyerang Brazil, Neymar muncul bintang negaranya menjelang persiapan Piala Dunia 2014 selepas meledak jaringan pada minit ke-64 ketika Brazil bekerja keras untuk mengikat Colombia, 1-1.

Neymar, 20, berpeluang meletakkan Brazil di hadapan pada babak kedua namun sepakan penaltinya melepasi palang gol pada perlawanan yang disaksikan 38,624 penonton di Stadium MetLife, New York.


Penonton menyaksikan perlawanan Brazil itu kurang berbanding 77,223 ketika mereka bertemu pada Ogos 2010 akibat masalah pengangkutan berikutan ribut Sandy.

James Rodriguez membuka jaringan buat Colombia pada minit ke-44.


Brazil dianugerah sepakan penalti pada minit ke-81 selepas Pablo Armero menolak jatuh Daniel Alves dalam kawasan penalti.


Neymar mengambil beberapa langkah sebelum mengambil sepakan itu namun pendekatannya itu gagal apabila bola melepasi palang gol sekali gus menggagalkan peluang Brazil mendahului pasukan yang tidak pernah menewaskan mereka dalam tempoh 21 tahun.

Brazil memiliki beberapa peluang namun gagal disempurnakan.


Kaka terlepas peluang pertama pada minit ke-18 dan tandukan Neymar dari jarak dekat hasil hantaran Alves berjaya diselamatkan penjaga gol Colombia, David Ospina minit ke-24. Sepakan jarak jauh Kaka yang kembali bersama skuad kebangsaan buat pertama kali sejak Piala Dunia 2010 turut terkena palang pada minit ke-32. Brazil menang 15 kali, kalah dua dan seri lapan pada pertemuan menentang Colombia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/16


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen