Kosmo Online - Sukan |
Posted: KOAM siasat laporanOleh HELMI TALKAH PEMANDANGAN terkini Kompleks Sukan Ranau di Sabah yang sedang dalam proses terakhir untuk disiapkan. Ia dijangka siap sepenuhnya penghujung bulan ini. – Gambar ihsan KOAM ISU mengenai rancangan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) mahu mengadakan program latihan di Kompleks Sukan Ranau, Sabah nampaknya kembali 'panas'. Ini kerana, akhbar melaporkan bahawa kompleks yang bakal dijadikan tempat latihan atlet-atlet olahraga negara itu sebenarnya masih belum siap sepenuhnya dan hanya boleh digunakan pada April depan. Jelas laporan akhbar itu lagi, kompleks sukan tersebut sebenarnya masih belum dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan juga perhubungan jalan raya. Laporan tersebut berbeza daripada apa yang dikemukakan oleh KOAM yang mendakwa kompleks tersebut kini dalam fasa terakhir pembinaan dan boleh digunakan selewat-lewatnya bulan ini. Bagaimanapun, Presiden KOAM, Datuk Seri Shahidan Kassim (gambar) yang diminta mengulas mengenai hal tersebut enggan 'melatah'. Sebaliknya, memberi jaminan bahawa pihaknya akan menyemak semula laporan awal yang telah dibuat oleh pegawai-pegawai KOAM sebelum ini berhubung pembinaan Kompleks Sukan di Ranau itu. "Saya menyokong untuk meneruskan program latihan itu berdasarkan laporan yang dikemukakan oleh Karim Ibrahim (Timbalan Presiden KOAM) bersama beberapa lagi pegawai KOAM yang lain. "Taklimat yang kami (KOAM) berikan kepada Datuk Mohid Mohamed (Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan) serta Datuk Zolkples Embong (Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara) juga berdasarkan laporan tersebut. "Sekiranya laporan yang diberikan itu tidak tepat berdasarkan situasi semasa, kami pasti akan membuat siasatannya ke atasnya," kata Shahidan ketika dihubungi Kosmo! semalam. Menurut laporan akhbar, Mohid mahukan laporan penuh daripada KOAM berhubung isu ini. "Jika benar laporan akhbar tersebut yang menyatakan bahawa Datuk Mohid meminta kami membuat laporan berhubung isu ini, kami akan menyiapkannya secepat mungkin. "Saya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Mungkin laporan akhbar sekadar mahu menyalurkan maklumat dan kami pandang serius mengenai masalah yang timbul ketika ini," jelas Shahidan. Minggu lalu, Majlis Sukan Negara (MSN) telah meluluskan peruntukan kepada KOAM mengenai rancangan mereka untuk menghantar atlet-atlet olahraga negara menjalani latihan di Ranau. Ia sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan SEA 2011 di Indonesia November depan. Begitupun, peruntukan tersebut hanyalah untuk tempoh sebulan bagi fasa pertama program itu diadakan dan ia akan dikaji semula sebaik tempoh tersebut tamat. | ||
Posted: Rooney kembali mengganasROONEY (kiri) bijak memperdaya penjaga gol Aston Villa, Brad Friedel untuk menjaringkan gol kedua United di Old Trafford, kelmarin. Dia turut menjaringkan gol pertama. MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson percaya 'ayam tambatannya', Wayne Rooney kini telah kembali menemui sentuhan penyudahnya semula. Kenyataan Ferguson itu hadir selepas penyerang antarabangsa England itu meledak dua gol ketika membantu skuad The Red Devils menewaskan Aston Villa 3-1 dalam saingan Liga Perdana England, awal pagi semalam. Pada aksi yang berlangsung di Old Trafford itu, Rooney membuka tirai jaringan seawal minit pertama perlawanan sebelum meledak gol kedua pada minit ke-45. Darrent Bent berjaya merapatkan jurang gol buat Villa pada minit ke-58 namun Nemanja Vidic melengkapkan kemenangan The Red Devils apabila menjaringkan gol ketiga lima minit kemudian. Sebelum ini, Rooney sering kali bergelut dengan prestasi tidak menentu apabila dia hanya mampu merekodkan lima gol dalam saingan liga musim ini. Kemenangan yang dilakar United itu terus mengukuhkan lagi cengkaman mereka selaku pendahulu liga apabila mengumpul 54 mata, lima mata meninggalkan Arsenal yang menghuni tangga kedua. Lebih manis, anak-anak buah Ferguson turut mengekalkan rekod tanpa kalah mereka musim ini dengan kemenangan ke atas Villa itu. Ferguson berkata, dia tidak pernah berasa ragu dengan kualiti yang dimiliki Rooney sebagai penyerang malah percaya yang pemain itu mampu menjaringkan gol buat United. "Faktor utama yang mendorong seseorang penyerang itu terus digeruni adalah dengan menjaringkan gol. Apabila kamu menjaringkan gol, ia akan menjadi pendorong untuk kamu terus melakukannya. "Dia (Rooney) tidak boleh dikritik disebabkan prestasi cemerlangnya itu tetapi dia perlu diberikan ganjaran di atas kerja keras yang dipamerkannya selama ini," kata Ferguson. - AFP | ||
Saya mahu robek Liverpool - Torres Posted: Saya mahu robek Liverpool - Torres
LONDON - Fernando Torres (gambar) kelmarin memberi amaran menjelang penampilan sulungnya bersama Chelsea dengan menegaskan bahawa dia mahu menjaringkan gol ke atas bekas kelabnya, Liverpool Ahad ini. Liverpool telah meletakkan syarat agar penyerang yang dibeli dengan harga £50 juta (RM247 juta) itu tidak diturunkan pada pertemuan Liga Perdana England itu, aksi pertama pemain Sepanyol itu bersama The Blues. Situasi itu bagaimanapun mengundang ketegangan ketika perbincangan kontrak di mana juara bertahan, Chelsea enggan tunduk kepada syarat tersebut sekali gus menyaksikan Torres akan turun menentang kelab lamanya. Torres berkata: "Kalau saya mempunyai peluang untuk bermain, saya akan melakukannya sebaik mungkin buat Chelsea dan harapnya dapat menyumbat gol." Penyerang Sepanyol itu turut mendedahkan bahawa dia telah mengimpikan untuk menyertai Chelsea sejak musim lepas lagi sekaligus menimbulkan persoalan tentang komitmennya bersama Liverpool sejak enam bulan lalu. "Sejak musim lepas lagi saya rasa perlu mengambil langkah ke depan dalam karier saya dan juga impian saya sebagai seorang pemain bola sepak," katanya. "Saya mahu menyertai sebuah kelab yang benar-benar hebat dan kelab itu adalah Chelsea. Kini saya ada peluang untuk menjadi sebahagian daripada pasukan ini." Torres juga mengingatkan Liverpool bahawa pencapaian kurang memberangsangkan yang berterusan telah memaksanya hilang sabar dan beralih angin. "Liga Juara-Juara menjadi impian setiap pemain bola sepak dan ia juga satu kejohanan yang berada pada tahap tertinggi. "Chelsea ada peluang untuk memenangi banyak kejuaraan dalam setiap musim, jadi apabila kamu ada peluang untuk menyertai kelab seperti ini, kamu pasti tidak boleh menolaknya," kata Torres. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan