Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Kami tak gentar!’

Posted: 22 Jun 2012 09:45 AM PDT

WARSAW: Cristiano Ronaldo menganggap Portugal sudah 'sedia untuk berjuang' merebut tempat di final Euro 2012.

Ronaldo sekali lagi menjadi pemenang perlawanan apabila tandukannya membantu Portugal menewaskan Republik Czech, 1-0 di suku akhir, semalam, untuk bertemu sama ada Sepanyol atau Perancis di separuh akhir.


"Sasaran utama kami adalah mara ke final. Kami mempunyai pasukan yang hebat dan saya berpendapat peluang kami 50-50 selain perlu percaya mampu melakukannya. Kami sudah sedia untuk berjuang," katanya.

Ronaldo meneruskan persembahan luar biasanya ketika bertemu Belanda pada pertemuan terakhir peringkat kumpulan dengan satu lagi persembahan menarik dan percubaannya terkena tiang gol setiap separuh masa sebelum mengatasi kebuntuan perlawanan menerusi tandukan bertenaga.


"Gol itu menarik," kata penyerang Real Madrid itu. "Pada 20 minit pertama kami tidak begitu baik tapi memperbaiki persembahan selepas itu. Ia perlawanan yang sempurna buat kami dengan begitu banyak peluang. Pemain Czech langsung tidak mencipta satu peluangpun.


"Kami mempunyai kualiti untuk mara ke separuh akhir. Kami gembira tapi sedar perlawanan berikutnya pasti lebih sukar tapi pasukan ini sudah sedia melakukannya." Jurulatih Portugal, Paulo Bento setuju pasukannya begitu menyerlah dalam perlawanan menentang lawan yang berdisiplin dan berasa mereka berhak menempah tiket separuh akhir.

"Kami bermain lebih di babak kedua dan sebab itu saya kata kami berhak menang," katanya. "Kami sudah sedia dengan strategi terbaik. Kami sedar mereka akan cuba bertahan dan menentang kami menerusi serangan balas kerana mereka mempunyai pemain pantas dan teknik yang mantap.


"Semua pemain melaksanakan tugas mereka di padang dan Ronaldo bermain mengikut taktik kami dan dia bijak mencari ruang dalam kawasan penalti." Portugal akan bertemu sama ada juara bertahan Sepanyol atau Perancis yang menyingkirkan mereka di separuh akhir Euro 2000. "Matlamat kami adalah untuk menewaskan Perancis atau Sepanyol. Tidak akan ada matlamat lain bagi kami." - Agensi


Rayuan tak dilayan

Posted: 22 Jun 2012 09:43 AM PDT

TARIKH tutup penyertaan Karnival Futsal Harian Metro dan Karnival Bola Jaring Harian Metro dibawa oleh AmBank Zon Selatan berakhir semalam dan setiap pasukan diminta menyemak senarai undian yang akan dikeluarkan Rabu ini.

Seperti biasa, penganjur memohon kerjasama semua pasukan untuk tidak mengemukakan sebarang rayuan penambahan atau pertukaran pemain kerana ia tidak lagi dibenarkan. Kejohanan yang berlangsung di Sports Prima Johor Bahru, 30 Jun hingga 1 Julai ini adalah zon penamat buat karnival musim 2012 sekali gus menjadi medan terakhir untuk setiap pemain merebut hadiah lumayan ke Grand Final di Melaka, bulan depan.


Sehubungan itu, penganjur mengingatkan pasukan untuk mematuhi syarat permainan ditetapkan memandangkan penganjur berhak membatalkan mana-mana penyertaan pasukan yang ingkar. Sudah pasti situasi itu merugikan pasukan yang ingin beradu nasib memburu gelaran juara mutlak kelak.

Antara syarat itu adalah memakai jersi bernombor dan berlengan selain memakai stokin panjang dan pelindung tulang keting bagi mengelak sebarang kecederaan serius. Setiap pasukan diingatkan supaya tidak menurunkan pemain dikuarantin, yakni tidak layak beraksi seperti pemain kebangsaan dan negeri kecuali dua yang dibenarkan kerana tiada sebarang kompromi terhadap pasukan yang melanggar syarat pertandingan. Syarat sama juga ditetapkan bagi aksi Karnival Bola Jaring Harian Metro yang dianjurkan bagi memeriahkan karnival futsal ini. Untuk karnival Futsal, tiga kategori akan dipertandingkan iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita serta Lelaki Bawah 17 dengan habuan wang tunai dihadiahkan sehingga tempat kelapan setiap kategori dengan hadiah keseluruhan bernilai RM37,500. Karnival Bola Jaring pula mempertandingkan kategori Terbuka Lelaki dan Wanita bagi merebut hadiah keseluruhan RM8,000 untuk kedua-dua kategori itu. Selain Ambank selaku penaja utama, karnival tahun ini turut menampilkan H-TWO-O sebagai penaja minuman rasmi selain Lancast (pakaian rasmi) dan Sani Express (pengangkutan rasmi). Sebarang pertanyaan diminta hubungi penganjur di talian 016-6400885 atau 03-20569660 atau layari Facebook Futsal HMetro atau www.hmetro.com.my/Futsal.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan