Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


Oosthuizen tetap puas hati

Posted: 15 Apr 2012 04:31 PM PDT

Sukan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak santai bersama penonton ketika Oosthuizen memeluk kedi selepas muncul juara Terbuka Malaysia, semalam.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak santai bersama penonton ketika Oosthuizen memeluk kedi selepas muncul juara Terbuka Malaysia, semalam.

'Jaket Biru sudah cukup kembalikan keyakinan saya selepas ini'

BIARPUN hanya disarungkan jaket biru, Louis Oosthuizen tetap berpuas hati dapat menjuarai Terbuka Malaysia Maybank selepas mencatat 68 pukulan pada pusingan terakhir di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur, semalam.

"Alangkah indah lagi jika ia adalah jaket hijau," kata Oosthuizen yang terlepas kejuaraan major keduanya kepada Bubba Watson pada penentuan playoff di Augusta National, seminggu lalu. "Memang sukar untuk melupakan kekecewaan (Masters) itu, jadi saya perlu mencapai sesuatu untuk mengembalikan keyakinan saya bagi meneruskan saingan tahun ini. Saya tidak sangka dapat bermain sebaik ini dan menjangkakan saingan sengit hingga ke lubang terakhir."

Oosthuizen muncul juara selepas mencatat jumlah keseluruhan 17 bawah par, 271 pukulan – meninggalkan Stephen Gallacher di tempat kedua dengan tiga pukulan. Pemain 29 tahun itu membawa pulang AS$416,660 (RM1.27 juta) daripada keseluruhan AS$2.5 juta (RM7.8) juta ditawarkan.

Oosthuizen adalah pemain kedua dari Afrika Selatan menjulang trofi Seagram selepas Harold Henning menjuarai Terbuka Malaysia pada 1966 – edisi kelima yang belum menjadi sebahagian daripada siri Jelajah Eropah.

Danny Willet, David Lipsky dan Rafael Cabrera-Bello berkongsi tangga ketiga dengan 12 bawah par, 276 keseluruhan, manakala pendahulu hari pertama, Charl Schwartzel – juara Masters tahun lalu – tergelincir ke tangga keenam dengan 11 bawah par keseluruhan.
Penyandang juara, Matteo Manassero sekadar berkongsi tangga ketujuh dengan Martin Kaymer, Hennie Otto dan Romain Wattel pada catatan sembilan bawah par, manakala Jeev Milkha Singh dan Jyoti Randhawa dari India muncul pemain terbaik Asia dengan catatan lapan bawah par keseluruhan.

KEPUTUSAN
Pusingan terakhir

271 - Louis Oosthuizen (RSA) 66-68-69-68; 274 - Stephen Gallacher (SCO) 67-68-69-70; 276 - Danny Willett (ENG) 69-69-67-71, David Lipsky (USA) 70-67-69-70, Rafael Cabrera-Bello (ESP) 67-72-66-71; 277 - Charl Schwartzel (RSA) 64-75-70-68; 279 - Martin Kaymer (GER) 70-67-71-71, Hennie Otto (RSA) 71-64-72-72, Romain Wattel (FRA) 68-68-72-71, Matteo Manassero (ITA) 70-72-68-69; 280 - Jeev Milkha Singh (IND) 65-73-70-72, Jbe Kruger (RSA) 70-65-77-68, Jyothi Randhawa (IND) 66-72-68-74, Victor Dubuisson (FRA) 72-68-69-71, Scott Hend (AUS) 70-71-73-66; .....290 - Shaaban Hussin (MAS) 70-72-75-73

Malaysia dapat laluan mudah

Posted: 15 Apr 2012 04:28 PM PDT

Sukan

Peluang skuad Piala Thomas muncul juara kumpulan cerah: Kim Her

"UNDIAN yang baik dan peluang kita untuk muncul juara kumpulan cerah," demikian nada yakin yang disuarakan ketua jurulatih beregu, Tan Kim Her mengenai undian pusingan akhir Piala Thomas yang menyaksikan skuad negara diundi sekumpulan dengan gergasi Eropah, Denmark dan Afrika Selatan, semalam.

Kim Her menegaskan skuad negara diterajui Lee Chong Wei dan diletakkan selaku pilihan keenam dijangka tidak berdepan masalah membenam wakil Afrika dalam saingan piala keagungan badminton itu dari 20 hingga 27 Mei di Wuhan China, tetapi akan berdepan ujian sebenar menentang Denmark - perlawanan penentuan juara kumpulan. "Saya yakin tiket ke suku akhir sudah berada dalam genggaman, tetapi andai kita mahu laluan lebih mudah dan selesa ke separuh akhir, kita tiada pilihan selain mesti menewaskan pilihan ketiga itu (Denmark) untuk muncul juara kumpulan. Jadi, saya akan cuba memastikan dua beregu menyumbang mata penting dalam perlawanan itu," katanya.

Kali terakhir skuad negara bertemu Denmark adalah di suku akhir dalam edisi 2010 di Kuala Lumpur yang menyaksikan skuad negara menewaskan wakil Eropah itu 3-2 untuk mara ke separuh akhir hasil mata kemenangan yang disumbangkan Hafiz Hashim selepas menundukkan Joachim Persson 21-12, 21-10.

Dalam undian di Pusat Sukan Wuhan, tuan rumah dan juara bertahan, China diundi dalam Kumpulan A bersama-sama naib juara bertahan serta juara 13 kali, Indonesia dengan England melengkapkan kumpulan itu.

Pasukan pilihan keempat, Jepun diletakkan dalam Kumpulan B bersama Russia dan New Zealand manakala naib juara 2008 dan juga pilihan kedua, Korea Selatan mengetuai Kumpulan D bersama naib juara 1952, Amerika Syarikat dan Jerman.
Berdasarkan format pertandingan, undian suku akhir akan diadakan sebaik tamat saingan peringkat kumpulan dengan setiap juara kumpulan akan diletakkan sebagai pasukan pilihan dan lawan mereka adalah pasukan yang muncul naib juara kumpulan yang akan ditentukan menerusi cabutan undian.

Skuad negara layak beraksi di pusingan akhir itu selepas mara ke separuh akhir dalam pusingan kelayakan Zon Asia yang diadakan di Macau pada 13-19 Februari lalu.

INFO

Undian Piala Thomas

Kumpulan A: China, Indonesia, England
Kumpulan B: Jepun, Russia, New Zealand
Kumpulan C: Denmark, MALAYSIA, Afrika Selatan
Kumpulan D: Korea Selatan, Jerman, Amerika Syarikat

Undian Piala Uber

Kumpulan A: China, Indonesia, Afrika Selatan
Kumpulan B: Taiwan, Thailand, Belanda
Kumpulan C: Korea Selatan, Jerman, Australia
Kumpulan D: Jepun, Denmark, Amerika Syarikat

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan