Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Hutang along demi PFA

Posted: 02 Oct 2012 10:37 AM PDT

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim mengaku terpaksa berhutang dengan tiga along bagi menyelesaikan kemelut kewangan yang melanda persatuan itu.

Biarpun sedar berisiko, beliau mendakwa terpaksa melakukannya kerana perlu menyelesaikan segera masalah kewangan itu dengan apa cara sekalipun.


"Saya tidak ada pilihan dan terpaksa berhutang dengan mereka kerana perlu menstabilkan semula kewangan persatuan," katanya yang bagaimanapun enggan memberitahu jumlah sebenar dipinjam kecuali mengatakan memerlukan RM2 juta bagi menstabilkan kembali kedudukan kewangan PFA.

Menurutnya, beliau boleh meminjam daripada bank tapi perlu mencagarkan pelbagai benda bagi membolehkannya berhutang dan proses itu dianggapnya merumitkan.


Shahidan berkata, PFA tidak akan berada dalam situasi terdesak itu jika semua pihak menghulurkan bantuan melunaskan janji mereka, namun hingga kini tiada yang mengotakannya.


"Saya sedar ramai tidak mahu membantu PFA kerana saya sudah tidak berkuasa, namun insya-Allah satu hari nanti saya akan kembali berkuasa. Jika hari itu tiba, pada masa itu, saya tidak akan melayan sesiapa yang enggan bekerjasama dan berjuang dengan saya," katanya.

Menurutnya, kedudukan kewangan PFA pada masa ini di bawah paras negatif dan beliau menyifatkan perkara itu sesuatu yang membimbangkan tapi belum mencapai tahap tenat.


"Kami memang tiada duit untuk membayar gaji tertunggak pemain dan jika masalah ini terus berlaku, kami akan dilanda masalah dan sukar menaikkan kembali imej bola sepak negeri," katanya yang mengaku ada beberapa pemain ingin menyarung jersi pasukan itu tapi membatalkan hasrat selepas mengetahui masalah kewangan itu. Difahamkan PFA belum membayar setengah bulan gaji kepada pemain.

Justeru, Shahidan memberi bayangan sedia berundur jika Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu sudi menerima lamarannya menyertai PFA bagi menyelesaikan kemelut kewangan itu.


"Saya sudah menghubungi beliau, menyatakan hasrat mahu membawanya masuk dalam persatuan ini. Jika Menteri Besar menyertai kami, sudah tentu saya bukan lagi Presiden PFA. Saya serius bukan ajak-ajak ayam kerana sedar langkah menyelesaikan masalah kewangan PFA adalah dengan pembabitan Menteri Besar. Tapi setakat ini beliau menolak atas alasan tidak berminat dan tidak tahu bermain bola sepak." Sementara itu, Shahidan berkata, kerajaan negeri juga masih belum membayar penuh bantuan diminta apabila hanya baru melunaskan RM100,000 daripada RM300,000 yang dipohon.


Namun, menurutnya, beliau tidak akan merayu namun memberitahu jika ada yang ingin berjuang bersama untuk melihat PFA kembali seperti dulu supaya menghulurkan sumbangan.


"Kami mengamalkan konsep berjuang bersama dan menang bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/03


Misi realistik

Posted: 02 Oct 2012 10:30 AM PDT

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegaskan sasaran emas negara perlu realistik walaupun mendapat peruntukan besar menghadapi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Kontinjen negara yang membelanjakan RM20 juta gagal merealisasikan misi meraih emas pertama pada pertengahan tahun ini di Olimpik London apabila sekadar membawa pulang satu perak dan gangsa menerusi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong dalam acara terjun.


"Tidak mahu menaruh harapan yang tinggi, saya sudah minta maaf. Saya tidak mahu minta maaf banyak kali, kasihan menteri yang akan datang. Kita perlu realistik, mungkin boleh sebut dua atau tiga pingat emas tapi siapa (mampu memenanginya)? "Sebab itu kita perlukan program jangka panjang untuk sekurang-kurangnya mampu menghadapi dua edisi Olimpik dan memiliki jumlah atlet yang ramai," katanya yang pernah menyatakan empat pingat emas berada dalam jangkauan kontinjen negara di London.

Emas sulung negara pada temasya sukan terbesar dunia itu masih belum dicapai sejak mula bertanding pada Olimpik 1956 di Melbourne namun dengan peruntukan RM50 juta selama empat tahun, ia turut menghadirkan harapan tinggi untuk merangkul lebih daripada satu pingat emas.


"Untuk Rio, peruntukan awal adalah RM50 juta, ertinya ia masih lagi boleh dibincangkan dan berbeza apabila kami sebelum ini dibenarkan menggunakan RM20 juta. Peruntukan ini secara tidak langsung membolehkan kita mempersiapkan atlet dengan lebih baik lagi," katanya.


Mengenai sukan yang terpilih dalam program Olimpik Rio, Ahmad Shabery berkata, pihaknya terpaksa membuat penyesuaian selaras dengan peruntukan diberikan namun masih terlalu awal untuk diperkatakan kerana boleh mengguris persatuan yang tidak terpilih.

"Dulu (Olimpik 2012), lawan pedang dan renang tiada dalam program Road To London namun berjaya layak dan kita tidak bolehkan nafikan ia sudah menjadi asas untuk dikembangkan. Sukan berpasukan seperti bola sepak dan hoki juga perlu dijadikan sebahagian daripada program," katanya.


Beliau terdahulu hadir menziarahi keluarga Allahyarham Tan Si Abdul Ghani Minhat dan mewakili Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (Yakeb) memberi sumbangan berjumlah RM11,000 dan akan memikirkan jalan terbaik mengenang jasa legenda bola sepak negara itu secara abadi kerana sumbangan besarnya tiada tolak ganti dalam sejarah sukan negara.

Sementara itu Pengerusi Yakeb, Datuk Jamil Salleh berkata, kehilangan 'Raja Bola' itu amat dirasai terutama kerana beliau sentiasa terbabit secara langsung dalam setiap program dianjurkan organisasi itu dan berusaha membukukan cerita tentang diri dan perjuangannya dalam bola sepak.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/03


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen