Utusan Online - Sukan |
Chong Wei lupakan sentuhan Misbun Posted: Chong Wei lupakan sentuhan MisbunOleh Norzie Mohd. Khasbi KUALA LUMPUR - Keserasian yang semakin dibentuk bersama Tey Seu Bock memudahkan Datuk Lee Chong Wei 'melupakan' bekas jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek, malah jaguh No. 1 dunia itu bersedia memanjangkan kerjasama dengan Seu Bock sehingga Sukan Olimpik 2012. Ketika Persatuan Badminton Malaysia (BAM) 'hampir tidak menerima khabar daripada Misbun', yang dipujuk supaya kembali dalam skuad kebangsaan selepas meletakkan jawatan pada 31 Disember lalu, Presidennya, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh mengakui, Seu Bock mungkin mengambil alih tugas tugas Misbun sepenuhnya sehingga Olimpik 2012. Nadzmi mengakui, cadangan itu sudah dipersetujui Chong Wei, sekali gus bakal menamatkan episod peletakan jawatan Misbun yang tidak berkesudahan. "Saya mengadakan pertemuan dengan Chong Wei baru-baru ini untuk berbincang mengenai jurulatih dan beliau mengaku selesa bekerjasama dengan Seu Bock dan setuju jika jurulatih itu terus membimbingnya untuk persiapan ke Sukan Olimpik 2012. "Ketika ini, Seu Bock adalah jurulatih Chong Wei sehingga Misbun kembali tetapi mungkin jika ia mengambil tempoh yang terlalu lama (untuk Misbun kembali), Seu Bock akan terus melatih hingga temasya di London. "Bagi BAM, kami hanya mahu yang terbaik kepada Chong Wei kerana beliau merupakan prospek utama Malaysia untuk meraih pingat Olimpik, jadi apa yang dirasakan bagus dan selesa buat pemain itu, maka kami hanya menyokongnya,'' kata Nadzmi yang ditemui pada majlis anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di Subang, semalam. Ketiadaan Misbun dalam skuad kebangsaan tidak lagi menjadi isu kepada BAM atau Chong Wei ketika ini, apatah lagi pemain itu sudah mengharungi dua perlawanan pertama 2011 di bawah pengawasan Seu Bock, dan beliau menang satu daripadanya, Siri Super Masters Akhir di Taiwan, Januari lalu. Seu Bock juga adalah jurulatih yang bakal mengiringi Chong Wei dalam usahanya mempertahankan kejuaraan All England yang bermula di Birmingham esok dan pemain itu tidak menunjukkan sebarang masalah sepanjang persiapan menghadapi kejohanan badminton tertua di dunia itu. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Pandelela Atlet Terbaik Anugerah SAM Posted: Pandelela Atlet Terbaik Anugerah SAM
KUALA LUMPUR - Kejayaan memahat sejarah muncul penerjun negara pertama memenangi pingat emas Sukan Komanwel tahun lalu, membolehkan Pandelela Rinong mengejutkan tiga jagoan dunia, Datuk Lee Chong Wei (badminton), Datuk Nicol David (skuasy) dan Azizulhasni Awang untuk dijulang selaku penerima Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2010 semalam, anugerah pertama pernah diraih atlet kelahiran Sarawak itu di peringkat senior. Anugerah tersebut bukan saja membolehkan Pandelela membawa pulang RM10,000 tetapi menjadi hadiah paling istimewa buatnya, yang meraikan ulang tahun ke-18 pada 2 Mac lalu. Kejayaan ini turut menyuntik semangat Pandelela untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012, dengan tiket kelayakan harus diburu pada Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Shanghai, China, Julai ini. Selain mengetepikan Chong Wei, Nicol dan Azizulhasni, Pandelela turut mengetepikan penembak senior negara, Nur Suryani Taibi. "Saya memang tidak sangka akan menang kerana ada ramai superstar yang turut dicalonkan, ia merupakan satu penghormatan besar buat saya, lagipun saya tidak pernah memenangi sebarang anugerah di peringkat senior, selama ini. "Sudah tentu, kejayaan ini akan menyuntik semangat saya untuk lebih berjaya. Menang di Sukan Komanwel dan Asia belum cukup, sasaran saya selepas ini adalah melayakkan diri ke Sukan Olimpik London, tahun depan. "Saya mahu beraksi baik pada Kejohanan Dunia di Shanghai Julai ini kerana ia merupakan platform kelayakan ke Olimpik. Hanya 12 peserta yang berjaya melangkah ke final akan meraih tiket ke London, dan ketika ini, itulah misi utama saya,'' kata Pandelela. Pandelela melakar sejarah dengan menghadiahkan emas terjun pertama Malaysia pada Sukan Komanwel di New Delhi selepas menewaskan pemenang pingat Olimpik dari Australia dan Britain. Atlet kelahiran Bau, Sarawak dan berbangsa Bidayuh itu turut meraih satu perak dan satu gangsa dalam penampilan sulung di Sukan Asia Guangzhou. Pandelela menambah kegemilangan dengan menjadi penyumbang pingat tunggal Malaysia pada Sukan Olimpik Remaja di Singapura, memenangi perak 3m papan anjal dan 10m platform, Julai tahun lalu. Dua pingat tersebut meletakkan dia sebagai atlet wanita pertama Malaysia menaiki podium pada temasya anjuran Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) itu. Hadiah disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Turut hadir Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong dan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |