Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Tengku Mahaleel jadi pilihan?

Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my

Tengku Mahaleel Tengku Ariff

KUALA LUMPUR - Mesyuarat pemilihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini dijangka tidak akan menyaksikan pertandingan dengan jawatan Presiden kemungkinan besar diserahkan kepada salah seorang daripada tiga calonnya; Tengku Mahaleel Tengku Ariff.

BAM akan cuba mendapatkan persetujuan sebulat suara daripada exconya yang akan bermesyuarat terlebih dahulu, dua jam sebelum Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) diadakan untuk melantik Presiden tanpa perlu melalui pertandingan, tradisi yang diamalkan selama ini.

Selain Tengku Mahaleel, Timbalan Presiden, Datuk Dr. Mohamed Al-Amin Abd. Majid dan Bendahari, Datuk Lim Teong Kiat juga berada dalam senarai calon yang akan dibincangkan oleh exco.

Malah, nama Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA), Datuk Mohamad Norza Zakaria juga pada awalnya berada dalam senarai tersebut, tetapi kerana beliau masih muda dan orang baharu, jadi sebahagian besar exco menganggap sebaiknya Norza hanya diberi peluang (jika berminat) pada penggal berikutnya.

Kebanyakan ahli majlis lebih cenderung ke arah Al-Amin, orang yang dianggap paling layak berdasarkan pengalaman luasnya dalam badminton negara.

Al-Amin juga pernah menjadi Setiausaha BAM, sekali gus dianggap orang paling berpengaruh selepas ketiadaan Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh, yang berundur untuk memberi tumpuan kepada tugasan baharu sebagai Presiden Konfederasi Badminton Asia (BAC).

Bagaimanapun, Al-Amin dipercayai tidak mendapat 'restu' begitu juga dengan Teong Kiat, sekali gus meninggalkan Tengku Mahaleel, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings sebagai calon pilihan.

Apa yang menarik untuk diikuti hari ini, apakah ahli gabungan bersedia mengetepikannya dengan tetap memilih calon kegemaran mereka atau akur dan bersetuju menerima Tengku Mahaleel sebagai bos baharu mereka.

Walau siapa pun yang bakal menjadi pilihan untuk menggantikan Nadzmi, yang penting orang itu mestilah mampu memenuhi komitmen tinggi dan cukup berwibawa untuk membantu BAM mengembalikan zaman kegemilangan badminton negara.

Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei menjadi kebanggaan BAM di bawah kepemimpinan Nadzmi sejak 13 tahun lalu.

Memandangkan Chong Wei sudahpun menghadiahkan dua pingat perak Sukan Olimpik - Beijing 2008 dan London 2012, maka Presiden BAM selepas ini akan menggalas harapan lebih tinggi, iaitu mencari juara Olimpik pertama.

Malah, di bawah kepimpinan baharu nanti, badan badminton kebangsaan itu juga berdepan cabaran berat untuk mencari pemain yang mampu mengisi kekosongan Chong Wei, yang hampir menuju penghujung kariernya pada usia 31 tahun.

Mengembalikan Piala Thomas, yang kali terakhir dimenangi Malaysia di bawah kepimpinan Tan Sri Elyas Omar pada 1992 juga antara agenda utama yang perlu difikirkan oleh Presiden baharu, selain menentukan masa depan beregu utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang sebelum ini diberi peluang sehingga Kejohanan Dunia bulan depan oleh kepimpinan lama.

"Ketika menerajui BAM, antara cabaran besar yang saya hadapi adalah mencari satu lagi bakat seperti Lee Chong Wei. Saya harap, kepimpinan baharu nanti dapat mencari pendekatan baharu untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti sepertinya. Kita juga memerlukan jurulatih yang berkaliber.

"Sepanjang 13 tahun menjadi Presiden BAM, saya belum nampak ada pemain lain yang memiliki karakter seperti Chong Wei. Dia mempunyai komitmen yang amat tinggi dan sangat fokus orangnya, tetapi malang sekali, dia selalu tidak bernasib baik dalam kejohanan besar," kata Nadzmi baru-baru ini.

Tengku Mahaleel, 66, yang merupakan Naib Presiden BAM dan Presiden Persatuan Badminton Kelantan sebelum ini enggan melibatkan diri dengan badan badminton kebangsaan itu, namun beliau bertukar pendirian pada saat akhir dengan bersetuju menawarkan diri jika ada pencalonan.

Menurut perlembagaan BAM, pencalonan semua jawatan yang dipertandingkan akan dilakukan pada hari AGM.

Presiden boleh dilantik dalam kalangan orang luar badan badminton itu, tetapi cadangan dan sokongan mesti datang daripada ahli gabungan.

Sementara itu, jawatan Timbalan Presiden juga dijangka menyaksikan satu kekosongan apabila Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah sebelum ini menyatakan keengganan untuk mengekalkan jawatannya.

Minta maaf Malaysia - Pandelela

Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Pandelela Rinong menduduki tempat keenam acara 10 meter platform Kejohanan Terjun Dunia di Barcelona, Sepanyol, kelmarin. - AFP

KUALA LUMPUR - Hasrat Pandelela Rinong Pamg untuk menghadiahkan satu lagi pingat buat negara pada Kejohanan Dunia FINA 2013 di Barcelona, Sepanyol tidak kesampaian apabila dia sekadar menduduki tempat keenam dalam acara 10 meter platform, kelmarin.

Kekecewaan jelas terpancar di wajah penerjun kelahiran Sarawak itu apabila hanya mencatat mata 334.5, jauh ketinggalan dengan pemenang pingat emas Si Yajie dari China yang mengumpul 392.15 mata, diikuti pemenang pingat perak, Chen Ruolin 388.70.

Gangsa dalam acara tersebut diraih penerjun dari Ukraine, Luliia Prokopchuk yang meraih 358.40 mata.

Menurut Pandelela, dia berasa sangat kecewa dengan aksi kelmarin selepas gagal mengulangi pencapaiannya di Sukan Olimpik 2012 London, di mana ketika itu dia berjaya menghadiahkan pingat gangsa buat negara.

"Saya ada membuat kesilapan pada terjunan keempat, saya mahu minta maaf buat rakyat Malaysia," kata Pandelela yang sebelum ini berjaya meraih gangsa bersama Leong Mun Yee dalam acara 10 meter platform seirama.

Mengimbas kembali aksinya kelmarin, pada terjunan pertama Pandelela bermula dengan sederhana apabila hanya memungut 70.50 untuk menduduki tempat kelima, namun dia kembali bangkit di terjunan kedua dengan catatan 76.85 melonjak ke tangga ketiga.

Semuanya menjadi semakin sukar buat pelajar Universiti Malaya itu apabila pada terjunan ketiga dia dikenakan penalti selepas mencatat mata 54.50, namun masih mengekalkan kedudukan ketiga, terjunan keempat dia melakukan kesilapan dengan hanya mencatat mata 56.00 terus jatuh ke kedudukan keenam.

Terjunan terakhir dia mencatat 76.80 tetapi kekal di tempat keenam.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Mahaleel paling sesuai

Posted: 25 Jul 2013 12:06 PM PDT

Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh bermesra dengan anak Lee Chong Wei sebelum skuad negara berlepas ke Hong Kong dari KLIA, Sepang semalam untuk latihan pusat sebelum menyertai Kejohanan Dunia di Guangzhou, yang bermula 4 Ogos ini. - BERNAMA

SEPANG - Bekas ketua pegawai eksekutif Proton Holding Berhad Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff mampu menerajui Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berdasarkan pengalaman luas beliau dalam sukan badminton tanah air, kata Presiden BAM Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh.

Beliau berkata, sebagai tokoh korporat berpengalaman dan berkebolehan, Tengku Mahaleel mampu memartabatkan sukan badminton negara ke tahap lebih tinggi jika dipilih memegang jawatan tertinggi badan induk itu.

Saya rasa beliau (Tengku Mahaleel) sudah bersedia. Beliau ada menelefon saya memberitahu sudah bersedia bertanding sebagai presiden BAM jika dicalonkan.

Saya yakin dengan pengalaman yang ada, beliau mampu menerajui BAM. Beliau juga bekas pemain badminton dan pernah menjadi setiausaha Persatuan Badminton Selangor," katanya selepas bertemu skuad badminton negara yang berlepas ke Hong Kong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mengetuai 29 pemain ke Hong Kong untuk menjalani latihan fasa akhir selama 10 hari sebelum beraksi pada Kejohanan Dunia 2013 di Guangzhou, dari 5 hingga 11 Ogos.

Mohd. Nadzmi yang merupakan penyandang jawatan itu tidak akan mempertahan kedudukan itu pada Mesyuarat Agung Tahunan BAM esok.

Mengenai penyertaan skuad negara pada Kejohanan Dunia, Mohd. Nadzmi berharap Chong Wei dan beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong memperoleh kejuaraan pada kejohanan berprestij itu sebagai hadiah perpisahan untuk beliau yang menerajui BAM selama 13 tahun.

Di mana-mana kejohanan kita perlu sasar menjadi juara, tetapi kita tidak pernah menjadi juara seperti di Kejohanan Dunia. Kali ini saya harap pemain dapat memberi kejutan dengan menghadiahkan kejuaraan.

Saya tahu Chong Wei bersedia untuk menjuarai kejohanan ini, saya harap dia akan menang, begitu juga Kien Keat dan Boon Heong. Sepanjang saya menjadi presiden BAM, belum pernah pemain kita meraih kejuaraan dalam dua kejohanan besar iaitu Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia," katanya.

Sementara itu, Chong Wei mengucapkan terima kasih atas usaha serta sokongan yang diberikan Mohd Nadzmi sepanjang menjadi presiden BAM.

Menjaga BAM selama 13 tahun bukan mudah. Terima kasih Datuk Seri Nadzmi kerana membantu pemain badminton negara," katanya. - BERNAMA

Barcelona tak puas hati padang Stadium Nasional

Posted: 25 Jul 2013 12:06 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Hamidin Mohd. Amin (kiri) dan Irmohizam Ibrahim menunjukkan jersi yang akan dipakai skuad kebangsan apabila menentang Barcelona pada 10 Ogos ini dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/FAIRUZ IZYANA AYUB

KUALA LUMPUR - Isu kualiti padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang kurang memuaskan timbul lagi dan kali ini melibatkan aksi berprofil tinggi iaitu perlawanan persahabatan Malaysia-Barcelona 10 Ogos ini.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin, yang berkata, berdasarkan kunjungan pertama wakil kelab Catalan itu yang memeriksa padang di Stadium Nasional, mereka ternyata tidak berpuas hati.

Begitupun Hamidin tetap optimis bahawa masalah itu dapat diselesaikan secepat mungkin dengan jaminan telah diberikan pihak Perbadanan Stadium Merdeka ia akan memperbaikinya dalam tempoh 10 hari.

"Wakil dari Barcelona yang memeriksa padang baru-baru tidak gembira tetapi saya yakin perkara ini dapat diatasi secepat mungkin.

"Keadaan padang akan cuba diselenggara dengan baik dalam masa 10 hari dan saya jamin ia akan berada pada tahap terbaik bagi menghadapi Barcelona nanti, jangan bimbang," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola perlawanan persahabatan Malaysia dan Barcelona, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif BSC Soccer Malaysia, Effendi Jagan Abdullah dan Ketua Jawatankuasa Ekekutif iM4U, Datuk Irmohizam Ibrahim.

Masalah padang Stadium Nasional bukanlah isu baru kerana saban tahun masalah itu menjadi perhatian setiap kali perlawanan-perlawanan penting dianjurkan.

Kebanyakan pasukan tidak berpuas hati dengan kualiti padang kerana rumputnya yang mudah tercabut kerana menggunakan rumput jenis 'Marimo Paspalum'.

Pertahanan Kelantan, S. Subramaniam tahun lalu pernah menyifatkan keadaan padang di Stadium Nasional cukup keras bagaikan beraksi di atas batu semasa dia membantu pasukannya pada saingan Piala AFC berdepan kelab Vietnam, Navibank Saigon.

Hamidin mengesahkan Barcelona akan tiba di Kuala Lumpur pada 8 Ogos, iaitu pada hari raya pertama dan akan menjalani latihan terbuka di Stadium Nasional pada keesokannya pada pukul 7.30 malam.

"Barcelona akan mengadakan latihan secara tertutup di Stadium Shah Alam dan akan menemui peminat ketika latihan terbuka di Stadium Nasional dari pukul 7.30 hingga 8.30 malam," katanya.

Setakat ini kira-kira 15,000 tiket telah terjual dengan pihak penganjur mensasarkan semua 87,000 tiket akan terjual.

Semua pemain utama Barcelona akan tiba ke Kuala Lumpur termasuk pengurus baru, Gerardo 'Tata' Martino.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


'Pemain senior masih bagus'

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Aksi cemerlang yang ditampilkan oleh beberapa muka baharu dalam dua perlawanan persahabatan, baru-baru ini masih belum cukup untuk memikat hati pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal untuk diserapkan dalam senarai kesebelasan utama.

Masih yakin dengan kelibat pemain-pemain senior, dia mendedahkan masih belum ada tempat secara automatik buat mereka tetapi tidak mahu bersikap terus menutup pintu kepada mereka jika mampu menampilkan rentak konsisten dalam beberapa perlawanan persahabatan yang diadakan di Jepun ini.

Bakal berdepan kelab J-League 1, Shimizu S-Pulse hari ini, Rajagobal berkata, dia sebagai jurulatih, lebih arif mana pemain yang wajar diturunkan dalam perlawanan itu nanti.

"Kita kena faham ini adalah perlawanan persahabatan dan ini adalah masa terbaik buat saya menguji semua pemain dan kalau ada yang menyerlah, mereka mungkin boleh menjadi pilihan terbaharu untuk menentang Bahrain nanti.

"Memang ada pemain baharu yang menyertai kami bermain cukup baik tetapi bila menjelang aksi sebenar di pentas antarabangsa, pemain yang lebih senior dan berpengalaman selalunya tidak menghampakan saya jika diberikan peluang.

"Saya tahu pemain mana yang boleh diharapkan bila tiba perlawanan sebenar," katanya.

Apa yang diperkatakan oleh Rajagobal itu pasti menjadi satu cabaran besar kepada buat pemain-pemain seperti Mohd. Nizad Ayub, Mohd. Nazrin Mohd. Nawi dan Junior Eldstal untuk menyarung jersi kebangsaan pada masa akan datang biarpun telah menunjukkan prestasi terpuji semasa perlawanan persahabatan berdepan Chonburi F.C dan Chelsea minggu lalu.

Apatah lagi bukan semua pemain senior dalam skuad pada waktu ini berada di tahap terbaik seperti Safee Sali, Mohd. Shakir Shaari dan Ahmad Fakri Saarani, namun ia masih belum mencukupi memenangi kepercayaan Rajagobal.

Jelasnya, bertemu Shimizu yang merupakan kelab dari liga utama Jepun, bukanlah sesuatu yang mudah tambahan kebanyakan pemainnya masih kepenatan melalui dua perlawanan dalam seminggu yang lalu.

"Perlawanan esok bukan mudah..kita akan bertemu pasukan dari J-League, tambahan sedang berpuasa lagi, saya bukan hendak memberi alasan tetapi inilah realiti pasukan kita sekarang.

"Kita juga menghadapi dua perlawanan dalam masa terdekat ditambah dengan menaiki penerbangan dari Malaysia ke Jepun, pemain saya tidak berada di tahap kecergasan yang dikehendaki," katanya.

Shimizu S-Pulse kini menduduki di tangga ke-11 J-League daripada 18 pasukan dengan 22 mata dari 17 perlawanan dan pada perlawanan terakhir, kelab yang dibimbing pengurus dari Iran, Afshin Ghotbi itu seri 2-2 bertemu Kashiwa Reyol pada 17 Julai lalu.

Juara Piala Liga Juara-Juara Asia tahun 1999/2000 itu diperkuatkan dengan beberapa pemain import seperti pertahanan dari Belanda, Calvin Jong-A-Pin serta dua pemain Korea Selatan, Lee Minsoo dan Lee Kije.

Selepas itu, Harimau Malaya dijadual bertemu Shonan Bellmare pada hari Sabtu sebelum menutup tirai aksi persahabatan di Jepun dengan menentang kelab J League 2, Tokyo Verdy, pada 31 Julai.

Mukhriz intai kerjasama kelab antarabangsa selepas terajui KFA

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Oleh SAFINA RAMLI
sukan@utusan.com.my

TIMBALAN Presiden KFA, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah (kiri) memakaikan kot Presiden KFA kepada Mukhriz selepas dipilih menerajui Persatuan Bola Sepak Kedah di Alor Setar, semalam. - UTUSAN/Kamal Basir

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir semalam dilantik menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang baharu bagi penggal 2013-2014.

Pelantikan itu dipersetujui sebulat suara oleh sebanyak 28 perwakilan yang menyertai Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Wisma Darul Aman, semalam.

Mukhriz yang ditemui pemberita selepas pemilihan itu berkata, beliau menerima amanah tersebut serta berazam untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak pasukan Kedah.

"Amanat ini amat berat memandangkan bola sepak memberikan kesan yang mendalam kepada rakyat negeri ini.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih serta penghargaan kepada bekas Presiden KFA, Tan Sri Azizan Abdul Razak atas jasa dan sumbangan beliau kepada KFA.

"Azam saya sudah tentu Kedah berjaya menjadi gemilang semula dalam arena bola sepak dan saya yakin dengan formula mantap perkara ini tidak mustahil," katanya.

Menurut Mukhriz, bagi memantapkan lagi pasukan bola sepak Kedah, pihaknya sedang berbincang dengan beberapa kelab bola sepak antarabangsa bagi berkongsi ilmu dengan penggerak bola sepak di Kedah.

"Kita mahu mereka bekerjasama dengan kita berkongsi ilmu dalam bidang pengurusan pasukan, pengurusan stadium, kewangan, kelab peminat dan lain-lain lagi.

"Belum tiba masa untuk saya umumkan kelab mana, tapi sekarang memang kita tengah bincang dengan satu dua kelab," ujarnya.

Dalam pada itu, jurulatih sementara pasukan Kedah bagi saingan Liga Malaysia, Datuk Ahmad Shafie optimis bahawa pasukan Kenari akan mencipta kejayaan pada saingan Liga Malaysia nanti.

"Kita malap sekarang bukan makna kita tidak boleh menyinar, saya yakin kita boleh harungi Liga Malaysia dan berada pada tangga teratas.

"Saya juga percaya barisan pemain Kedah adalah terbaik dan potensi mereka harus digilap lagi," jelasnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Pandelela-Mun Yee tidak mengecewakan

Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee (kanan) bersama pemenang pingat emas dari China, Liu Huixia dan Chen Ruolin (tengah) pada upacara penyampaian pingat acara terjun 10 meter platform seirama Kejohanan Dunia di Barcelona, kelmarin. Turut kelihatan pemenang pingat perak dari Kanada, Meaghan Benfeito dan Roseline Filion. - REUTERS

KUALA LUMPUR - Terjunan terakhir menjadi penghalang buat pasangan penerjun wanita negara, Pandelela Rinong-Leong Mun Yee untuk meraih pingat perak dalam acara 10 meter platform seirama, sebaliknya mereka hanya mengulangi pencapai 2009 di Rome, apabila membawa pulang gangsa pada Kejohanan Dunia FINA 2013 di Barcelona, kelmarin.

Saingan merebut pingat perak berlaku dengan amat sengit sekali di antara Pendelela-Mun Yee dan pasangan Kanada, Meaghan Benfeito-Roseline Fillion sehingga aksi terakhir menjadi penentu tatkala pasangan China yang meraih emas, Chen Ruolin-Liu Huixia berada pada kelas tersendiri.

Mengimbau kembali aksi di Piscina Municipal de Montjuic, Pandelela-Mun Yee kekal di tempat kedua sejak terjunan pertama hingga keempat, dengan memungut mata, 52.80, 56.40, 69.30, 73.92 (keseluruhan 252.42).

Sementara Benfeito-Fillion pula berada di tempat ketiga pada terjunan pertama dan kedua (52.20 dan 52.80)

Pasangan Kanada itu juga tergelincir ke tempat keempat pada terjunan ketiga (66.60) tetapi mereka kembali bangkit pada terjunan keempat selepas mencatat 78.21 mata (keseluruhan 249.81).

Pada terjunan terakhir mereka berjaya membuat aksi mantap untuk memperoleh 81.60 manakala pasangan Malaysia pula mencatat 78.72 mata.

Hasilnya Pandelela-Mun Yee mencatat mata keseluruhan 331.14 untuk sekadar pingat gangsa, manakala Benfeito-Fillion pula melonjak di tangga kedua seterusnya meraih perak dengan catatan 331.41 mata, manakala Ruolin-Huixia unggul di tempat pertama (356.28)

Ia adalah pingat gangsa kedua buat Pandelela-Mun Yee selepas mereka melakukan pencapaian yang sama di kejohanan yang sama pada 2009 di Rome, dua tahun lalu di Shanghai, China mereka gagal membawa pulang sebarang pingat dan hanya menduduki tempat keenam.

Pingat gangsa tersebut setidak-tidaknya dapat mengubat kekecewaan tahun lalu di Sukan Olimpik London, ketika itu Pandelela-Mun Yee menduduki tempat keenam.

Menurut Pandelela, jurulatih, Yang Zhuliang amat gembira mengenai prestasi yang mereka tunjukkan kerana jarang dapat memungut mata melebihi 330 dan dalam masa yang sama mereka juga dikatakan tidak membuat sebarang kesilapan besar.

"Cuma kami sikit terkilan penerjun Kanada memintas kami di saat akhir, mereka mempamerkan aksi lebih baik daripada kami ketika terjunan terakhir itu. Memang kami meletakkan sasaran untuk menang pingat tetapi terlepas pingat perak yang hanya dibezakan 0.27 mata," katanya kepada media selepas tamat saingan kelmarin.

Tambahnya, pingat gangsa yang diraih itu setidak-tidaknya mengubat kekecewaan mereka di Sukan Olimpik 2012 London dan hari ini dia (Pandelela) akan menumpukan perhatian kepada acara individu yang kurang sedikit tekanan berbanding acara seirama.

'Jangan tukar status perlawanan'

Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Pasukan Harimau Malaya diberikan peringatan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin agar tidak lagi menukar perlawanan kelas A kepada aksi perlawanan pemanas badan biasa jika mahu memperbaiki kedudukan ranking dunia.

Tegasnya, perkara itu menjadi punca kepada kejatuhan utama ranking Harimau Malaya yang kini terperosok ke tangga ke-159 dunia ekoran banyak perlawanan yang persahabatan menentang pasukan antarabangsa tidak diklasifikasikan sebagai aksi persahabatan kelas A oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

Beliau menyentuh perkara itu kerana tiga perlawanan yang sebelum ini yang statusnya berkelas A seperti seperti berdepan Iraq (tewas 0-2 pada Februari), Arab Saudi (tewas 1-4 pada Mac) dan Palestin (tewas 0-2 pada Mac) tidak diambil kira oleh FIFA.

Mengikut undang-undang, aksi persahabatan kelas A tidak boleh menggunakan lebih enam pemain gantian dan sekiranya itu terjadi, perlawanan itu mendatangkan sebarang faedah dalam kiraan ranking FIFA.

"Sejak dari dulu lagi, bagi saya ranking itu sangat mustahak dan saya menganggap ranking adalah sebagai penanda aras untuk satu pasukan sama ada meningkat atau sebaliknya melalui perlawanan-perlawanan persahabatan berkelas A.

"Saya juga tidak tahu sekiranya ada kes jurulatih yang mahu mengelak bertemu dengan pasukan negara ini tetapi saya memberikan jaminan bahawa perkara itu tidak akan terjadi pada masa akan datang.

"Sebagai jurulatih, sudah tugasnya untuk harus peka dan tegas apabila satu pasukan itu telah ditetapkan bagi menghadapi satu perlawanan dan kita wajib bermain mengikut apa yang dirancangkan," katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa di salah sebuah hotel di Petaling Jaya, semalam.

Pun begitu, Hamidin tidak menyalahkan 100 peratus terhadap perubahan jadual skuad negara di bahu jurulatih, Datuk K. Rajagobal sambil menganggap faktor kekangan masa menjadi punca pengubahan status perlawanan itu.

"Ada kalanya, bukan kehendak jurulatih 'melarikan' diri dari perlawanan antarabangsa, namun pasukan negara itu tidak boleh bersetuju untuk beraksi pada saat-saat akhir dengan kita

"Kadang-kadang tidak semua masa mereka (pasukan lawan) bersesuaian dengan pasukan kita dan perkara itu juga kita perlu ambil kira," katanya.

Mengenai isu yang sama, Hamidin menjelaskan, dia sedang menyusun jadual bagi aksi persahabatan kelas A dengan sasarannya seawal bulan Disember tahun ini.

"Di pihak FAM, kami sedang merancang jadual untuk kalendar pada tahun hadapan sebaik sahaja FIFA mengeluarkan tarikh-tarikh mengadakan perlawanan persahabatan berkelas A dengan sembilan tarikh dibenarkan untuk kami mengatur perlawanan.

"FAM telah menghantar surat permohonan perlawanan persahabatan kepada negara-negara ASEAN, Asia, Afrika serta Eropah dengan sasarannya adalah pasukan dari Asia.

"Kita perlu berusaha keras dari sekarang untuk mendapatkan tarikh awal yang dikeluarkan FIFA bagi aksi perlawanan persahabatan Disember tahun ini atau awal 2014," jelasnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Pandelela-Mun Yee rangkul gangsa Kejohanan Dunia

Posted: 22 Jul 2013 12:10 PM PDT

KUALA LUMPUR 23 Julai - Skuad terjun Malaysia tidak pulang tangan kosong apabila pasangan penerjun negara Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee menghadiahkan pingat gangsa dalam acara 10 meter platform seirama pada Kejohanan Dunia yang berlangsung di Barcelona, Sepanyol awal hari ini.

Pandelela-Mun Yee mencatat pungutan tertinggi yang pernah dibuat iaitu 331.14 mata pada kejohanan dunia itu.

Pasangan terjun negara itu menghuni tangga kedua dalam awal saingan tetapi dipintas oleh pasangan Kanada, Roseline Filion-Meaghan Benfeito pada terjunan terakhir dengan kutipan mata 331.41 mata.

Pandelela- Mun Yee pernah meraih gangsa pada kejohanan yang sama di Rome pada 2009.

Penerjun China, Chen Ruolin-Liu Huixia muncul juara selepas mencatat 356.28 mata. - UTUSAN ONLINE

'Jangan cepat putus asa'

Posted: 22 Jul 2013 10:35 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
sukan @utusan.com.my

Sultan Ahmad Shah beramah mesra dengan pemain-pemain skuad bola sepak kebangsaan pada majlis berbuka puasa anjuran FAM di sebuah hotel dekat Petaling Jaya, semalam. Turut kelihatan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin (kiri). - UTUSAN/ASWAD YAHYA

PETALING JAYA - Aksi Harimau Malaya yang tunduk 1-4 kepada gergasi bola sepak Inggeris, Chelsea, Ahad lalu, tetap mendapat pujian daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah, yang menyifatkan semua pemain menunjukkan semangat melawan yang tinggi tanpa kenal erti berputus asa.

Menurut baginda, perlawanan di Stadium Shah Alam itu menunjukkan masih ada sinar buat bola sepak negara dan yakin harapan untuk melihat Malaysia mara ke pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2015 tetap cerah jika mereka meneruskan sikap positif ketika mereka tunjukkan semasa menentang Chelsea.

"Sukacita saya hendak menyatakan permainan kita semalam boleh dipuji, walaupun kita kalah, cara permainan kita cukup baik dan melawan sehingga saat akhir.

"(Walaupun) ketinggalan empat gol, mereka tidak fikirkan itu semua dan perlu diingat menentang Chelsea, pasukan yang berada di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

"Pasukan kita tidak bernasib baik dan tetap mencuba sehingga hingga ke akhirnya dan di sini saya menghargai sokongan para peminat sambil mengucapkan terima kasih kerana sentiasa menyokong semangat pemain-pemain kita.

"Kita tidaklah kalah teruk sangat seperti pasukan (ASEAN) lain yang kalah 7-1, sekurang-kurangnya kita menunjukkan semangat melawan tanpa mengenal siapa lawan kita di atas padang," jelas Sultan Ahmad Shah pada majlis buka puasa di salah sebuah hotel di Petaling Jaya, semalam.

Malah, baginda tidak pernah berputus harap dalam usaha menaikkan ranking negara sambil menegaskan, semua pihak bebas memberikan sebarang komen tanpa sebarang halangan.

"Soal ranking, saya tahu ramai kecewa, marah dan berikan pelbagai komen, saya sedia terima apa jua cadangan mereka perkatakan kerana negara ini mempunyai kebebasan untuk bersuara.

"Namun, kita tidak boleh cepat berputus asa dalam usaha menaikkan ranking dan kami akan bekerja keras ke arah itu malahan sentiasa menyokong pasukan," titah baginda.

Pada perlawanan semalam, skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal gagal mengulangi pencapaian tewas 0-1 kepada Chelsea pada dua tahun lalu selepas ketinggalan 0-3 pada babak pertama hasil jaringan Bertrand Traore, Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku sebelum Victor Moses menambah jaringan keempat pada minit ke-89.

Mujurlah Mohd. Fadhli Shas memberikan sedikit keceriaan kepada sejumlah penyokong Harimau Malaya yang hadir melalui gol sagu hati pada masa kecederaan tetapi Mohd. Nizad Ayub terlepas peluang menghadirkan jaringan kedua apabila rembatannya yang sudah menewaskan Peter Cech dapat dikeluarkan di atas garisan gol oleh Ashley Cole.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Chelsea libas Harimau Malaya

Posted: 21 Jul 2013 10:27 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dan FERZALFIE FAUZI
sukan @utusan.com.my

NORSHAHRUL Idlan Talaha (kanan) memaksa kapten Chelsea, John Terry bekerja keras apabila mengasak kubu The Blues pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam tadi. Chelsea menang 4-1. - Utusan/Djohan Shahrin

SHAH ALAM - Malaysia XI telah memberikan yang termampu tetapi inilah realitinya, anak-anak buah Datuk K. Rajagobal jelas tidak mampu menandingi kualiti yang ada pada Chelsea apabila tewas 1-4 dalam perlawanan siri Jelajah Asia 2013 di Stadium Shah Alam, semalam.

Di hadapan 50,000 penonton, The Blues mempamerkan aksi kelas tinggi yang cukup berbeza dengan apa yang mereka pamerkan ketika menentang Pilihan Thailand di Bangkok melalui tempo permainan yang lebih pantas dan tersusun yang membuatkan Harimau Malaya terpaku sekali gus hajat untuk mengulangi pencapaian kekalahan 0-1 pada dua tahun lalu.

Empat jaringan Chelsea disumbangkan oleh tiga pemain muda mereka, Bertrand Traore, Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku manakala satu lagi gol melalui Victor Moses sementara pemain pertahanan, Mohd. Fadhli Shas menggembirakan seluruh penyokong Malaysia dengan jaringan tunggal pada minit ke-90.

Cuma aksi dalam tempoh lima minit terakhir perlawanan Harimau Malaya layak diberikan pujian dan hampir berjaya menambahkan gol kedua pada masa kecederaan menerusi Mohd. Nizad Ayub, namun dihampakan oleh Ashley Cole yang mengeluarkan bola di atas garisan.

Selain daripada itu, anak-anak buah Rajagobal terpaksa berhempas pulas sepanjang permainan memberi saingan kepada Chelsea dalam segenap aspek terutama pada aspek fizikal dan kepantasan yang ada pada skuad bimbingan Jose Mourinho.

Benteng pertahanan negara jelas berdepan kesukaran untuk bertarung dengan kelincahan dua penyerang Chelsea, Romelu Lukaku dan Demba Ba yang sering kali mudah mengatasi kawalan Mohd. Aidil Zafuan dan rakan-rakan.

Ketika permainan baru sahaja memasuki minit ke-6, Traore tidak menunggu lama meletakkan The Blues di hadapan dengan sepakan leret kencang yang mudah menewaskan Farizal Marlias hasil gerakan De Brunye.

Harimau Malaya dapat memberikan sedikit ancaman pada pertengahan babak pertama dan K. Gurusamy terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-22 apabila bola percubaannya dalam kotak penalti sempat ditampan keluar oleh barisan pertahanan Chelsea.

Chelsea melebarkan kedudukan pada minit ke-29 dengan jaringan daripada De Brunye yang melepaskan rembatan kencang dalam kotak penalti tetapi gol itu terpaksa dibayar dengan harga yang mahal apabila pemain muda Belgium itu terpaksa dikeluarkan kerana mendapat kecederaan.

Ketika permainan hanya menunggu masa ditamatkan pada babak pertama, Lukaku memastikan namanya berada dalam senarai penjaring selepas bijak memanfaatkan hantaran Branislav Ivanocic.

Di babak kedua, Moses menambah pesta jaringan The Blues pada minit ke-89 selepas Farizal gagal menampan keluar bola rembatan leret di dalam kotak penalti.

Akhirnya jaringan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh peminat Malaysia tercapai jua pada masa kecederaan apabila Fadhli memanfaatkan situasi kelam kabut di hadapan pintu gol Chelsea dengan tandukan cantik yang menewaskan penjaga gol nombor satu The Blues, Peter Cech.

Presiden FAP berundur

Posted: 21 Jul 2013 10:27 AM PDT

Oleh MOHD.FIRDAUS ISMAIL
sukan@utusan.com.my

PULAU PINANG - Skuad bola sepak Harimau Kumbang menerima tamparan hebat menjelang saingan Liga Perdana Musim depan apabila kehilangan 'orang nombor satu' Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).

Ini berikutan tindakan Presiden FAP, Mohd. Foaz Abdul Hamid meletak jawatan daripada terus memimpin FAP sejak setahun lalu.

Mohd. Foaz berkata, beliau membuat keputusan itu untuk menumpukan perhatian kepada kerjaya baharu selepas membimbang FAP musim ini dan berjaya membawa pasukan berkenaan ke Liga Perdana musim depan.

"Saya akui cabaran menguruskan sebuah pasukan bola sepak bukanlah semudah yang disangka.

"Sepanjang memimpin FAP, banyak pengorbanan yang telah saya lakukan termasuklah dari segi wang ringgit. Tugas mencari penaja pula juga sangat mencabar dan tidak mudah untuk menarik syarikat-syarikat berkenaan membuat pelaburan untuk pasukan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Musim ini, skuad Harimau Kumbang yang dibimbing Merzagua Abderrazzak menjuarai Liga FAM sekaligus layak beraksi dalam Liga Perdana musim depan selepas dua musim beraksi dalam liga kelas ketiga.

Ditanya mengenai calon pengantinya, Mohd. Foaz berkata, satu sidang akhbar akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti bagi mengumumkan perkara berkenaan.

"Saya sendiri yang cari pengganti dan yakin beliau mampu meneruskan tugas saya membimbing FAP.

"Musim depan penting bagi Pulau Pinang kerana akan bersaing dalam Liga Perdana yang mana dibarisi pasukan hebat dan saingan lebih sukar," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Turun kesebelasan terbaik, cukuplah bereksperimen

Posted: 20 Jul 2013 02:41 AM PDT

KUANTAN 20 Julai - Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu ketua jurulatih Harimau Malaya Datuk K. Rajagobal menurunkan kesebelasan terbaik ketika skuad itu menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea FC esok.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu, pertemuan malam esok adalah antara pentas terakhir untuk Rajagobal mencari keserasian dalam kalangan pemain sebelum skuad kebangsaan menentang Bahrain dalam perlawanan ketiga Kumpulan D, pusingan kelayakan Piala Asia 2015, 15 Oktober ini.

"Saya harap Rajagobal akan barisi pemain yang dianggap sebelas utama, cukuplah bereksperimen sebab kita mahu mereka bermain dengan serasi kerana pertandingan penting akan berlangsung tidak lama lagi.

"Jadikan perlawanan ini (menentang Chelsea) persiapan rapi dan seolah-olah yang terakhir," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan zakat perniagaan oleh tujuh badan korporat di sini semalam.

Selain Chelsea, Harimau Malaya juga akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan tiga kelab dari Jepun bermula 23 Julai hingga 1 Ogos dan kelab gergasi Sepanyol, Barcelona FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Ogos.

Ditanya mengenai desakan ramai peminat bola sepak tanah air agar khidmat Rajagobal ditamatkan, Tengku Abdullah berkata perkara itu akan dilihat kemudian.

"Biar dia habiskan perjuangan dia dulu kerana dia tahu apa harapannya dan saya harap dia dapat tunaikan apa saja harapannya itu dan kemudian baru kita bincang pasal perkara lain.

"Sekarang ini kita tidak mahu jejaskan konsentrasi dia kerana kelayakan Piala Asia adalah indeks prestasi utama dia," katanya. - BERNAMA

Bekas pengurus Atletico Madrid bakal urus Johor DT?

Posted: 20 Jul 2013 12:55 AM PDT

CESAR FERRANDO JIMENEZ

JOHOR BAHRU - Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sudah melaungkan amaran awal untuk mempersiap dan memperkukuhkan skuad Harimau Selatan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

Bagi menjayakan usaha tersebut, PBNJ membuat keputusan mendapatkan khidmat pengurus pasukan yang baharu dari Sepanyol.

Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pengurus baharu untuk Johor Darul Takzim (JDT) itu merupakan seorang yang berpengalaman dan pernah menerajui pasukan seperti Valencia dan Atletico Madrid.

"Saya sebagai Presiden PBNJ ingin mengumumkan kepada para penyokong Johor bahawa langkah-langkah positif sudah diambil oleh PBNJ untuk memperkukuhkan lagi pasukan kita bagi saingan untuk musim depan.

"Saudara Fandi Ahmad juga akan terus bersama pasukan JDT sebagai penolong jurulatih," katanya dalam satu kenyataan yang dibuat menerusi laman sosial Facebook Johor Fan Club di sini.

Difahamkan, individu yang dikaitkan untuk menerajui pasukan JDT musim depan ialah Cesar Ferrando Jimenez selain PBNJ sedang berunding dengan Juan Manuel Lillo Diez yang merupakan pereka formasi 4-2-3-1 dan mentor kepada Pep Guardiola.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Johor berkata, selari dengan prinsip PBNJ yang akan cuba membawa nama besar dalam industri bola sepak untuk bersama pasukan, pihaknya semakin hampir mencapai persetujuan menandatangani Pablo Aimar.

Tambahnya, pihak pengurusan turut mendapat persetujuan daripada lima pemain baharu untuk menyarung jersi JDT bagi musim akan datang selain dalam proses rundingan dengan beberapa pemain lagi bagi tujuan yang sama. - UTUSAN ONLINE

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Blues janji lebih garang

Posted: 19 Jul 2013 10:25 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

MICHAEL Essien (kanan) dan Branislav Ivanovic (tengah) antara pemain utama Chelsea yang menjalani latihan di Stadium Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM - Harimau Malaya tidak boleh menganggap kedatangan Chelsea ke Malaysia sekadar makan angin jika tidak mahu menjadi mangsa dimalukan kelab Liga Perdana Inggeris itu dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, esok

Pertahanan skuad Blues, Gary Cahill menegaskan mereka bakal beraksi lebih mantap apabila menentang Malaysia esok setelah hanya menang tipis 1-0 ke atas skuad Pilihan Thailand dalam perlawanan di Bangkok, Rabu lalu.

Esok merupakan perlawanan kedua Jose Mourinho sejak kembali melatih The Blues selepas meninggalkan Real Madrid.

Menurut Cahill, pertemuan dengan Malaysia mungkin tidak jauh bezanya dengan Pilihan Thailand tetapi mereka harus berusaha lebih keras lagi dan menunjukkan peningkatan dalam perlawanan kedua di bawah bimbingan Mourinho, esok.

"Kami perlu lebih tajam lagi, begitu juga dengan tahap kecergasan kami, harus dipertingkatkan dan saya tidak sabar untuk bertemu dengan Malaysia," katanya kepada media selepas latihan selama sejam lebih di Stadium Shah Alam semalam.

Ditanya mengenai latihan dan suasana di Malaysia, Cahill berkata, semuanya berjalan lancar, baik sesi latihan, stadium dan hotel sedikit pun tidak mencatatkan persiapan mereka.

"Sesi latihan kendalian Mourinho memang amat keras, mungkin beberapa pemain sudah biasa dengannya. Ini adalah kelab yang bagus, jadi sesi latihan amat penting buat kami, perpindahannya ke Chelsea satu keputusan yang tepat," katanya.

Cahill, 27, turut mengakui bahawa persaingan dalam pasukan Chelsea juga begitu berat selepas beberapa pemain seperti John Terry dan David Luiz terpaksa berebut tempat kesebelasan utama bagi posisi pertahanan tengah.

"Memang akan berlaku satu persaingan di sini bagi merebut posisi, saya harus bekerja keras dan memastikan saya memperoleh tempat. Ia juga amat penting buat semua pemain," kata Cahill yang turut mencari ruang untuk beraksi di Piala Dunia 2014 Brazil.

Bekas pertahanan Bolton Wanderers dan Aston Villa itu beraksi pada separuh masa kedua ketika bertemu Pilihan Thailand Rabu lalu dan berjaya mengekang asakan lawan daripada membolosi gawang Blues.

Dalam masa sama, Cahill turut memuji kehadiran dua pemain baru dalam skuad Chelsea, Andre Schurrle dan Marco van Ginkel selepas kedua-dua pemain itu berlatih bersama-sama dan beraksi buat pertama kali Rabu lalu.

"Mereka merupakan dua pemain muda yang bagus, saya lihat mereka mempunyai kualiti luar biasa, kehadiran mereka sedikit sebanyak dapat membantu pasukan. Seperti saya katakan sebelum ini mereka nampak hebat di dalam latihan," katanya.

Pengorbanan Fadhli Shas

Posted: 19 Jul 2013 10:25 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Fadhli Shas

PETALING JAYA - Sebaik sahaja selesai membantu Harimau Muda A pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Kazan, Rusia, Mohd. Fadhli Shas langsung tidak berehat sebaliknya terus menyertai latihan skuad kebangsaan sejak Khamis lalu.

Dia masih merasai kepenatan kerana beraksi lima perlawanan dalam tempoh 12 hari dari 6 hingga 17 Julai di Kazan, ditambah pula dengan ibadah puasa.

Namun segala kepayahan itu diketepikan oleh Fadhli demi mewakili skuad Harimau Malaya.

Itulah pengorbanan pemain berusia 22 tahun itu yang enggan merungut malah gembira kerana khidmatnya terus ditagih oleh pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal untuk aksi persahabatan termasuk menentang Chelsea, esok.

"Saya baru sahaja sampai semalam dari Kazan tetapi itu tidak menjadi masalah untuk terus berlatih kerana sebagai pemain bola sepak profesional, saya perlu bersedia bila-bila masa sahaja untuk dipanggil.

"Penat itu perkara biasa tetapi saya ada misi yang lebih penting iaitu mahu membantu pasukan kebangsaan menentang Chelsea, dua tahun lalu saya tidak berkesempatan bermain.

"Diharapkan pengalaman saya di Kazan, Rusia (Universiade 2013) dan Eropah dapat membantu skuad kebangsaan dalam menghadapi chelsea serta beberapa perlawanan lain selepas ini, " katanya ketika ditemui selepas sesi latihan Harimau Malaya di Wisma FAM, semalam.

Dianggap sebagai tonggak paling berpengalaman dalam pasukan kebangsaan walaupun masih muda, Fadhli sememangnya sering menjadi pilihan utama Rajagobal di bahagian pertahanan pada kebanyakan perlawanan penting dilalui skuad kebangsaan.

Walaupun begitu, tugas Fadhli untuk mencabar tempat dalam kesebelasan utama bukan sesuatu yang mudah kerana kehadiran pemain Kelantan, Azizi Matt Rose pasti menyukarkan pemain berusia 22 tahun itu untuk bergandingan dengan Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak di bahagian pertahanan tengah.

Azizi mempamerkan aksi yang memuaskan bagi pemain yang sudah tujuh tahun tidak bermain dengan pasukan kebangsaan dengan membentuk persefahaman mantap bersama Aidil semasa bertemu kelab Thailand, Chonburi F.C, 16 Julai lalu.

Justeru, Fadhli mengakui dia perlu mempertingkatkan lagi usaha semasa sesi latihan bagi memikat hati Rajagobal untuk berada di dalam kesebelasan utama.

"Saya sedar semakin ramai pemain baru diserapkan dan bukan satu tugasan mudah untuk mendapatkan tempat, jadi saya perlu membuktikan sesuatu pada sesi latihan di samping bekerja lebih keras, " katanya.

Ditanya jika diturunkan jika berdepan Chelsea, Fadhli yang merupakan peminat Liverpool tidak sabar berdepan dengan pemain-pemain ternama The Blues seperti Eden Hazard, Demba Ba dan Frank Lampard.

"Barisan serangan Chelsea memang cukup mantap dan antara yang hebat di dunia dengan membariskan pemain-pemain handalan seperti Hazard dan Lampard tetapi bagi saya ini satu pengalaman yang saya tidak akan lepaskan, " katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Jangan terlalu berharap

Posted: 18 Jul 2013 12:13 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Skuad Harimau Malaya menjalani latihan dalam gimnasium di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam sebagai persiapan menentang Chelsea di Stadium Shah Alam, Ahad ini. - Utusan/Noor Asrekuzairey Salim

SUBANG - Para peminat Harimau Malaya tidak boleh terlalu mengharap kecemerlangan yang dipamerkan pada tahun 2011 apabila tewas tipis 0-1 kepada Chelsea akan menjelma sekali lagi.

Hakikat itu ditekankan oleh pengendali kebangsaan, Datuk K. Rajagobal yang mengingatkan, skuad yang akan ditampilkan kali ini akan membawa pemain dan jurulatih yang berlainan, begitu juga dengan pasukan Chelsea.

"Perlawanan yang terdahulu tidak boleh ada kaitan kerana itu adalah aksi dua tahun lepas di samping pemain yang akan digunakan kali ini tidak lagi sama dan jurulatih juga berbeza.

"Apa yang saya boleh katakan, memang kita semua main mahukan kemenangan tetapi kita perlu terima hakikat sejauh mana kekuatan lawan.

"Chelsea sudah tentu mahu berikan satu hiburan kepada peminat mereka di sini namun saya harap para pemain boleh mengambil kesempatan dan cuba dapatkan satu penghormatan dari pasukan lawan.

"Perlawanan ini boleh membantu kami untuk melakukan persiapan kelayakan Piala Asia 2015 dan saya harapkan semua pemain dapat mempelajari sesuatu nanti," katanya yang ditemui selepas sidang media pasukan Chelsea sempena Jelajah Asia 2013 di sini, semalam.

Dalam aksi terakhir Chelsea dua tahun lalu yang ketika itu dibimbing oleh Andres Villa-Boas, skuad Pilihan Malaysia yang dibimbing oleh Ong Kim Swee tewas 0-1 melalui jaringan kontroversi Didier Drogba setelah memperagakan permainan penuh cemerlang sepanjang 90 minit permainan.

Ini merupakan lawatan keempat The Blues ke Malaysia semenjak tahun 2003 tetapi kehadiran Chelsea kali ini cukup berbeza kerana membawa jurulatih yang paling berjaya dalam sejarah kelab bola sepak itu iaitu Jose Mourinho.

Rajagobal turut menyuarakan pandangan yang sama dengan mengatakan jurulatih dari Portugal itu antara yang terbaik di dunia dan merupakan satu penghormatan besar melihat skuad kebangsaan akan menentang Chelsea.

"Sebagai pengurus dan jurulatih pasukan, mana-mana dia pergi pasti akan ada ramai pemain terbaik dan itu memberi satu keistimewaan kepada dirinya.

"Walaupun sentiasa mempunyai ramai pemain hebat namun dia berjaya menguruskan mereka semua dengan baik sehingga membuatkan pasukannya antara yang terbaik, itu menjadikan Mourinho sebagai salah seorang pengurus yang disegani," katanya.

Chelsea janji aksi terbaik

Posted: 18 Jul 2013 12:13 PM PDT

Jose Mourinho (tengah) tersenyum mendengar soalan wartawan pada sidang akhbar di Subang sebaik tiba dari Bangkok, semalam. Turut kelihatan K. Rajagobal (kiri) dan pemain Chelsea, Michael Essien. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ

SUBANG - Jika di Thailand, pengurus Chelsea, Jose Mourino berterus terang berminat bagi mendapatkan penyerang Manchester United, Wayne Rooney, lain pula ceritanya dalam sidang akhbar yang berlangsung di Kuala Lumpur, semalam

Semua media yang hadir tidak dibenarkan lagi bertanyakan lagi mengenai status Rooney dan walaupun ada pihak yang cuba mendapatkan maklumat terkini, soalan mereka dipatahkan awal-awal oleh Ketua Eksekutif Chelsea, Ron Gourlay tanpa sempat dijawab oleh Mourinho.

Situasi itu jelas menimbulkan rasa teka-teki di kalangan media yang hadir sehingga gagal mendapat sebarang berita untuk mengesahkan sama ada memang ada usaha membawa Rooney ke Stamford Bridge seperti mana yang didakwa sebelum ini.

"Sebelum kita memulakan sesi soal media, saya mahu tegaskan tiada sebarang soalan mengenai Rooney," tegas Gourlay pada sidang akhbar Jelajah Chelsea 2013 yang berlangsung di salah sebuah hotel di Subang.

Namun, masih ada pihak media yang berani cuba bertanyakan Mourinho dengan berkata: "Tuan, boleh ceritakan serba-sedikit mengenai bidaan yang dilakukan kepada Rooney sebelum ini, soalnya."

Gourlay bagaimanapun mencelah: "Tolong jangan menanyakan apa-apa soalan mengenai Rooney, tolong tanya soalan lain."

Rooney sebelum ini difahamkan telah dibida oleh Chelsea pada awal minggu ini tetapi pengurus United, David Moyes menegaskan, penyerang berusia 27 tahun itu bukan untuk dijual walaupun turut menarik perhatian satu lagi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal.

Masa depan penyerang itu di Old Trafford semakin tidak pasti selepas dia mengakui marah dan keliru mengenai peranannya di United.

Bercakap mengenai perlawanan dengan Harimau Malaya Ahad ini, Mourinho berharap pasukannya dan tuan rumah mampu memberikan satu aksi bola sepak yang terbaik kepada semua peminat.

Dia tidak kisah sama ada peminat yang hadir akan lebih menyokong Chelsea atau Malaysia, namun apa yang mustahak, dia berharap mereka berpuas hati dengan gaya yang akan ditampilkan oleh anak-anak buahnya.

"Saya tidak mungkin tahu sambutan peminat di sini tetapi semasa di Bangkok (Stadium Rajamangala), suasananya cukup meriah dengan lautan penyokong Chelsea.

"Sama ada penonton di sini menyokong pasukan mereka atau mereka datang kerana memang meminati Chelsea, saya cuma harap mereka dapat menikmati perlawanan ini," katanya.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin, pengurus Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal dan Pengarah Pemasaran ProEvents, San Boon Wah.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Revington tak mahu ungkit

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Paul Revington mahu membuka lembaran baharu bersama skuad hoki kebangsaan dan melupakan detik hitam yang mendorongnya mengambil keputusan drastik meletakkan jawatan sebagai jurulatih awal bulan lalu.

Enggan mengungkit apa yang berlaku, Revington berikrar untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan skuad negara bagi menghadapi cabaran Piala Asia di Ipoh, bulan depan.

"Saya tidak akan menjelaskan punca kemelut ini berlaku. Apa yang telah berlaku biarlah berlalu. Saya ibaratkan apa yang berlaku seperti hubungan suami isteri yang tidak pernah dapat lari daripada perselisihan faham.

"Bagaimanapun, pada akhirnya kita semua perlu mengetepikan ego masing-masing demi kebaikan semua pihak, lebih-lebih lagi kita bakal menghadapi cabaran pada Piala Asia di Ipoh," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Mengimbas kembali masalah yang membelenggunya, menurut Revington, ia tercetus sejak Disember tahun lalu selepas skuad negara menyertai Cabaran Juara-Juara di Afrika Selatan.

Jelas beliau, sebagai jurulatih baru, dia menerima kejutan besar apabila berdepan dengan masalah yang disifatkan sebagai campur tangan terhadap tugasnya sebagai pengendali skuad kebangsaan.

"Bagi saya apa yang menimpa seperti satu kejutan budaya. Sebagai jurulatih baru, sejak tiba di Malaysia saya sama sekali tidak menduga akan berdepan dengan masalah seberat ini sehingga mengganggu tumpuan saya untuk menjalankan tugas," ujarnya.

Kini semua kekalutan tersebut telah pun diselesaikan dengan cara baik dan jurulatih warga Afrika Selatan itu tidak lagi mahu membuang masa yang mana cabaran besar bakal menanti skuad bimbingannya pada Piala Asia bulan depan. Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama Pakistan, China dan juga Jepun.

Mengulas mengenai persiapan pasukan negara, Revington memberitahu, anak-anak buahnya akan memulakan sesi latihan penuh pada Isnin ini dan perlawanan persahabatan menentang China turut dibatalkan bagi memberi tumpuan kepada latihan.

"Saya mahu para pemain memberi fokus kepada latihan. Mereka telah menghadapi begitu banyak perlawanan besar sebelum ini dan tidak perlu kita membuang masa terbang ke China hanya untuk menghadapi satu perlawanan persahabatan," tegasnya.

Ketika ditanya mengenai taktik dan strategi akan akan diterapkan, Revington menjelaskan, setiap pasukan perlu ada strategi, tetapi apa yang paling penting sekarang adalah pemain perlu ada tahap pemikiran yang mantap.

Harimau pasti bangkit

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

SAFEE Sali diasak pemain Chonburi FC, Surawich Logarwit pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

KUALA LUMPUR - Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal mengakui keputusan seri tanpa jaringan Harimau Malaya dengan kelab Thailand, Chonburi dalam perlawanan persahabatan kelmarin, bukanlah yang sepatutnya dicapai namun menjanjikan perubahan mendadak apabila menghadapi Chelsea, 21 Julai ini.

Beliau turut menganggap ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal sudah cuba memberikan peluang kepada beberapa pemain yang dipanggil menyertai pasukan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, biarpun hanya dengan menentang kelab pelawat yang didapati tidak menurunkan ramai tonggak mereka.

"Namun menentang Chelsea satu perlawanan yang lebih penting dan kami cuba pastikan pemain berikan persembahan terbaik kerana peminat turut akan bersama meneliti aksi mereka. Saya juga yakin Chelsea yang walaupun masih dalam pramusim liga mereka, pasti berikan persembahan yang terbaik.

"Jadi tiada sebab lagi untuk pemain kita tidak menampilkan mutu permainan yang mempunyai pembaharuan atau mencapai keputusan yang membanggakan. Walaupun bukanlah kemenangan yang kita cari, persembahan terbaik akan tetap menjadi KPI (penunjuk utama prestasi) atau penanda aras pasukan kita," katanya.

Dalam perlawanan yang cuma disaksikan 200 penyokong setia Harimau Malaya kelmarin, barisan bimbingan Rajagobal didapati ketandusan idea untuk menjana serangan mahupun mencipta peluang jaringan gara-gara ketiadaan gandingan utama di depan, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd. Safee Mohd. Sali.

Aksi longlai gandingan pengganti mereka yang turut diuji seperti Mohd. Amri Yahyah, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd. Nizad Ayub sebaliknya sempat ditampung dengan persefahaman mantap dan berdisiplin benteng negara yang diketuai Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak untuk menafikan percubaan gol pelawat.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Harimau Malaya seri 0-0 dengan Chonburi FC

Posted: 16 Jul 2013 10:37 AM PDT

KUALA LUMPUR 17 Julai - Skuad Harimau Malaya yang bakal berhadapan dengan Chelsea Ahad ini tampil penuh longlai apabila sekadar seri tanpa jaringan ketika bertemu kelab dari Thailand, Chonburi FC pada aksi persahabatan malam tadi.

Turun tanpa kelibat pemain utama seperti Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali, ternyata anak-anak buah Datuk K.Rajagobal gagal mencipta sebarang jaringan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Gandingan Mohd. Amri Yahyah, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd. Nizad Ayub tidak mampu memikul tanggungjawab dalam usaha merencana sebarang peluang dan mencipta sebarang gol.

Ini sekali gus memberikan gambaran sukar bagi skuad Harimau Malaya untuk berhadapan gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea Ahad ini. - UTUSAN ONLINE

Revington teruskan tugas

Posted: 16 Jul 2013 11:49 AM PDT

Oleh ZAZALI JAMIAN dan SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
sukan@utusan.com.my

Paul Revington (tengah) bersama pemain-pemainnya selepas menentang Argentina pada perlawanan persahabatan, baru-baru ini. Keputusan Revington meneruskan tugas selaku jurulatih menggembirakan kem pasukan negara. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

KUALA LUMPUR - Paul Revington akhirnya menamatkan tanda tanya berhubung masa depannya bersama skuad hoki kebangsaan apabila memilih untuk kekal sebagai jurulatih sehingga 2014.

Perkara tersebut disahkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), semalam.

Ini bermakna skuad kebangsaan akan terus berada di bawah bimbingan jurulatih warga Afrika Selatan itu bagi memburu tiket ke Piala Dunia 2014 menerusi Piala Asia yang dijadual berlangsung bulan depan di Ipoh.

Setiausaha Agung MHC, Mohd. Johari Abdul Aziz berkata, Revington memilih untuk kekal selepas mengadakan pertemuan khas bersama Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, semalam.

Tambah Mohd. Johari, berita gembira itu diharap mampu menutup segala spekulasi bahawa jurulatih warga Afrika Selatan itu akan meninggalkan skuad kebangsaan.

"Ini sesuatu yang menggembirakan kami kerana kami memang mengharapkan jurulatih tersebut dapat terus kekal membimbing pasukan kebangsaan.

"Keputusan yang dibuat Revington itu juga membuktikan dia serius untuk membawa skuad hoki kita ke tahap yang lebih tinggi lagi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Revington yang sebelum ini memilih untuk melepaskan jawatan sebagai jurulatih bakal mengadakan satu sidang akhbar khas berhubung keputusannya itu hari ini.

Bulan lepas, Revington mengejutkan semua pihak dengan keputusan untuk melepaskan jawatannya sebagai jurulatih selepas mendakwa wujud campur tangan daripada jurulatih skuad remaja negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah dan Pengarah Pembangunan Hoki 1MAS, Lim Chiow Chuan.

Bagaimanapun, Revington mengubah keputusannya itu untuk membimbing sementara pasukan kebangsaan hingga tamat kejohanan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru dua minggu lalu selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada hujung bulan lepas.

Sementara itu, Mohd. Johari turut meletakkan harapan agar skuad kebangsaan dapat terus mengekalkan fokus menghadapi Piala Asia pada Ogos ini di Ipoh, Perak.

"Selepas ini saya percaya Revington dan pasukan akan lebih komited untuk menghadapi saingan dalam Piala Asia yang bakal berlangsung bulan depan kerana sasaran utama adalah untuk melangkah ke Piala Dunia 2014.

"Malah, kami anggap selepas ini satu buku baharu dapat dibuka sekali gus dapat menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku sebelum ini," kata Mohd. Johari.

Sementara itu, Khairy menyambut baik langkah jurulatih hoki kebangsaan, Paul Revington untuk terus melatih pasukan negara sehingga tahun hadapan.

Beliau berkata, keputusan itu bakal memberi keyakinan baru kepada seluruh pemain untuk mencatat keputusan cemerlang dalam kejohanan Piala Asia bulan depan sekali gus layak ke Piala Dunia.

"Ini merupakan berita baik sebab kita di Majlis Sukan Negara (MSN) dan kementerian memang berharap beliau sambung perkhidmatan dengan pasukan kebangsaan.

"Perkara ini penting kerana kita ada Kejohanan Asia di Ipoh, Ogos ini dan amat penting untuk kita mendapat prestasi terbaik sebab kejohanan itu merupakan kelayakan ke Piala Dunia," katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga KBS dan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (Maksak) di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS