SKUAD Piala Thomas negara boleh menarik nafas lega pada saingan awal kejohanan berpasukan berprestij itu bulan depan selepas diundi dalam Kumpulan C bersama naib juara lapan kali, Denmark dan Afrika Selatan.
Undian itu memberi kelebihan kepada skuad negara kerana selain Denmark, mereka sepatutnya tidak berdepan sebarang masalah menyingkirkan Afrika Selatan sekali gus mara ke suku akhir.
Persoalannya kini mampukah skuad kali ini menjuarai saingan peringkat kumpulan kerana keputusan itu amat penting bagi memudahkan sedikit laluan pada saingan suku akhir yang akan melalui proses undian semula.
Bagi jurulatih beregu negara, Tan Kim Her, keputusan undian yang berlangsung di Wuhan, China semalam, sememangnya memberi kelebihan kepada skuad negara selain peluang muncul juara kumpulan juga agak cerah.
"Dengan Afrika Selatan saya fikir kami tidak berdepan banyak masalah. Cuma Denmark mungkin menyukarkan kami kerana mereka mempunyai gandingan beregu antara yang terkuat di dunia iaitu Mathias Boe-Carsten Mogensen.
"Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tewas ketika kali terakhir bertemu beregu Denmark ini. Tapi saya akan pastikan mereka dalam keadaan terbaik untuk beraksi cemerlang," katanya.
Untuk rekod, kedua-dua beregu itu pernah bertemu sebanyak 10 kali dengan beregu negara yang ketika ini menduduki ranking kelapan dunia mencatat tujuh kemenangan.
Namun ia bukanlah kayu pengukur terbaik kerana prestasi lawan mereka itu semakin meningkat dan ketika ini berada di ranking ketiga dunia sementara Kien Keat-Boon Heong dilihat semakin tenggelam.
Namun di sebalik meluahkan rasa yakin pada saingan peringkat kumpulan, Kim Her lebih gemar mengambil langkah berhati-hati.
"Buat masa ini, saya rasa lebih baik kami fokus untuk layak ke suku akhir dulu dan cuba menjadi juara kumpulan," katanya.
Pusingan akhir kejohanan itu akan berlangsung di Wuhan dari 20 hingga 27 Mei.
Ketika skuad negara dilihat melalui jalan mudah, China sebagai tuan rumah sebaliknya pula berdepan tugas getir apabila diundi dalam Kumpulan A yang turut disertai juara 13 kali, Indonesia serta England.
Jepun pula berada dalam Kumpulan B bersama Russia dan New Zealand sementara Korea Selatan pula diletakkan dalam Kumpulan D bersama Amerika Syarikat dan Jerman.
0 ulasan:
Catat Ulasan