Kosmo Online - Sukan |
T-Team perkuat bahagian tengah Posted: T-Team perkuat bahagian tengahOleh MUSTAPA LAKAWA YUNUS (kanan) memberi arahan kepada anak-anak buahnya pada sesi latihan pasukan T-Team di Kuala Terengganu baru-baru ini. ANDAI prestasi semasa menjadi ukuran, T-Team seharusnya tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan apabila melayan kunjungan Sabah dalam kempen Liga Super malam ini. Kesempatan itu juga bakal digunakan jurulatih T-Team, Yunus Alif dalam misi memburu kemenangan kedua, sekali gus melonjakkan moral anak-anak buahnya daripada terus dihimpit kekecewaan. Menurut Yunus, kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu juga perlu digunakan oleh para pemain untuk mengubah kedudukan pasukan daripada terus berada dalam zon tercorot. Dengan mengumpul lima mata, skuad T-Team itu kini menduduki tangga ke-13 liga dengan hanya berkelebihan tiga mata di hadapan Perlis selaku pasukan tercorot. "Tidak ada lagi alasan untuk kami gagal memperoleh tiga mata kerana semua pemain sudah bersedia untuk diturunkan. "Tambahan pula, Sabah bukanlah pasukan utama dalam Liga Super kerana pasukan itu juga hanya meraih satu kemenangan setakat ini," katanya. Menambahkan lagi keyakinan Yunus apabila bintang tengah pasukannya, Zairo Anuar Zailani disahkan bakal kembali dalam kesebelasan utama malam ini. "Saya akui antara kelemahan pasukan kami adalah terlalu memberi ruang kepada pasukan lawan menguasai bahagian tengah sehingga mudah mereka menjaringkan gol. "Justeru, kehadiran semula Zairo selepas hampir dua bulan tidak diturunkan mampu memberi suntikan baru kepada jentera tengah untuk melancarkan serangan," ujarnya lagi. Dalam masa sama, Yunus juga mengharapkan sokongan moral daripada penyokong-penyokong T-Team agar terus berada di belakang pasukan itu sehingga ke akhir musim. Malah katanya, perlawanan menentang Sabah ini bakal menjadi platform kepada anak-anak buahnya untuk kembali bangkit, sekali gus keluar dari kelompok pasukan tercorot. "Kami bermula agak perlahan pada awal musim ini, tetapi ia tidak bermakna kami tidak boleh memberi saingan kepada pasukan lain. "Saya percaya kombinasi pemain lama dan baru dalam pasukan ini mampu bangkit seterusnya melakar kemenangan dalam perlawanan-perlawanan lain," tambah Yunus. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Misi robek Felda UnitedOleh KAMARUDDIN ISMAIL BARISAN pemain Perak sudah bersedia menjadikan Felda United sebagai mangsa pada aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam ini. "SAYA hanya mahukan kemenangan sahaja, tiada keputusan lain." Begitulah kehendak pengurus pasukan Perak, Khairul Izwan Harun yang disampaikan kepada barisan pemainnya menjelang pertemuan Liga Super dengan Felda United di Stadium Perak, Ipoh malam ini. Khairul berkata, para pemain telah berjanji akan menunaikan kehendak tersebut dan berazam meraih kemenangan mutlak. "Jika Perak masih mencatat keputusan seri, kedudukan kami dalam carta liga akan menurun kerana pencabar terdekat yang lain pasti mahu memburu tiga mata penuh," kata Khairul Izwan di Ipoh semalam. Ketika ini, Perak berada di tangga keempat dengan mengumpul 13 mata dan masih mempertahankan rekod tanpa kalah dalam saingan liga. Kelantan unggul selaku pendahulu liga dengan 17 mata diikuti Felda United dan Selangor yang berkongsi 14 mata. Bagaimanapun, Perak gagal mengekalkan rekod bersih dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini apabila tewas 1-3 kepada T-Team pada aksi suku akhir kedua Piala FA, 19 Mac lalu. Kekalahan tersebut menyebabkan Perak yang pernah menjulang Piala FA pada tahun 1990 gagal mara ke separuh akhir apabila tewas dengan agregat 4-5. Khairul Izwan mengakui, kekalahan tersebut turut menjejaskan semangat para pemain Perak dan pihak pengurusan telah mengadakan beberapa aktiviti bagi mengembalikan semangat mereka. "Namun saya berharap semuanya akan kembali pulih selepas Perak mengadakan beberapa perlawanan persahabatan baru- baru ini," katanya. Khairul Izwan turut membayangkan ketiadaan penyerang kontroversi, Razali Umar Kandasamy tidak menjejaskan persiapan skuad Seladang. Razali dilapor bakal dikenakan hukuman daripada Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) kerana ponteng latihan selama tiga minggu tanpa sebarang alasan. "Perak tidak bergantung kepada seseorang pemain sahaja, sebaliknya kami turun secara berpasukan," tegas Khairul Izwan. Pada aksi malam ini, skuad Seladang akan menurunkan barisan utama yang diketuai penyerang berpengalaman, Akmal Rizal Ahmad Rakhli. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Tekad Proton Oleh SHAWKATH AZDE PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri Johor, Hoo Seong Chang (dua dari kiri) diringi Pengarah Urusan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (kiri) melepaskan pemandu Proton di lapangan letak kereta pusat beli-belah Angsana, Johor Bahru semalam. PROTON Holdings Berhad (Proton) berhasrat memberikan saingan lebih sengit pada Kejohanan Rali Malaysia (MRC) 2011 yang secara rasmi membuka tirainya di Johor semalam. Bagi merealisasikan misi tersebut, pengeluar kereta nasional itu telah melakukan beberapa penambahbaikan pada model Satria Neo S2000 termasuk aspek suspensi. "Perubahan pada sistem suspensi memberi keyakinan pada kami dan juga cengkaman yang lebih baik. "Penambahbaikan pada enjin juga memberikan tambahan kuasa kuda selain tork (kilas) yang konsisten," kata pemandu Proton, Chris Atkinson yang juga bekas juara Super 1600 Super Asia Pasifik. Selain Atkinson, Proton turut mempertaruhkan bekas pemandu Subaru Kejohanan Rali Dunia (WRC), Alister McRae. Pada MRC 2010, jentera yang dipandu Alister mengalami kerosakan radiator sehingga menyebabkan dia gagal menamatkan perlumbaan. Jentera Atkinson pula mengalami kerosakan elektrik. Malaysia menjadi medan perlumbaan bagi saingan peringkat pertama Kejohanan Rali Asia Pacifik (APRC) 2011 yang berlangsung serentak dengan MRC 2011. MRC kali ini menyaksikan sebanyak 38 penyertaan manakala sebanyak 11 kereta bersaing bagi APRC 2011. Perlumbaan hari pertama MRC 2011 semalam membabitkan peringkat khas dengan jarak 2.5 kilometer di pusat beli-belah Angsana di Tampoi, Johor Bahru. "Ada beberapa selekoh yang mana saya tidak dapat lakukan dengan terbaik. Ia berikutan keseluruhan trek yang sempit sehingga menyebabkan anda tidak mempunyai ruang untuk melakukan kesilapan. "Selain itu, cengkaman yang kerap berubah menyukarkan lagi imbangan kali ini," jelas Atkinson lagi. Dalam pada itu, pemandu kelahiran Jepun, Yuya Sumiyama menjuarai peringkat khas semalam. Dengan menggunakan jentera Mitsubishi Lancer Evo X, Sumiyama mencatat masa 2 minit 02.1 saat. Dia terikat dengan pemandu Indonesia, Rifat Sungkur yang turut mencatat masa yang sama dan jentera yang sama. McRae pula menceriakan kem Proton apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan masa 2:02.5s. McRae berharap tuah memihak kepadanya apabila turun beraksi di laluan Tai Tak Estate hari ini. "Saya selalu katakan bahawa untuk memenangi per lumbaan rali, kamu perlukan sedikit tuah dan juga perlu tahu selok belok laluan kerana ia akan memberi kamu kelebihan. "Jentera saya dalam keadaan baik selepas membuat segala ujian dan semangat saya kini semakin tinggi," kata McRae. Pemandu tempatan terbaik semalam menjadi milik juara bertahan, Muhammad Rafiq Udhaya yang memandu Subaru Impreza dengan catatan 2:18.9s untuk menghuni tempat ke-13. R. Gunaseelan dari pasukan Pennzoil GSR Racing pula mencatat masa 2:43.9s untuk berada di tempat ke-16. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan