Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Denmark ancaman skuad negara

Posted:

Denmark ancaman skuad negara

Denmark ancaman skuad negara

DENMARK bakal menjadi ancaman Malaysia pada pusingan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas di Wuhan, China bulan depan.

Demikian pengakuan jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock mengenai kemampuan gergasi Eropah itu.

Menurutnya, Denmark memang lebih kuat berbanding skuad badminton negara.

Katanya, berdasarkan prestasi serta barisan pemain yang dimiliki Denmark, jelas kekuatan lebih memihak kepada pasukan itu.

"Atas kertas, Denmark memang lebih kuat berbanding kita (skuad negara).

"Denmark memiliki barisan pemain yang mempunyai kedudukan ranking dunia lebih baik daripada pemain-pemain negara. Malah, peningkatan prestasi yang dipamerkan pemain-pemain mereka juga tidak boleh dipandang mudah.

"Namun, itu tidak bermaksud kita tidak boleh menandingi mereka," kata Seu Bock ketika ditemui pemberita sejurus tamat latihan skuad badminton negara di Stadium Juara Bukit Kiara semalam.

Seu Bock berkata demikian bagi mengulas undian yang diterima skuad negara menjelang pusingan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas 2012 di Wuhan, China, Mei depan.

Berdasarkan undian yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kelmarin, selain Denmark, Malaysia turut diundi bersama-sama Afrika Selatan dalam Kumpulan C.

Bagaimanapun, Seu Bock optimis skuad negara tetap memiliki peluang untuk mencatatkan kemenangan ke atas Denmark.

Jelasnya, jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei yang akan mengetuai cabaran Malaysia di Wuhan nanti, memainkan peranan penting apabila diharapkan dapat menyumbangkan mata pertama.

"Peluang tetap ada. Ini kerana, beraksi dalam kejohanan berpasukan berbeza jika dibandingkan dengan kejohanan individu.

"Jika Chong Wei berjaya menyumbangkan mata pertama, ia sudah pasti akan meningkatkan lagi semangat pemain-pemain lain untuk turut mengutip mata," jelas Seu Bock.

Skuad negara dijangka tidak berdepan halangan untuk sekurang-kurangnya mara ke peringkat suku akhir kerana mereka hanya perlu menewaskan Afrika Selatan bagi mengesahkan slot dalam kelompok lapan pasukan terbaik.

Pertembungan dengan Denmark lebih dilihat sebagai penentuan pasukan mana yang akan bergelar juara dan naib juara Kumpulan C.

Bagaimanapun, mengikut format kejohanan, lawan yang akan ditentang pada aksi suku akhir tidak ditentukan menerusi kedudukan juara atau naib juara kumpulan.

Sebaliknya, undian baharu akan dijalankan mengikut kedudukan selaku pasukan pilihan berdasarkan ranking dunia pada 17 Mei depan.

Situasi itu menyaksikan Malaysia yang hanya diletakkan sebagai pasukan pilihan keenam berpotensi berdepan lima pasukan pilihan lain yang turut dijangka mudah ke suku akhir iaitu China, Korea Selatan, Denmark, Jepun dan Indonesia.

Pusingan akhir Piala Thomas 2012 akan berlangsung di Pusat Sukan Gimnasium Wuhan, China bermula 20 hingga 27 Mei depan.

Mat Zan tuntut pemain perkemaskan penyudah

Posted:

Mat Zan tuntut pemain perkemaskan penyudah

Mat Zan tuntut pemain perkemaskan penyudah

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my


MAT ZAN (dua dari kanan) memberi penerangan kepada pemain-pemain Terengganu pada sesi latihan mereka di Kuala Terengganu kelmarin.


PENGENDALI Terengganu, Mat Zan Mat Aris menuntut jentera serangan pasukannya agar tampil lebih bertenaga untuk memburu jaringan seandainya berhajat mahu membawa skuad Penyu ke puncak liga musim ini.

Ingatan Mat Zan itu disuarakan ketika saingan Liga Super sudah memasuki pusingan kedua, sekali gus menyaksikan anak-anak buahnya akan berkunjung ke Paroi menentang Negeri Sembilan malam ini.

Sabtu lalu, skuad dari Pantai Timur itu berjaya menewaskan Negeri Sembilan di Kuala Terengganu menerusi jaringan sendiri pemain lawan dan Mat Zan mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki bagi menjamin kemenangan pasukan.

Justeru, bekas jurulatih Kuala Lumpur itu mengharapkan penyerang import Terengganu, Francis Forkey Doe dapat mengembalikan rentak cemerlangnya selepas selesa mengumpul sembilan gol peribadi setakat ini.

"Doe sangat berkesan pada awal musim tetapi sejak beberapa perlawanan kebelakangan ini, dia kurang menjaringkan gol walaupun telah bekerja keras untuk melakukannya.

"Saya harap dia mampu menemui sentuhan jaringan pada perlawanan di Paroi esok (malam ini)," kata Mat Zan di Kuala Terengganu semalam.

Dalam pada itu, Mat Zan turut mengharapkan gandingan pemain tempatan, Ashaari Shamsuddin dan Abdul Manaf Mamat agar dapat menyumbang sesuatu kepada pasukan.

"Bahagian serangan kami pasti lebih menyengat jika ketiga-tiga pemain ini berada pada prestasi terbaik memandangkan mereka mampu menjaringkan gol dari pelbagai sudut.

"Saya rasa kami perlu mencari formula baharu bagi memastikan bahagian serangan pasukan Terengganu semakin mantap," ujarnya.

Untuk rekod, Terengganu yang kini menduduki tangga ketiga liga dengan 24 mata sekadar mengumpul 19 jaringan, jauh berbanding Kelantan dan Lions XII yang masing-masing merekodkan 25 dan 24 gol.

Di jentera pertahanan pula, skuad Penyu yang dibarisi ramai pemain kebangsaan termasuk bintang baharu, Muslim Ahmad dan Faizal Muhammad telah dibolosi 15 gol.

"Kami perlu berhati-hati dengan Negeri Sembilan kerana pasukan itu memiliki barisan pemain berpengalaman, terutamanya penyerang importnya, Effa Awona.

"Jadi, bahagian pertahanan kami perlu kental dan jangan sesekali melakukan kesilapan mudah yang mampu memberi ruang kepada pemain lawan menjaringkan gol," ujarnya.

Mahu menang semua

Posted:

Mahu menang semua

Mahu menang semua

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my


SHAKIR (depan) mungkin direhatkan pada aksi menentang T-Team malam ini.


KELANTAN bertekad untuk membuka tirai pusingan kedua Liga Super dengan langkah kanan apabila mereka dijadualkan bertemu T-Team di Kuala Terengganu.

Selepas gagal mengambil kesempatan mengutip mata penuh ketika aksi di gelanggang sendiri Sabtu lalu, malam ini merupakan peluang terbaik untuk Kelantan mengukuhkan kedudukan di puncak liga biarpun kekurangan dua perlawanan berbanding Lions XII.

Aksi yang kurang bertenaga selepas terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dengan T-Team pantas disedari oleh ketua jurulatihnya, Bojan Hodak yang dijangka bakal melakukan beberapa rombakan.

Menurutnya, beberapa pertukaran akan dilakukan selepas pemain tengah, Shakir Shaari kembali berada dalam kesebelasan utama.

Pada perlawanan sebelum ini, Shakir direhatkan atas alasan keletihan.

"Saya telah memberitahu semua pemain tentang kesilapan yang mereka lakukan dalam perlawanan sebelum ini dan saya harap mereka faham serta tidak mengulanginya lagi.

"Bukan senang untuk menang tetapi saya percaya kami mampu melakukannya.

"Shakir akan kembali dan saya mungkin akan merehatkan Rizal Fahmi kerana dia sudah bermain dalam banyak perlawanan. Ghaddar juga sudah pasti akan bersama kita untuk mengetuai jentera serangan," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu semalam.

Tambah Hodak, seorang lagi penyerang, Norfarhan Muhammad mengalami kecederaan dan beliau akan memantau keadaan pemain itu sebelum membuat keputusan sama ada diturunkan atau sebaliknya pada perlawanan malam ini.

Katanya, pasukan T-Team memiliki kekuatan tersendiri, terutamanya apabila mereka bermain menggunakan corak hantaran pendek selain pemain-pemain tengah mereka yang mempunyai kualiti untuk merencanakan gerakan.

"Mereka sentiasa bekerja keras dan saya fikir kita perlu bersedia untuk menyekat mereka. Corak permainan juga pantas dan mereka sentiasa mahu menewaskan kami.

"Mereka pasti memiliki kelebihan selain aksi di tempat sendiri. Mereka juga mempunyai rehat yang cukup kerana ini merupakan perlawanan kedua mereka dalam tempoh tujuh hari berbanding kita yang terpaksa berdepan dengan empat perlawanan," ujarnya.

Bagaimanapun, Hodak sentiasa optimis Kelantan sentiasa mampu mengatasi mana-mana pasukan termasuklah ketika beraksi di gelanggang lawan.

"Mata penuh di Kuala Terengganu malam esok (malam ini) akan memberikan kita lebih keyakinan untuk terus berdepan beberapa lagi siri perlawanan penting, terutamanya pada saingan separuh akhir Piala FA dan Piala AFC.

"Saya percaya kita mampu tetapi dengan syarat kita harus beraksi lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini.

"Kita juga berharap para penyokong akan hadir beramai- ramai untuk memberikan sokongan kepada pasukan," jelas Hodak.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan