Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Ambil jurulatih China, mengarut!

Posted:

Ambil jurulatih China, mengarut!

Ambil jurulatih China, mengarut!

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei akan kekal dibimbing Tey Seu Bock dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak pernah bercadang untuk mencari pengganti Datuk Misbun Sidek, biarpun khabar angin bertiup kencang bahawa badan badminton kebangsaan itu sedang mengintai khidmat jurulatih dari China.

Pengurus Besar BAM, Kenny Goh menegaskan, mencari pengganti Misbun, yang meletak jawatan pada 31 Disember lalu tiada dalam agenda BAM dalam masa terdekat, malah beliau menjangkakan Seu Bock akan mengawasi jaguh No. 1 dunia itu untuk tempoh yang lebih lama kerana sudah pun merangka program persiapan Sukan Olimpik 2012.

Beliau turut menjelaskan bahawa BAM memang sedang mengintai jurulatih luar negara, namun bukan untuk Chong Wei, tetapi ratu badminton negara, Wong Mew Choo yang kehilangan jurulatihnya, Wong Tat Meng, yang mengambil keputusan untuk berhijrah ke Indonesia, pertengahan bulan ini.

"Saya tidak tahu dari mana datangnya khabar angin bahawa kononnya kami sedang mencari jurulatih dari China untuk melatih Lee Chong Wei, memang kami sedang mencari jurulatih perseorangan tetapi untuk skuad wanita, menggantikan Wong Tat Meng, mungkin mereka terkeliru dengan itu.

"Ketika ini, Chong Wei tidak mempunyai sebarang masalah dengan Seu Bock, malah kerjasama ini mungkin kekal lebih lama memandangkan Seu Bock juga sudah membuat program serta perancangan buat Chong Wei,'' ujar Kenny.

Ditanya mengenai khabar angin bahawa bekas juara dunia dari China, Xia Xuanze disebut-sebut sebagai calon utama untuk melatih Chong Wei dan rundingan akan dilakukan apabila pemain itu beraksi dalam Liga China bulan depan, Kenny menyifatkan berita tersebut sebagai mengarut.

Tambahnya, selain tidak pernah membincangkan mengenai mencari jurulatih baru untuk Chong Wei, 'memetik' nama Xuanze sebagai calon juga sesuatu yang tidak masuk akal kerana jurulatih itu kini aset penting kepada supremo badminton China, Li Yongbo dan tidak mungkin akan dilepaskan dari pasukan kebangsaan.

"Kita fikir logik saja, Xuanze sekarang merupakan pembantu kepada Tang Hsienhu (jurulatih Lin dan) dan berada di bawah kendalian Li Yongbo. Secara langsung, dia juga jurulatih Lin Dan, dan tidak mungkin Yongbo atau China akan bermurah hati untuk melepaskannya,'' ujar Kenny.

Ditanya mengenai Mew Choo yang akan mengharungi kelayakan Olimpik tanpa Tat Meng, Kenny menegaskan, sementara waktu pembantu jurulatih, Woon Sze Mei akan mengawasinya hingga jurulatih baru ditemui, namun andai pencarian tidak berhasil, maka BAM akan mencari kaedah lain, iaitu menempatkan Mew Choo di bawah mana-mana jurulatih perseorangan kebangsaan sedia ada.

"Kita sudah pun memulakan pencarian jurulatih asing dan mewar-warkannya, tetapi andai kita tidak menemui jurulatih baru, maka Mew Choo boleh diletakkan di bawah pengawasan jurulatih perseorangan yang sedia ada, ini bukan masalah besar,'' ujarnya.

Jika Mew Choo akan mengharungi cabaran getir All England minggu depan tanpa Tat Meng, Chong Wei pula turun mempertahankan kejuaraan tanpa mentornya, Misbun.

Ada desas desus mengatakan Misbun mungkin akan mengiringi Chong Wei di Birmingham dan kembali ke pangkuan skuad kebangsaan selepas tamat kejohanan badminton tertua di dunia itu, namun Kenny berkata, beliau tidak tahu akan perkara itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Najib bangga, Azizulhasni ikon negara

Posted:

Najib bangga, Azizulhasni ikon negara

Najib bangga, Azizulhasni ikon negara

Daripada Mustafa Kamal Basri


Najib Tun Razak bersalaman dengan pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang (kiri) semasa mengadakan jamuan tengah hari bersama pelajar Malaysia di University of Melbourne di sini, semalam. - BERNAMA


MELBOURNE - Datuk Seri Najib Tun Razak kagum dengan kecekalan jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang dan menyifatkan pelumba itu bukan sahaja sebagai simbol tetapi juga ikon negara.

Perdana Menteri berkata, kecekalan dan semangat juang Azizulhasni, 23, harus dicontohi oleh rakyat Malaysia yang lain terutama golongan muda yang tidak mudah mengaku kalah walaupun menghadapi pelbagai halangan dan kecederaan.

''Kamu (Azizul) membuat kita semua bangga, kamu mempamerkan semangat juang yang tinggi, tidak pernah mengenal putus asa dan kehebatannya menjadi kisah yang menarik untuk dicontohi," katanya semasa berucap pada majlis jamuan tengah hari anjuran Universiti Melbourne yang turut dihadiri 50 pelajar Malaysia yang mengambil kursus ijazah kedoktoran di universiti itu.

Selepas majlis itu Najib turut menyampaikan bantuan berjumlah A$10,000 daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

Perdana Menteri berkata, beliau tersentuh apabila Perdana Menteri Australia, Julia Gillard turut kagum dengan kehebatan Azizulhasni sambil menyifatkan pelumba itu sebagai lambang hubungan strategik Australia-Malaysia, melahirkan jaguh lumba basikal Malaysia bertaraf dunia yang mendapat latihan daripada jurulatih Australia.

Najib yakin Azizulhasni bakal mencipta sejarah buat dirinya dan negara dengan memenangi pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik di London tahun depan jika beliau dapat mengekalkan prestasinya.

Azizulhasni pelumba dari Terengganu mendapat perhatian seluruh dunia apabila beliau bukan sahaja muncul sebagai juara keseluruhan acara keirin pada Kejohanan Dunia di Manchester, England dua minggu lalu tetapi turut membanggakan apabila beliau berjaya menduduki tempat ketiga acara itu dalam keadaan mengalami kecederaan.

Azizulhasni cedera di betis apabila tertusuk serpihan kayu selepas terjatuh di pusingan akhir dan berita itu mendapat liputan meluas akhbar di seluruh dunia.

Beliau dirawat di hospital di sini dan menjalani pembedahan kecil untuk mengeluarkan kayu tersebut dari betis kirinya. - Utusan

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan