Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Misbun batal letak jawatan

Posted:

Misbun batal letak jawatan

Misbun batal letak jawatan

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Datuk Misbun Sidek akhirnya 'memecah kesunyian' dengan menarik balik peletakan jawatan sebagai jurulatih perseorangan kebangsaan, namun keputusannya itu belum menamatkan kemelut bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan persoalan kini terarah kepada, apakah beliau akan kembali membimbing jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh pada mesyuarat majlis semalam mengesahkan menerima surat Misbun beberapa hari lalu, namun menegaskan terma kontrak baru jurulatih belum ditentukan, malah beliau tidak dapat mengesahkan apakah tugas yang bakal digalas Misbun andai kembali ke skuad kebangsaan nanti.

Ketika ditanya, apakah BAM akan menawarkan terma yang berbeza atau sama seperti kontrak terdahulu Misbun yang berakhir pada 31 Disember lepas, Nadzmi menegaskan, semua belum pasti. Malah, beliau mengakui, BAM masih terbuka dalam soal peranan jurulatih itu, apakah kembali melatih Chong Wei atau pemain tersebut kekal bersama Tey Seu Bock.

"Apakah Misbun akan kembali untuk melatih pemain pelapis elit atau sekadar membimbing Chong Wei seperti sebelum ini? Semua hanya akan diputuskan oleh CTC (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan). Biarpun kami akan membuka perbincangan terma baru dengan Misbun, namun struktur dan CTC tidak akan diganggu.

"Kami belum membincangkan mengenai terma kontrak baru Misbun kerana saya baru memaklumkan kepada majlis mengenai surat yang dihantar oleh beliau ke rumah saya kira-kira tiga atau empat hari lepas. Mereka (ahli majlis) bersetuju menawarkan kontrak baru kepada jurulatih itu, namun apakah Misbun pula bersetuju dengan terma kami, itu kita tidak tahu.

"Secara dasarnya, saya rasa beliau (Misbun) tahu kontrak yang akan kami tawarkan, cuma perinciannya belum dibincangkan. Selepas mendapat persefahaman bersama, barulah ia boleh dimeterai,'' ujar Nadzmi selepas mempengerusikan mesyuarat majlis BAM di Subang Jaya, semalam.

Jelas Nadzmi, Chong Wei juga belum dimaklumkan mengenai keputusan Misbun, justeru beliau tidak tahu bagaimanakah reaksi pemain itu, sama ada gembira menerima kepulangan jurulatihnya itu atau selesa kekal bersama Seu Bock, yang telah membantunya merangkul tiga kejuaraan daripada empat kejohanan dalam tempoh tiga bulan terakhir ini.

Bagaimanapun tegas Nadzmi, apa pun keputusan yang bakal diambil mengenai kedudukan jurulatih Chong Wei, ia terpulang kepada keselesaan dan apa yang diinginkan pemain itu kerana bagi BAM, sebarang keputusan harus berteras kepada kepentingan negara dan misi memburu pingat emas Sukan Olimpik 2012.

Nadzmi juga mengesahkan, Misbun tidak mungkin kembali ke sesi latihan skuad kebangsaan sebelum kontrak ditandatangani kerana mereka mahu semuanya berlangsung dengan cara baik. "Biarlah selepas kontrak ditandatangani, baru latihan bermula,'' kata Nadzmi, yang tidak pasti apakah yang merubah fikiran Misbun untuk membatalkan peletakan jawatannya dan kembali menyertai skuad kebangsaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Shabery lega kemelut hampir selesai

Posted:

Shabery lega kemelut hampir selesai

Shabery lega kemelut hampir selesai

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek lega apabila isu Datuk Misbun Sidek dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberikan harapan untuk selesai apabila badan induk sukan badminton negara itu menawarkan kontrak baru kepada bekas pemain negara itu semalam.

Menurutnya, berita mengenai Misbun menarik kembali peletakkan jawatannya menjawab segala persoalan tentang isu melibatkan pemain badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei.

"Syukur, Alhamdulillah, keputusan ini seakan menyelesaikan segala kemelut yang melibatkan BAM dan Misbun yang menjadi tanda tanya seluruh rakyat Malaysia, mereka memikirkan agenda negara adalah lebih penting," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan 15 Tahun Institut Sukan Negara (ISN) semalam.

Jelasnya, Misbun dan rakan-rakan di BAM mempunyai tugas yang lebih penting terutama menjelang Sukan Olimpik 2012 London dalam memburu pingat emas pertama Olimpik menerusi sukan badminton.

"konflik memang berlaku dalam mana-mana persatuan, ia terpulang kepada persatuan itu bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut, memang berlaku perbezaan pendapat, ibarat 'sedangkan lidah lagi tergigit'.

"Saya belum melihat laporan atau terma kontrak baru yang ditetapkan oleh BAM kepada Misbun. Apabila dapat nanti saya akan menelitinya, tetapi saya rasa semuanya akan memberi impak yang positif," katanya.

Ahmad Shabery juga mengucapkan tahniah kepada BAM dan Misbun kerana setidak-tidaknya kemelut yang berlaku itu masih mempunyai jalan penyelesaian terbaik, walaupun ia masih lagi samar.

Semalam Misbun 'memecah kesunyian' dengan menarik balik peletakan jawatan sebagai jurulatih perseorangan kebangsaan.

Namun keputusannya itu belum menamatkan kemelut bersama BAM dengan persoalan kini terarah sama ada beliau akan kembali untuk membimbing Chong Wei.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen